Kepercayaan Pagan atau lebih dikenali sebagai Animisme dahulunya menjadi kepercayaan etnik Melanau.
Kepercayaan Pagan Etnik Melanau Pada Satu Masa Dahulu. Kepercayaan pagan atau juga dikenali dengan animisme merupakan satu bentuk kepercayaan yang telah diamalkan sejak lama dahulu di kalangan etnik-etnik pribumi di Sarawak. Kepercayaan ini sebenarnya diwarisi daripada nenek moyang setiap etnik dan sehingga kini masih ada lagi sesetengah tradisi dan ritual yang diamalkan.
Untuk artikel kali ini, kami ingin berkongsi dengan anda mengenai kepercayaan Pagan di dalam etnik Melanau, Sarawak. Etnik Melanau ini kaya dengan sejarah asal-usul, dialek, tradisi dan juga kepercayaan daripada nenek moyang mereka.

Masih lagi berpegang kepada kepercayaan lama
Pada zaman dahulu, etnik Melanau di bumi Sarawak rata-ratanya masih lagi berpegang kepada kepercayaan lama tetapi setelah datangnya agama di bumi Sarawak, ramai antara mereka telah memeluk agama Islam dan juga Kristian.
Walaupun etnik Melanau kini ramai menganuti agama yang berbeza-beza namun mereka tetap berbangga dengan kepercayaan nenek moyang mereka.
Disamping itu pesta-pesta bagi etnik Melanau masih lagi dibudayakan hingga sekarang seperti seperti Pesta Kaul yang sinonim dengan kepercayaan lama mereka sehingga menjadikan etnik Melanau terkenal seantero dunia dari dahulu sehingga sekarang.

Awalnya, kepercayaan etnik Melanau ini bercorak animisme
Pada asasnya kepercayaan etnik Melanau ini bercorak animisme dan mempercayai bahawa segala persoalan penting di dalam kehidupan berkait rapat dengan kuasa ghaib.
Menurut kepercayaan animisme ini, etnik Melanau mempercayai bahawa alam ini sebenarnya terdiri daripada 3 lapisan iaitu Lapisan Atas, Lapisan Pertengahan dan Lapisan Bawah. Dan yang dinamakan tiga lapisan atau wilayah ini dikenali dengan nama Langit, Tanah’ dan Iyang.
Langit merupakan zon awang-awangan yang dikenali juga sebagai wilayah kayangan. Tana’ ialah zon daratan, bumi atau alam fizikal (terrestrial) yang boleh dipijak, dilihat dan dirasa dengan pancaindera manusia biasa.

Tana’ ialah wilayah yang fana
Tana’ ialah wilayah yang fana bagi manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Iyang pula ialah alam akuatik atau wilayah akuatik atau wilayah dalam air di bawah zon bumi. Dan kenyataan ini diperhalusikan lagi dengan setiap satu daripada lapisan ini iaitu Langit atau Likou Bah-Bau mempunyai 7 lapisan atas, Lapisan Tana’ atau Likau Dagen yang hanya mempunyai satu lapisan manakala lapisan Iyang atau Likou Bah Iba’ juga mempunyai 7 lapisan di bawah.
Likou Dagen ni turut didiami oleh makhluk-makhluk Tuhan yang lain. Lapisan ini mempunyai sempadan-sempadan tertentu walaupun hanya terdiri daripada satu lapisan. Sempadan itulah yang menjadi pemisah kawasan antara penghuninya. Likou bah iba’ pula, dikatakan lapisan pertama yang paling dekat dengan bumi ialah liko pengamew, diikuti dengan liko kulum, liko belangan, liko yang, liko jin, liko raja jin dan lapisan paling bawah ialah liko baliw.
Tujuh lapisan di atas pula, pada lapisan kelima hingga ketujuh didiami oleh jin, lapisan keempat liko dewa-dewa, lapisan ketiga liko naradin dan lapisan yang pertama di didiami oleh liko baliwan. Dalam kepercayaan Melanau Tradisional wujud kuasa ghaib yang dipanggil sebagai Ipo’ (juga disebut Ipu’ dan Ipuk) dipercayai menguasai semangat pada benda-benda sama ada yang bernyawa mahupun yang tidak bernyawa

Bertujuan untuk kesejahteraan hidup
Sistem kepercayaan ini pada hakikatnya bertujuan untuk kesejahteraan hidup dan untuk mengelakkan daripada perkara yang tidak diingini. Hal ini kerana kepercayaan mereka dikaitkan dengan kuasa ghaib dan kuasa yang luar biasa di luar daripada kawalan manusia.
Setiap Ipo’ mempunyai kuasa mutlak ke atas domain yang didiami dan dikuasainya. Bidang kuasa ini berbeza dari satu Ipo’ ke satu Ipo’ yang lain bergantung kepada kebesaran dan kepentingan di dalam penghidupan. Taraf dan kebesaran kuasa Ipo’-Ipo’ ini wujud dalam satu hierarki. Contohnya Ipo’-Ipo’ yang menguasai tiga zon dunia iaitu Ipo’ Langit (Dewa Langit), Ipo’ Tanah (Dewa Bumi) dan Ipo’ Iyang (Dewa Air) mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada Ipo’-Ipo’ yang lain seperti Ipo’Daat (Dewa Lautan), Ipo’ Kala (Dewa Muara), Ipo’ Guun – Ipo’ Alan (Dewa Hutan Belantara), Ipo’ ‘Uma (Dewa Huma), Ipo’ Lebo’ (Dewa Rumah), Ipo’ Bekaan (Dewa Perkakas), Ipo’ Nase’ (Dewa Nasi) dan sebagainya.
Di antara semua Ipo’-Ipo’ yang wujud ini, Ipo’ yang dianggap sebagai Maha Agung ialah Ipo’ Langit. Ianya bukan sahaja kerana keluasan dan kedudukan yang teratas tetapi juga merupakan satu sempadan yang penuh misteri pada manusia.

Bencana alam yang amat teruk
Ipo’ Langit boleh menyebabkan bencana alam yang amat teruk seperti buan (ribut taufan) dan baliew (banjir). Ia juga mempunyai kuasa untuk menjadikan sesuatu makhluk termasuk manusia menjadi batu melalui bencana buan dan baliew apabila ia murka atau terkilan disebabkan oleh pelanggaran sesuatu pantang larang atau lantaran perbuatan manusia yang bertentangan dengan hukum alam.
Pada umumnya Ipo’-Ipo’ ini bersifat pengampun dan penyayang. Hanya apabila ianya dicerobohi atau pantang larangnya dilanggar barulah mereka murka sehingga menyebabkan pelbagai padah kepada manusia.
Oleh yang demikian, sebelum seseorang melakukan sesuatu yang difikirkan boleh menyinggung atau menyebabkan kemarahan Ipo’- Ipo’ itu, dia hendaklah meminta izin terlebih dahulu daripada Ipo’ berkenaan dengan menyatakan niatnya dan jika perlu memberi semahan kepada Ipo’ tersebut.
Jika sesuatu perbuatan tersebut telah mendatangkan kemurkaan Ipo’, maka seseorang itu perlu mempersembahkan semah (propitiation) dan meminta ampun daripada Ipo’ itu. Tujuan semahan itu adalah untuk memberi hadiah atau penghormatan kepada hantu atau semangat. Dengan mengadakan upacara ini, diharapkan bencana dapat dihindari.

Kewujudan makhluk ghaib
Selain daripada kepercayaan kewujudan Ipo’, masyarakat etnik Melanau juga mempercayai kewujudan makhluk ghaib yang lain. Dari segi amalan, kepercayaan tersebut meliputi penggunaan bomoh sebagai perantara di antara dunia ghaib dan dunia realiti dan kepercayaan yang meliputi keturunan sesebuah keluarga (family cult).
Dunia ghaib termasuk dunia mati mempunyai makhluk halus yang pelbagai jenis dan taraf, contohnya duhig, amow, tow dan jin.
Sebenarnya masyarakat etnik Melanau tradisional juga percaya tentang kewujudan kuasa ghaib lain yang bersifat jahat. Kuasa ghaib jenis ini digelar tow dan boleh disamakan dengan iblis dan syaitan dalam kepercayaan orang Melayu. Tow terdapat dalam berbagai-bagai jenis dan nama tetapi tiada satu pun yang bersifat baik. Ia sentiasa mencari kesempatan daripada kelemahan dan kesilapan manusia untuk menyebabkan penyakit dan menimbulkan kacau bilau.

Makhluk metafizikal seperti amow (hantu)
Selain daripada tow, terdapat juga makhluk metafizikal seperti amow (hantu). Amow digambarkan sebagai jelmaan ketidak sempurnaan dalam upacara pengebumiannya atau atas sebab perbuatan yang tidak baik semasa hayatnya.
Bagaimanapun, amow biasanya tidak berniat jahat seperti tow, cuma bertujuan untuk mengilai dan menakutkan atau untuk mengingati orang yang masih hidup bahawa ada yang tidak kena dengan kematiannya atau ada perkara yang belum sempurna dengan upacara pengebumiannya.
Inilah antara kekayaan dan keunikan salah satu masyarakat yang ada di Sarawak. Banyak lagi yang harus dieksplorasi di dalam memperkasakan tradisi, adat dan warisan di Bumi Kenyalang ini yang mungkin tidak sama dengan mana-mana masyarakat lain di dunia.