Sarawak sedang dalam rundingan untuk membeli dos ketiga ‘Booster’.
Dos Ketiga ‘Booster’ Tidak Bantu Kawal Penularan Varian Delta – Dr Noor Hisham. Dilaporkan bahawa, pemberian dos penggalak (booster shot) kepada mereka yang lengkap vaksin Covid-19 dikatakan tidak dapat membantu untuk mengawal penularan Varian Delta yang semakin tinggi melanda negara baru-baru ini.
Penularan varian Delta boleh dikawal
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, bagaimanapun penularan varian Delta boleh dikawal dengan memberi vaksin kepada mereka yang belum lagi menerima vaksin.
“Kita mesti meningkatkan liputan vaksin dalam negara terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan dos penggalak.
“Tiada sesiapa yang selamat sehingga semua orang selamat,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Boleh membiak di dalam hidung individu yang sudah mendapat suntikan vaksin
Terdahulu media melaporkan kajian baharu mengenai varian membimbangkan (VOC) Delta mendapati bahawa ia boleh membiak di dalam hidung individu yang sudah mendapat suntikan vaksin. Keadaan tersebut disifatkan sama seperti individu yang belum lagi menerima vaksin.
Dr Noor Hisham berkata, kajian awal terhadap satu kes jangkitan mendapati bahawa, varian Delta itu membiak di hidung orang yang sudah divaksinasi seolah-olah individu berkenaan belum mendapatkan vaksin.
“Virus yang membiak itu sama penularannya kepada orang yang tidak divaksinasi. Ini bermaksud individu yang sudah divaksin tetap dapat menyebarkan virus berkenaan serta menjangkiti orang lain,” jelas beliau.
Sarawak dilaporkan telah berusaha untuk membeli bekalan vaksin Covid-19 sendiri
Dipetik daripada Borneo Post, Sarawak dilaporkan telah berusaha untuk membeli bekalan vaksin Covid-19 sendiri untuk meningkatkan dos sejak bulan lalu.
Menteri Negeri, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian yang juga penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak juga dilaporkan bahawa pada awal bulan ini Sarawak sedang dalam rundingan untuk membeli dos penggalak itu dengan niat untuk memulakannya pada bulan Oktober akan datang.
