Terkenal di seluruh Sepanyol kerana saiznya yang besar
Digelar ‘Raksasa Istana’ Akibat Saiznya Yang Besar, Ini Adalah Kisah Eugenia Martinez. Eugenia Martinez ialah seorang wanita yang terkenal di Sepanyol sejak usia muda kerana saiz dan berat badannya.
Sejak kecil, dia diejek oleh jiran-jirannya menyebabkan dia disembunyikan oleh keluarganya untuk mengelakkan buli dan gangguan. Dia menjadi lebih terkenal ketika dia dibawa tinggal di istana, diundang oleh raja, tetapi menghabiskan sisa hidupnya diejek kerana saiznya yang besar.

Dilahirkan pada tahun 1674 di Sepanyol
Eugenia Martinez dilahirkan kepada Antonia de la Bodega dan Jose Martinez Vallejo, di sebuah kampung pedalaman kecil di Sepanyol. Ia dilaporkan bahawa dia dilahirkan di sebuah gereja kerana air ketuban ibunya pecah ketika menghadiri Misa. Oleh kerana Eugenia dilahirkan dalam gereja (satu perkara yang jarang berlaku), mereka menganggapkan bahawa Eugenia akan membesar dengan berkat dan rezeki melimpah ruah.
Ia tidak diketahui apa pekerjaan sebenar ibu bapa Eugenia tetapi yang diketahui adalah keluarga mereka dari latar belakang yang miskin.
Dilahirkan dalam keadaan normal, Eugenia digambarkan sebagai bayi yang sihat dan kuat, serta mempunyai selera makan yang baik. Dia juga mempunyai adik beradik, walaupun tidak diketahui berapa banyak adik beradiknya.

Oleh kerana Eugenia menunjukkan ciri-ciri yang sihat, ibu bapa Eugenia meramalkan bahawa Eugenia akan membesar untuk menjadi dewasa yang sihat – sesuatu yang bukan jaminan pada masa itu. Pada abad ke-17 dan terutama di kawasan pedalaman yang kekurangan doktor, kadar kematian bayi sangat tinggi. Sebagai contoh, di England, 12% bayi akan mati pada tahun pertama mereka semasa zaman tersebut, dan 36% kanak-kanak akan mati sebelum usia enam tahun.
Sebagai bayi, Eugenia digambarkan sebagai berisi tetapi ibu bapanya tidak terlalu memikirkannya pada awalnya. Ini kerana pada masa itu, gadis-gadis dan wanita yang lebih berisi disukai oleh standard perubatan dan masyarakat akibat kepercayaan mereka bahawa ini adalah tanda kesuburan dan kekayaan.

Berat badan mencecah 25kg ketika berusia satu tahun
Walaupun menunjukkan tanda-tanda positif semasa kelahiran dan bayi, Eugenia mula tumbuh lebih cepat daripada bayi lain. Terdapat satu laporan menyatakan bahawa Eugenia kelihatan seperti kanak-kanak berumur 12 tahun ketika berusia satu tahun tetapi laporan ini dipercayai hanya gosip keterlaluan.
Beratnya telah mencecah 25kg ketika dia berumur satu tahun dan badannya semakin membesar dengan cepat. Sementara itu, adik-beradik Eugenia membesar dengan normal seperti kanak-kanak lain, dan perkara ini menyebabkan ibu bapa Eugenia bimbang dengan kesihatan Eugenia.
Akibat kebimbangan mereka, ibu bapa Eugenia meminta bantuan seorang pakar perubatan untuk membantu mereka menyelesaikan masalah berat badan Eugenia yang semakin meningkat.
Walaupun Eugenia menjalani diet ketat, cadangan ini tidak cukup untuk membendung masalah kenaikan berat badan Eugenia yang semakin meningkat. Disebaliknya, berat badan Eugenia semakin bertambah walaupun makanannya dikurangkan.

Diejek dan dibuli oleh jiran dan orang lain
Lama-kelamaan, Eugenia bertambah besar dan oleh kerana itu, dia berulang kali diejek oleh jirannya. Akhirnya, ibu bapanya cuba menyembunyikan Eugenia dari penduduk tempatan dengan menyembunyikannya di dalam rumah agar dia tidak perlu menghadap pembulian dan ejekan yang selalu dia hadapi di dunia luar.
Walaupun ibu bapa Eugenia telah mengambil langkah drastik untuk memastikan anak mereka selamat dari ejekan dunia luar, khabar angin mengenai seorang gadis gergasi di kampung mereka tersebar luas ke bandar dan kampung berhampiran.

Akibat hebahan seperti ini, orang asing sentiasa cuba mendekati rumah Eugenia dalam usaha untuk melihatnya dan mengejek penampilannya.
Apabila Eugenia berusia 6 tahun, berat badan dia mencecah 65kg. Akibat sering dibuli dan diejek, dia banyak meluangkan masanya dalam biliknya agar tiada orang dapat melihatnya.
Mendapat perhatian Raja Sepanyol
Khabar angin mengenai seorang gadis gergasi tersebar sehingga ke istana diraja Sepanyol. Raja Charles II, Raja Sepanyol pada waktu itu, begitu bertekad untuk melihat Eugenia dengan mata sendiri sehingga baginda mengirim utusan ke rumah Eugenia yang memintanya untuk dibawa ke istana.

Walaupun ibu bapanya merasa tidak senang dengan jemputan ini, mereka tidak dapat menolak jemputan tersebut. Ia tidak diketahui jika ibu bapa Eugenia mengetahui sebab sebenar Eugenia dijemput ke istana. Mungkin mereka percaya bahawa sebuah penawar dapat ditemui untuk anak mereka namun sebab sebenarnya bukan itu.
Pada usia 6 tahun, Eugenia dan ibu bapanya dibawa ke istana dan seorang penjahit diraja membuat gaun untuk Eugenia kerana ia diharuskan berpakaian sesuai ketika dipersembahkan di hadapan raja.
Dikatakan bahawa raja tersebut terpesona dengan penampilannya dan dengan cepat mencadangkan kepada ibu bapa Eugenia agar dia dijaga di istana. Ibu bapanya, mempercayai bahawa anak perempuan mereka akan diberi kehidupan yang jauh lebih baik di sana, segera menerima tawaran itu.
Ketika Eugenia tiba di istana, sebuah risalah ditulis dengan menyatakan bahawa “keajaiban alam telah sampai ke istana ini dalam bentuk seorang gadis raksasa bernama Eugenia Martinez.”
Menyertai kumpulan ‘orang yang menghiburkan’
Pada pandangan pertama, ia kelihatan Raja Charles II mengundang Eugenia ke istana kerana mempunyai niat baik dan murah hati, namun perkara sebenarnya adalah lain.
Sejak zaman medieval, ia merupakan tradisi yang popular dalam kerabat diraja Eropah untuk mempunyai orang ‘luar biasa’ di istana mereka. Sepanyol, sebagai negara Eropah, tidak terkecuali.
Meskipun diundang untuk digunakan untuk ejekan, dikatakan bahawa raja tersebut sangat murah hati kepada Eugenia dan dia dijemput untuk menyertai ‘gente de placer‘ yang diterjemahkan menjadi ‘orang yang menghiburkan’.
Penghibur-penghibur ini terdiri daripada pelbagai jenis manusia, termasuk kerdil, orang cacat, pelawak dan juga orang tidak siuman. Raja dan anggota istana yang lain suka mengajak orang-orang ini untuk hiburan. Raja Charles II sangat menikmati kehadiran mereka, walaupun untuk mengejek mereka.

Dijadikan bahan ejekan sekali lagi
Raja Charles II tidak berlengah untuk mempamerkan Eugenia semasa pesta-pesta yang diadakan di istana. Malah, Eugenia sering dicari oleh ramai wanita yang ingin dilukis di sebelahnya untuk menekankan bahawa mereka lebih kurus dan cantik daripada Eugenia.

Malangnya, Eugenia dan mereka yang sepertinya tidak dibayar untuk perkhidmatan mereka walaupun bekerja berjam-jam. Mereka juga hidup di bawah belas kasihan tuan-tuan mereka yang boleh membuang mereka tanpa wang bila-bila sahaja.
Ada yang melihat ini sebagai musibah yang teruk kerana mereka hidup hanya untuk diejek sebagai pameran manusia oleh golongan bangsawan. Namun, ada yang melihatnya sebagai keberuntungan kerana golongan bangsawan menghabiskan banyak wang untuk para penghibur ini.
Para bangsawan memastikan bahawa kumpulan ini diberi makanan dengan baik, tetap panas semasa musim sejuk dan bahkan mempunyai almari pakaian yang berpelbagaian dan menarik, jauh lebih banyak daripada yang dapat dikatakan untuk kebanyakan petani hari ini.

Walaupun dijaga dengan bagus, golongan bangsawan memperlakukan mereka sebagai objek dan melakukan kepada mereka apa sahaja yang mereka mahu untuk hiburan mereka sendiri.
Malah, ayah Charles II, Raja Philip IV, direkodkan mempunyai sekitar 110 orang kerdil. Namun, orang-orang kerdil ini bukan untuk hiburannya kerana banyak bangsawan juga menyimpan orang kerdil untuk memperkuat idea kesempurnaan dan keunggulan dinasti yang berkuasa.

Yang membuat Eugenia menonjol adalah dia memiliki dua potret yang dibiayai oleh Raja Charles II. Lukisan-lukisan ini dilukis oleh pelukis diraja, Juan Carreno de Miranda. Di salah satu potret tersebut, Eugenia kelihatan sedih dan tidak selesa tetapi dia mungkin mengalami kesakitan akibat berat badannya sehingga menyukarkannya untuk pose terlalu lama.

Di istana, dia dipamerkan sebagai objek dan benda yang ‘aneh’ akibat saiz badannya yang besar dan lukisan-lukisan ini adalah bukti kerana mereka diberi nama ‘La Monstrua vestida u la Monstrua desnuda’ yang bermaksud ‘raksasa berpakaian’ dan ‘raksasa tidak berpakaian’.
Kini, kedua-dua potret Eugenia dapat dilihat bersebelahan di Museo Del Prado di Madrid, Sepanyol.

Dipercayai menghidap Sindrom Prader-Willi
Of course, tiada orang tahu pada masa itu apa yang menyebabkan Eugenia begitu, tetapi kini ia dipercayai bahawa Eugenia menderita gangguan genetik yang digelar sindrom Prader-Willi.
Sindrom ini disebabkan oleh kehilangan fungsi gen tertentu pada kromosom 15. Kanak-kanak yang menghidapi sindrom ini sering lapar dan boleh menyebabkan kegemukan dan diabetes Type 2.
Selalunya, individu yang menghidapi sindrom ini mempunyai dahi yang kecil, ketinggian pendek, kulit dan rambut pucat dan kebanyakan mereka tidak dapat mempunyai anak. Banyak gejala ini sangat mirip dengan laporan mengenai bentuk fizikal Eugenia pada masa itu, walaupun ia tidak 100% pasti sama ada itu adalah penyebab dia begitu.

Eugenia juga mengalami masalah hormon dan tidak subur akibat tidak pernah datang haid sepanjang sisa hidupnya. Dalam penjelasan mengenai Eugenia, dia dikatakan pucat dan masih ada rupa kecantikan sikit walaupun wajahnya terlalu besar. Kepalanya, wajahnya, leher dan ciri-cirinya yang lain dikatakan mempunyai ukuran ‘kepala dua lelaki’, perutnya besar seperti wanita hamil. Pahanya digambarkan sebagai ‘tebal’ dan ‘penuh dengan daging sehingga seseorang menjadi bingung dan terkejut dengan sifatnya yang tidak sedap dipandang’. Kakinya hanya sedikit lebih kecil daripada ‘kaki lelaki, dan penuh dengan gulungan’. Kakinya sebanding dengan tubuhnya tetapi seperti ‘lelaki’. Kerana saiznya yang berlebihan, dia menghadapi masalah untuk bergerak.
Meninggal dunia pada usia 24 tahun
Malangnya, Eugenia sering diejek apabila berjalan dari satu tempat ke tempat lain ketika dalam istana, mudah letih dan berusaha untuk mengikuti orang lain.
Walaupun kesihatannya tidak bagus dan sering menghadapi ejekan, ia dipercayai bahawa dia suka tinggal di istana tersebut. Dia dikatakan seorang gadis yang bagus dan bahkan popular serta dihargai oleh keluarga diraja.
Meskipun mencecah usia remaja dan dewasa, Eugenia tetap disukai.
Dia meninggal dunia pada tahun 1699 pada usia 24 tahun. Pada masa kematiannya, dia telah menghabis hampir seluruh hidupnya di istana. Lokasi kuburnya dan punca kematian yang sebenarnya tidak diketahui tetapi ia dispekulasi bahawa punca kematiannya berkaitan dengan keadaan yang dideritannya.
Ratusan tahun kemudian pada tahun 1977, bandar Aviles di Sepanyol membiayai sebuah patung Eugenia Martinez untuk dibuat sebagai penghormatan kepada pelukis potretnya, Carreno de Miranda.

Patung tersebut menggambarkan lukisannya yang paling terkenal iaitu La Monstrua vestida (raksasa berpakaian), dan dibuat dari tembaga. Patung berkenaan kini berada di sebuah jalan yang diberi nama sempena pelukis potret tersebut.