Pahlawan Legenda Sabah menjadi warisan sejarah
Ketahui Monsopiad, Legenda Pemburu Kepala Di Sabah. Kalau di Sarawak terkenal dengan kisah pemburu kepala, di Sabah pula terdapat seorang pahlawan berani yang menjadi lagenda hingga ke hari ini – Monsopiad. Beliau bukan sahaja dikenali sebagai pelindung kampungnya, tetapi juga sebagai seorang tokoh yang dihormati dan ditakuti kerana keberanian serta kekuatannya.
Monsopiad, seorang pahlawan lagenda dari suku Kadazan-Dusun di Sabah, dikenang sebagai pemburu kepala yang berani dan pelindung kampung halamannya. Kisahnya bermula lebih 300 tahun lalu di Kampung Kuai Kandazon, Penampang, di mana beliau dilahirkan dalam suasana yang dianggap penuh keistimewaan.
Untuk artikel ini, kami ingin memaklumkan bahawa cerita yang disampaikan adalah berdasarkan sumber berlainan.

Kelahiran yang Diraikan Alam
Menurut cerita, ibu bapa Monsopiad, Dunggou dan Kizabon, mengalami peristiwa luar biasa semasa kelahirannya. Seekor burung Bugang, yang dianggap suci, membuat sarang di bumbung rumah mereka dan menetaskan telur serentak dengan kelahiran Monsopiad. Kejadian ini ditafsirkan sebagai tanda bahawa anak mereka ditakdirkan untuk menjadi luar biasa.
Kampung Kuai sering menjadi sasaran serangan perompak, menyebabkan penduduk hidup dalam ketakutan. Monsopiad, dengan latihan khas, membesar menjadi pahlawan yang tangkas. Beliau berikrar untuk melindungi kampungnya dengan memburu dan memenggal kepala musuh sebagai amaran kepada penceroboh lain. Sepanjang hidupnya, Monsopiad berjaya mengumpul 42 tengkorak sebagai bukti keberaniannya.
Kegemilangan yang Berakhir Tragis
Namun, kejayaan Monsopiad membawa kepada perubahan dalam dirinya. Keghairahan memburu kepala menyebabkan beliau mula mencabar dan membunuh tanpa sebab yang kukuh, menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk kampung. Akhirnya, penduduk terpaksa mengambil keputusan berat untuk menamatkan riwayatnya demi keselamatan bersama.
Manakala dari sumber lain menyatakan beliau telah diserang
Pada suatu malam, selepas mabuk akibat minum tapai, beliau diserang oleh sekumpulan musuh. Walaupun sempat melarikan diri ke hutan, kecederaan yang dialaminya membawa maut. Monsopiad dikebumikan di sebuah bukit di Kampung Kuai Kandazon, dengan batu ukiran diletakkan di kuburannya sebagai peringatan.
Hari ini, Kampung Kebudayaan Monsopiad yang terletak 15 km dari Kota Kinabalu menjadi destinasi pelancongan dan pusat warisan budaya. Pengunjung boleh melihat ‘Rumah Tengkorak’, yang mempamerkan lebih 40 tengkorak hasil pemburuan Monsopiad, dan menyaksikan pameran tradisi Kadazan-Dusun.

Kisah beliau juga didokumentasikan dalam jurnal seperti Head-Hunting and The Magang oleh Peter R. Phelan dan Monsopiad oleh James Jivinu.