Kejadian berlaku di sebuah pasaraya terkemuka di Kota Samarahan.
Gara-Gara Sebiji Tembikai, Seorang Lelaki Tua Dituduh Mencuri Di Pasaraya Samarahan. Musim perayaan hampir tiba. Ini juga menandakan bahawa kedai-kedai dan pasaraya juga pastinya meriah dan ramai dengan kunjungan orang awam yang ingin mendapatkan keperluan sama ada untuk menyambut perayaan mahupun untuk mengisi semula bekalan bahan dapur yang kian susut.
Namun demikian, di sebalik kemeriahan, perkara malang pula menimpa seorang lelaki tua ini. Lelaki tua tersebut dikatakan telah dituduh mencuri di sebuah pasaraya Samarahan akibat terlupa membayar sebiji tembikai. Kejadian tersebut berlaku pada petang semalam dan dimuat naik oleh anaknya di laman Facebook.
Menurut anak kepada lelaki tua yang menggunakan nama Facebook Izzue Malique, ayahnya memang ada membeli sebiji tembikai namun terlupa semasa ingin menghampiri isterinya. Walau bagaimanapun, ayahnya sememangnya hendak membuat pembayaran namun ditahan oleh seorang pengawal keselamatan wanita yang dengan melulu menuduhnya mencuri.
Kisah berlaku petang td d Farley Bandar Riyal gara2 semangka sigek my dad dituduh mencuri walhal dia tlupa nk ke arah my…
Posted by Izzue Malique on Monday, May 10, 2021
Lelaki tua tawar bayaran namun ditolak pihak pasaraya kerana percaya dakwaan mencuri
Susulan tuduhan pegawai keselamatan tersebut, lelaki tua terbabit dibawa ke bilik soal siasat namun pihak pengurusan pasaraya tersebut tetap tidak berpuas hati dengan kenyataan yang diberikan oleh lelaki tua tersebut. Jelas Izzue, pihak pasaraya tetap dengan pendirian mereka dan yakin bahawa lelaki tua itu mencuri walaupun dia ingin membayar harga tembikai tersebut. Justeru, dia dibawa ke pondok polis untuk tindakan selanjutnya.
Melalui perbincangan dua pihak yang dilakukan, pihak pasaraya menegaskan bahawa mereka tidak menuduh lelaki tua tersebut sebagai mencuri tetapi hanya mendakwanya dengan alasan kecuaian membawa keluar barangan tanpa bayaran (tembikai) semasa dia menuju ke kereta untuk melihat cucu dan memaklumkan isterinya tentang meletakkan kenderaan. Tindakan yang dilakukan oleh pihak pasaraya ini juga dikatakan telah cukup bertimbang rasa. Namun bagi Izzue, tindakan ini tidak berbudi bicara dan memalukan mereka sekeluarga.

Laporan yang dibuat pula hanya untuk rekod syarikat dan tidak dibawa ke luar pengetahuan umum. Langkah ini juga dibuat bagi mengelakkan pekerjanya tidak dibuang memandangkan pekerja tersebut mempunyai keluarga dan telah mendedikasikan masa bekerjanya dari jam 7 pagi sehingga waktu malam. Pihak pasaraya juga berharap agar perkara ini dapat diselesaikan di antara kedua-dua pihak.
Malah, mereka juga tidak mempunyai masalah sekiranya menjadi tular kerana kebanyakan pelanggan akan tetap mengunjungi pasaraya tersebut.
Tembikai untuk sedekah akhirnya perlu dibayar 10 kali ganda harga asal
Namun demikian, lelaki tua tersebut tetap dikenakan denda sebanyak 10 kali ganda daripada harga sebiji tembikai tersebut kerana dikatakan ia merupakan polisi syarikat tersebut. Tembikai tersebut dilaporkan berharga RM 18. Tambah Izzue, ayahnya membeli tembikai tersebut dengan niat untuk memberi sedekah kepada beberapa orang untuk berbuka puasa. Susulan insiden tersebut, ayahnya hanya mensedekahkan buah tembikai yang telah dibayar dengan harga 10 kali ganda tersebut kepada pihak pasaraya.
Pada akhir hantaran tersebut, Izzue mempersoalkan tindakan pihak pasaraya yang tetap mengenakan denda yang tinggi sedangkan ayahnya hanya melakukan kecuaian. Jelasnya lagi, sekiranya pihak pengawal mahupun pengurusan pasaraya tersebut menegur atau mengingatkan ayahnya dengan berhemah, pasti dia akan membuat pembayaran dengan segera dan perkara seperti ini tidak akan berlaku.
Hantaran yang telah mendapat sebanyak 625 perkongsian dan 246 tanda suka ini juga telah mengundang pelbagai reaksi dan komen daripada netizen. Rupa-rupanya insiden seperti ini bukanlah pertama kali berlaku. Ada juga dalam kalangan netizen yang pernah mengalami kejadian buruk seperti ini.

Ada juga yang disuruh bayar sehingga RM 150 gara-gara ikan masin!




Ada juga netizen yang menyatakan bahawa susun atur kaunter juruwang di pasaraya tersebut adalah tidak begitu sesuai kerana terdapat beberapa stesen barangan lain yang berada di luar kaunter juruwang dan menyukarkan pergerakan pengguna. Tidak kurang juga yang mencadangkan agar pihak pasaraya disaman malu kerana menuduh pelanggan tanpa soal siasat terlebih dahulu.

Sesiapa yang pernah berkunjung ke pasaraya ini, pasti mengetahui tentang susun atur kaunter juruwang pasaraya ini. Apa-apa pun, pastinya ini adalah suatu pengajaran untuk semua orang di luar sana agar sentiasa berhati-hati ketika membeli belah. Pihak pasaraya juga sepatutnya menegur dengan cara yang berhemah dan bukannya bertindak melulu sehingga memalukan orang lain.