Setakat ini masih belum ada kenyataan membenarkan rentas daerah
Entah Bila Lagi, Kebenaran Rentas Daerah Dinanti Penuh Sabar Oleh Rakyat Sarawak. Hari ini, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan mulai 10 Jun 2020, rakyat Malaysia akan dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas negeri.
Perkara tersebut nyata menjadi satu berita gembira terutamanya buat mereka yang sudah lama tidak menjenguk ibu bapa yang tinggal berdua atau berseorangan di kampung, apatah lagi kaum bujang yang terkandas di bandar terakhir mereka sebelum perintah kawalan pergerakan diumumkan,
Namun begitu, lain pula di Sarawak kerana faktor demografiknya yang besar. Perjalanan dari satu daerah ke daerah lain boleh diumpamakan seperti merentas negeri di Semenanjung Malaysia.
Tambahan lagi, yang memberi kata putus atas keputusan berkait dengan perintah kawalan pergerakan adalah sebuah Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan sendiri oleh Kerajaan Sarawak.
Sejak perintah kawalan pergerakan bersyarat yang membenarkan pergerakan antara daerah daerah di Sarawak dengan kebenaran dari polis, sebanyak 127,138 permohonan telah dibuat dengan sebanyak 117,294 permohonan diluluskan dan baki permohonan ditolak.
Merentas daerah di Sarawak ada kalanya bukan untuk tujuan bersahaja, malah ramai yang tinggal di daerah lain dan mencari rezeki di tempat lain juga. Mereka ini dibenarkan merentas daerah dengan syarat mempunyai surat dari majikan dan diberi kebenaran oleh Balai Polis daerah masing masing.
Di Julau contohnya, mereka perlu ke daerah lain hanya untuk mengeluarkan wang dan pelbagai lagi urusan lain yang tidak terdapat di daerah mereka.
Ada juga individu yang mempunyai kebun dan tanaman yang terletak di daerah lain, dan kini lebih 3 bulan tidak dapat melawati kebun dan tanaman mereka. Pasti mereka ini tidak sabar menunggu kebenaran rentas daerah di Sarawak.
Walaupun kebenaran rentas daerah dan juga perayaan tidak dibenarkan di Sarawak sebelum ini. Masih juga ada insan insan terpilih dengan nakal memuat naik pergerakan mereka ziarah menziarahi dan meraikan perayaan secara rentas daerah secara awan di laman sosial.
Pastinya, bagi mereka yang patuh dengan arahan untuk tidak rentas daerah dan balik kampung akan terguris hati, apatah lagi jika ada ibu bapa di kampung bertanyakan perkara tersebut. Tidak semua akan berani untuk mengingkari perintah kerajaan demi menyambut perayaan.
Ada juga teguran teguran yang menegur secara sinis perlakuan sedemikian kerana nyata, sambutan perayaan itu dilarang dan hanya dibenarkan pada hari pertama. Kawalan dan pencegahan kendiri amat penting, maka mengapa sukar untuk mengorbankan satu kali perayaan besar demi menentang wabak yang tidak nampak di depan mata.
Oleh itu, dengan kejayaan kita setakat ini melandaikan rantaian jangkitan, pastinya kebenaran rentas daerah secara menyeluruh merupakan sesuatu yang sangat dinantikan.
Sektor ekonomi antara daerah, pelancongan domestik dan sebagainya pasti sudah parah sambil menunggu kebenaran yang akhirnya akan membenarkan mereka mendapatkan pelanggan dari daerah daerah lain.
Persoalannya kini, bila lagi perjalanan rentas daerah akan dibenarkan? Jika tidak ada tempoh lagi, bagaimana pula rancangan ‘recovery phase’ atau ‘exit phase’ yang boleh kita jangkakan?
Maka, kita hanya boleh bersabar dan menunggu lagi keputusan pihak berkuasa berkenaan dengan kebenaran ini.
Jika sudah dibenarkan pula nanti, diharap agar rakyat Sarawak boleh berdisiplin dalam mengharungi hidup dengan norma baharu demi mengelakkan risiko jangkitan terhadap ibu bapa di kampung.