Kisah Pejuang Sabah Yang Tidak Pernah Tunduk Kepada Jepun
Peristiwa Double Tenth, Kebangkitan Pejuang Sabah Menentang Kezaliman Jepun. Ketika Perang Dunia Kedua sedang memuncak, penduduk Borneo Utara (kini Sabah) tidak terkecuali daripada cengkaman penjajah Jepun yang kejam. Salah satu peristiwa yang terus dikenang sehingga hari ini adalah Peristiwa Double Tenth, yang berlaku pada 10 Oktober 1943, di mana kumpulan Gerila Kinabalu bangkit menentang tentera Jepun.
Gerakan ini memberi tamparan hebat kepada pentadbiran Jepun di Borneo, yang ketika itu berpusat di Kuching. Ancaman daripada kebangkitan rakyat menyebabkan Jepun terpaksa memindahkan pusat pemerintahan mereka ke Jesselton (sekarang Kota Kinabalu).

Anggota Gerila Kinabalu Ditangkap Jepun
Namun, tidak lama selepas itu, Jepun bertindak ganas dengan menumpaskan gerakan ini. Pada 19 Januari 1944, ramai anggota Gerila Kinabalu termasuk pemimpinnya, Albert Kwok, ditangkap. Jepun menggunakan taktik kejam dengan menyiksa keluarga pejuang, memaksa sebahagian mereka menyerah diri.
Kemuncak kezaliman Jepun berlaku pada 21 Januari 1944, apabila 324 orang rakyat Borneo Utara dihukum mati di Petagas. Mereka dipancung menggunakan pedang samurai Jepun, ada juga yang ditembak dengan mesingan dan ditikam dengan bayonet. Antara pejuang yang terkorban ialah Albert Kwok, Li Tet Phui, Jules Stephens, Charles Peter, Panglima Ali, Chan Chau Kong, dan Kong Tze Phui.
Panglima Ali: Pejuang Bajau Dari Pulau Sulug
Nama Panglima Ali mungkin kurang dikenali generasi sekarang, tetapi beliau adalah seorang pejuang dari etnik Bajau Sub-etnik Ubian yang berasal dari Pulau Sulug, Jesselton. Dilahirkan pada tahun 1884, beliau adalah seorang petani yang mengusahakan tanaman ubi kayu, kelapa, dan kebun buah-buahan di Pulau Manukan serta Pulau Sulug. Selain itu, beliau juga seorang ketua kampung, imam masjid, dan guru mengaji yang sangat dihormati masyarakat setempat.

Ketika Jepun menjajah Borneo Utara, kehidupan rakyat menjadi sangat sukar, termasuklah perniagaan Panglima Ali yang terjejas akibat penggunaan mata wang Jepun yang tidak bernilai. Mendengar tentang kezaliman Kempetai Jepun, beliau mula menanam rasa benci terhadap penjajah tersebut.
Pada 9 Oktober 1943, sebuah gudang penuh dengan hasil getah dibakar oleh penduduk tempatan, dan Jepun tanpa usul periksa terus menuduh Panglima Ali serta pengikutnya sebagai dalang. Jepun segera menyerbu Pulau Sulug dan Pulau Gaya untuk menangkapnya, namun beliau dan pengikutnya bangkit mempertahankan diri walaupun hanya bersenjatakan parang. Malangnya, tentera Jepun yang lebih ramai dan bersenjata lengkap akhirnya berjaya menangkap Panglima Ali, sepupunya Kasil, dan adik iparnya Sandolan.
Penyeksaan Dan Pengorbanan
Ketiga-tiga mereka dihumban ke dalam kapal Jepun dan dihantar ke penjara Kinarut, di mana mereka disoal siasat dengan kejam. Jepun menggunakan pelbagai bentuk penyiksaan, termasuk memaksa mereka minum air sabun dan memukul mereka dengan hujung senapang. Namun, mereka tetap teguh dan tidak membocorkan sebarang maklumat kepada pihak Jepun.
Marah kerana gagal mendapatkan pengakuan, Jepun kembali ke Pulau Sulug dua minggu kemudian untuk menangkap 33 lagi penduduk yang dianggap pengikut Panglima Ali. Mereka semua dibawa ke penjara Kinarut untuk disoal siasat dan diseksa. Tidak cukup dengan itu, Jepun terus mengganas di Pulau Sulug, mengusir keluarga Panglima Ali dan merosakkan kampung mereka supaya pengaruhnya terhapus.
Akhirnya, pada 21 Januari 1944, Panglima Ali dan pengikutnya dibawa ke Petagas bersama Albert Kwok dan Gerila Kinabalu untuk menjalani hukuman mati. Mereka dipancung tanpa belas kasihan oleh tentera Jepun.
Warisan Perjuangan
Hari ini, jasad mereka disemadikan di Taman Peringatan Petagas, dan setiap tahun pada 21 Januari, satu acara peringatan diadakan oleh kerajaan Sabah bagi mengenang pengorbanan pejuang-pejuang ini. Peristiwa ini menjadi bukti bahawa rakyat Sabah tidak pernah tunduk kepada penjajahan dan sanggup berkorban demi tanah air mereka.
Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada. Al-Fatihah.

