Real Life Hachiko, gais!
Elak Risiko COVID-19, Lelaki Ini Sanggup Berjalan Kaki Selama 3 Hari Pulang Ke Kampung. Tular beberapa hari lepas adalah cerita mengenai bagaimana seorang lelaki yang sanggup berjalan kaki dari Kota Kinabalu ke kampung halaman beliau iaitu Kota Marudu, Sabah, demi mengelak menjangkitkan orang lain sementara menunggu keputusan ujian Covid-19. Cerita perjalanan lelaki tersebut yang ditemani seekor anjing sepanjang jalan dimuatnaik dalam sebuah status di Facebook oleh adik beliau, Nazehah Shahavelizen’s.
Baru sahaja balik dari Jepun, beliau menjalankan ujian Covid-19 untuk memeriksa status kesihatan
Menurut status adik beliau, abang beliau, Alixson Awandoh, kembali ke Malaysia dari Jepun pada 25 Mac 2020. Setibanya beliau di Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu, beliau terus pergi ke sebuah hospital berdekatan untuk membuat saringan Covid-19. Walaupun keputusan belum diketahui dan beliau tidak menunjukan gejala Covid-19, beliau tetap mengambil langkah untuk berjaga-jaga dan memilih untuk berjalan kaki dari lokasi beliau ke Kota Marudu.
Untuk pengetahuan anda, perjalanan ke Kota Marudu dari Kota Kinabalu mengambil masa 2 jam 30 minit jika menggunakan kenderaan. Oleh kerana beliau berjalan kaki, beliau mengambil masa 3 hari (bertolak waktu petang pada 26 Mac, sampai ke destinasi pada 28 Mac) untuk tiba ke kampung beliau. Memandangkan keputusan saringan dari hospital mengambil masa untuk menentukan positif atau negatif, beliau memulakan perjalanan beliau ke Kota Marudu secepat mungkin.
Setelah barang beliau diambil oleh saudara beliau dari airport, beliau memulakan perjalanan ke Kota Marudu. Beliau memutus untuk berjalan kaki kerana enggan merisiko menjangkitkan pemandu yang menawarkan perkhidmatan transportasi.
Ditemani seekor anjing liar
Mujur ada seekor anjing yang temani beliau sepanjang jalan. Menurut tangkap layar perbualan beliau dengan salah seorang kawan beliau yang dimuat naik sekali dengan status tersebut, beliau mengulas anjing tersebut (yang telah diberi nama iaitu ‘Cico’) mula menemaninya dari Luyang (dimana beliau perlu lalui sebuah perkuburan cina).
Anjing tersebut setia menemani beliau sehingga sampai ke kampung beliau dan kini menemaninya sekali lagi di sebuah pondok dalam kebun berdekatan sebagai langkah kuarantin diri dan mengelak diam dalam satu rumah bersama keluarga beliau.
Yang lebih kagumkan adalah beliau kebetulan melawat tugu dan kubur Hachiko, anjing yang terkenal dengan kesetiaannya terhadap pemiliknya, ketika masih di Jepun. Pengalaman ‘anjing yang setia kepada tuannya’ turut dialami oleh beliau sendiri.
Kata beliau, anjing tersebut ibarat dihantar oleh Tuhan sebagai peneman dan juga untuk mengelak orang bersangka buruk mengenai beliau akibat beliau berjalan kaki berseorangan dan boleh disyaki sebagai ‘orang jahat’.
Tidur di stesen bas sebagai tempat penginapan
Sepanjang jalan, beliau akan berehat di stesen bas dan Cico setia menemani beliau sehingga beliau sampai ke Kota Marudu. Sebagai langkah untuk berjaga jarak, beliau memilih untuk kuarantin diri di sebuah pondok kebun berdekatan dan Cico masih menemani beliau di sana sehingga ke hari ini.
Menurut adik beliau, beliau telah merantau sejak umur 18 tahun dan memang seorang yang berdikari. Selain Jepun, beliau telah merantau beberapa negara iaitu Singapura, Brunei, Indonesia, China, Qatar, Algeria, Australia dan Korea. Beberapa pengalaman sudah dilalui beliau namun pengalaman beliau yang memilih untuk berjalan kaki dari Kota Kinabalu ke Kota Marudu yang mengambil masa tiga hari terutamanya dengan keadaan kini yang mencabarkan adalah pengalaman yang paling pahit manis antara semua.
Cerita beliau yang siang malam berjalan, berehat di stesen bas sambil diteman oleh seekor anjing turut mendapat perhatian netizen di seluruh negara dan terharu dengan tindakan beliau serta kesetiaan Cico terhadap tuannya.