Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Gerakkan Pasukan Selepas Gegaran Gempa Bumi
[TERKINI] Gempa Bumi Di Mindanao, Situasi Cemas Gegaran Dirasai Di Sabah. Gempa bumi kuat berukuran 6.6 magnitud telah melanda Mindanao, Filipina pada pukul 10:13 pagi. Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan bahawa gempa tersebut berpusat di koordinat 6.1 darjah utara dan 123.3 darjah timur, dengan kedalaman 632km, hari ini.
Pusat gempa terletak kira-kira 154km tenggara dari Isabela City, Filipina.
![[TERKINI] Gempa Bumi Di Mindanao, Situasi Cemas Gegaran Dirasai Di Sabah](https://www.iloveborneo.my/wp-content/uploads/2024/07/4504415974941429632590606818805812100027426n.jpg)
Penduduk Sabah Terasa Gegaran Gempa Bumi Kuat di Mindanao
Gegaran turut dirasai di sekitar Sabah dan Labuan. Walaupun begitu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengesahkan bahawa tiada ancaman tsunami dilaporkan bagi Malaysia. Kenyataan ini dikeluarkan sejurus selepas kejadian gempa, bagi menenangkan penduduk yang mungkin berasa bimbang.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Jabatan Bomba dan Penyelamat telah menggerakkan pasukan mereka untuk menjalankan pemindahan bangunan dan pemeriksaan keselamatan di beberapa daerah di Sabah seperti Kota Kinabalu, Penampang, Tawau, Sandakan, Ranau, dan Kota Belud.
Di Kota Kinabalu, tiga jentera bomba dengan krew telah dihantar ke lokasi-lokasi utama seperti bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Wisma Wanita, dan Menara Kinabalu. Laporan menunjukkan bahawa kakitangan dan orang awam telahpun mengosongkan bangunan tersebut dan berkumpul di tempat perhimpunan yang ditetapkan sebelum ketibaan pasukan bomba pada pukul 10:40 pagi.
Begitu juga, Stesen Bomba dan Penyelamat Tawau menerima panggilan dari Wisma Persekutuan pada pukul 10:45 pagi, yang mengarahkan penghantaran anggota bomba untuk menjalankan penilaian keselamatan. Pihak berkuasa terus memantau situasi dan menggesa orang awam supaya tetap tenang dan mengikuti panduan keselamatan sekiranya berlaku gegaran susulan.

![[TERKINI] Gempa Bumi Di Mindanao, Situasi Cemas Gegaran Dirasai Di Sabah](https://www.iloveborneo.my/wp-content/uploads/2024/07/TERKINI-Gempa-Bumi-Di-Mindanao-Situasi-Cemas-Gegaran-Dirasai-Di-Sabah-1200x628.jpg)