Gen Z kurang minat untuk belajar, lebih minat bekerja pada usia yang lebih awal
Disebabkan Abang Kakak Hutang PTPTN Sampai 50K, Gen Z Tidak Mahu Sambung Belajar. Pempengaruh media sosial, Hakimi Nuzihan, mengatakan bahawa hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merupakan punca utama generasi Z (Gen Z) enggan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Universiti.
Baru-baru ini, kira-kira 10,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak hadir untuk menduduki peperiksaan. Perkara ini dibimbangkan dalam kalangan masyarakat mengenai generasi muda masa kini yang semakin hilang minat untuk belajar.
Mahu bekerja lebih awal dan tidak mahu berhutang PTPTN
Selain itu, semakin ramai anak muda yang tidak mahu menyambung pelajaran dengan alasan mahu bekerja pada usia yang lebih awal.
“Jangan salahkan generasi Z sahaja kerana tidak mahu belajar di Universiti. Mereka telah melihat bagaimana abang atau kakak mereka berhutang PTPTN sebanyak RM50,000 tetapi hanya menerima gaji RM1,800 sebulan. Ada sesuatu yang tidak kena di sebaliknya.
Ada netizen yang setuju, ada yang tidak
Bagaimanapun, segelintir netizen bersetuju dengan pandangan Hakimi, segelintir pula tidak setuju. Bahkan, ada juga yang berpendapat bahawa walaupun nilai pinjaman PTPTN tinggi, pendidikan adalah pelaburan yang bermanfaat.
Manakala yang lain mengatakan bahawa ramai anak muda memilih untuk melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan teknikal dan latihan vokasional kerana peluang kerjaya yang lebih terjamin dan menjimatkan kos.
Peranan ibu bapa dalam menguruskan kewangan pengajian anak untuk melanjutkan pelajaran
Namun, ada juga yang berpendapat bahawa hutang PTPTN hanyalah alasan semata-mata kerana jarang anak muda yang benar-benar memikirkan isu tersebut. Terdapat juga saranan kepada ibu bapa untuk sentiasa menyimpan wang bagi membolehkan anak-anak melanjutkan pelajaran tanpa terbeban dengan hutang pendidikan.
Hakimi kemudian menjelaskan bahawa beliau tidak menafikan kepentingan pinjaman PTPTN, tetapi isu sebenarnya adalah terdapat banyak kursus di universiti yang tidak mempunyai potensi dalam pasaran pekerjaan.
Ini menyebabkan berlakunya lebihan graduan dan menyebabkan gaji mereka rendah kerana persaingan yang tinggi. Beliau berpendapat bahawa masalah ini berpunca daripada sistem pendidikan secara keseluruhannya, bukan hanya generasi Z sahaja.
