Pendedahan panas melampau menyebabkan murid terbabit mengalami kerosakan saraf
Dipaksa Berdiri Bawah Matahari Selama 3 Jam, Murid 11 Tahun Terkena Strok Haba. Seorang murid Tahun 5 di Kuala Lumpur dikhuatiri diklasifikasikan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) berikutan kejadian strok haba yang teruk pada 30 April, di mana mangsa dipaksa oleh seorang guru untuk berdiri di bawah matahari selama hampir tiga jam.
Situasi kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun itu telah berubah secara drastik, menjejaskan saraf dan kesihatannya secara keseluruhan.

Ibu mangsa, A.D. Mogahana Selvi, 35 tahun, mendedahkan bahawa Hospital Ampang telah mengeluarkan surat rujukan untuk anaknya dinilai secara rasmi sebagai OKU berikutan kesan kesihatan yang dialaminya.
Mangsa juga berisiko tidak sesuai untuk belajar di aliran perdana lagi
Dalam pada masa yang sama, pihak hospital menasihatkan Mogahana agar anaknya didaftarkan di sekolah aliran khas memandangkan keadaan kesihatan semasa, yang tidak mengizinkannya untuk melanjutkan pelajaran dalam aliran perdana.
Peguam mereka, Dinesh Muthal, bersama ibu-bapa telah membuat keputusan untuk memfailkan saman sivil terhadap pihak yang bertanggungjawab atas kejadian malang tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak sekolah telah mengeluarkan tiga surat amaran kepada ibu bapa murid berkenaan ketidakhadiran anak mereka dari 2 hingga 23 Mei, namun sama sekali tidak menyentuh perihal murid dipaksa berdiri di bawah panas matahari.
Murid berkenaan dikejarkan ke hospital selepas berdiri di bawah sinar matahari dari jam 10 pagi hingga 12:50 petang.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail mengesahkan pihak polis telah menyelesaikan siasatan dan menyerahkan kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.
