Masjid & Gereja Bakal Berkongsi Tempat Parkir di Sebauh
Gereja Dan Masjid Dalam Perancangan Bakal Dibina Bersebelahan Di Sebauh. Sarawak sekali lagi mencetuskan inspirasi perpaduan dengan rancangan membina masjid dan gereja secara bersebelahan di Sebauh. Konsep ini mengambil ilham daripada keunikan Lutong, di mana masjid dan gereja di sana telah lama berdiri sebagai simbol keharmonian masyarakat pelbagai agama. Kini, inspirasi yang sama akan dihidupkan semula di Sebauh, apabila dua rumah ibadat bakal dibina berdekatan, malah berkongsi tempat parkir yang sama!
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, baru-baru ini mengumumkan rancangan ini, yang mencerminkan semangat toleransi dan keharmonian masyarakat berbilang agama di Sarawak.

Projek Kini Dalam Proses Tender
“Dengan idea itu, saya juga akan melaksanakan satu projek di Sebauh, daerah di bawah seliaan saya di mana kami mempunyai lima ekar tanah untuk masjid, lima ekar tanah untuk gereja,” kata Dr Stephen Rundi. “Rumah ibadat ini juga akan berkongsi tempat letak kereta yang sama, hanya dipisahkan oleh pagar di luar. Ini akan menunjukkan bahawa toleransi agama kita benar-benar seperti apa yang ingin kita tunjukkan kepada dunia.”
Projek ini juga menandakan komitmen kerajaan Sarawak dalam menyokong keharmonian agama, dengan dana sebanyak RM20 juta telah diluluskan untuk melaksanakan pembangunan tersebut. Setiap rumah ibadat akan menerima RM10 juta untuk memulakan pembinaan, yang kini dalam proses tender.
Sebauh kini bakal menjadi simbol baharu perpaduan dan rasa hormat antara masyarakat Islam dan Kristian, membuktikan bahawa agama tidak perlu menjadi jurang pemisah tetapi jambatan yang menyatukan.

