Memang terer!
Fasih 5 Bahasa Hanya Belajar Dari Youtube, Pemuda Dari Sabah Ini Buat Netizen Terpegun. Fasih dalam satu atau dua bahasa adalah sesuatu yang normal. Tapi dalam lima bahasa? Itu adalah sesuatu yang luar biasa!
Di Sabah, terdapat seorang individu yang berjaya menguasai kemahiran berbahasa yang pelbagai ini. Inidvidu tersebut adalah Azrey Henderey, seorang pemuda yang berasal dari Tongod, Sabah. Beliau yang aktif memuat naik video di platform media sosial TikTok itu telah menyebabkan netizen kagum dan mindblown setiap kali beliau mempamerkan kehebatannya berkomunikasi dalam pelbagai bahasa.
Netizen kagum Azrey fasih bahasa Jepun, Rusia, Sepanyol, Mandarin dan Inggeris
Azrey dikatakan menguasai 5 bahasa antarabangsa iaitu Bahasa Jepun, Rusia, Sepanyol, Mandarin dan Inggeris. Dalam kebanyakan videonya, Azrey cuba untuk berkomunikasi dengan orang dari luar negara dengan menggunakan bahasa yang dikuasainya itu. Hal ini menyebabkan orang luar terutamanya penutur utama bahasa Jepun, Sepanyol, Rusia, dan Mandarin terpegun dan terkejut setiap kali Azrey membuka mulut.
Malah, ramai orang luar yang berkomunikasi dengan Azrey memuji sebutan dan cara bercakap Azrey yang sangat bagus dan tidak kekok. Apabila ditanya bagaimana beliau menguasai bahasa tersebut, pelajar jurusan penyiaran ini memberitahu bahawa beliau tidak menghadiri sebarang kelas formal tetapi sebaliknya hanya mempelajarinya melalui Youtube sahaja! Gempak ah!
Selain itu, pemuda ini juga tentunya fasih dalam Bahasa Malaysia, dan bahasa ibundanya di Sabah iaitu dialek Sungai Kalabuan. Bahasa Mandarin pula dipelajarinya semasa beliau bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di peringkat rendah.

Semuanya bermula apabila pelajar program pertukaran dari Jepun datang ke sekolah
Walau bagaimanapun, minatnya untuk mempelajari lebih banyak bahasa asing bermula ketika di sekolah menengah. Beliau menceritakan bahawa halangan utama apabila terdapat program pertukaran pelajar Jepun di sekolahnya adalah halangan untuk berkomunikasi. Ujarnya lagi, mereka sangat sukar untuk berkomunikasi dengan pelajar Jepun pada waktu itu.
“Saya tidak mampu untuk mengikuti kelas formal untuk mempelajari bahasa ini. Jadi, saya belajar sahaja dari Youtube. Ternyata, belajar melalui video adalah lebih pantas daripada mempelajarinya melalui buku,”
Azrey Henderey, pemuda fasih 5 bahasa
Malah, dalam salah satu video TikToknya, beliau memberitahu pengikutnya bahawa ia adalah mustahil untuk terus fasih bertutur jika anda baru belajar selama sebulan.
Melangkah peringkat pendidikan diploma di Universiti Kolej Tunku Abdul Rahman, beliau mula serius untuk belajar lebih banyak bahasa sejak berkawan dengan rakan-rakan dari pelbagai negara seperti Sepanyol, Kazahkstan, Rusia, dan Jepun yang dikenalinya di media sosial. Malah, untuk melancarkan lagi pertuturannya dalam bahasa asing tersebut, Azrey sering berkomunikasi dengan orang dari luar negara secara langsung dengan menggunakan aplikasi dalam talian OmeTV.
Pemuda berusia 20 tahun ini juga bercita-cita untuk mengembara ke seluruh dunia untuk memahami budaya dan masyarakat dunia dengan lebih dekat. Di samping itu, Azrey juga menyimpan hasrat untuk menjadi penyampai radio dan ingin mempelajari seberapa banyak bahasa yang boleh.
Selepas ini, Azrey menyasarkan untuk fasih dalam bahasa Belanda, Jerman dan Korea pula. Anda boleh menonton video 5 bahasa Azrey di akaun TikTok nya, @azreykun18.