Ini antara tempat menarik di Pontianak yang jarang diterokai oleh para pelancong
Ini 6 Tempat Menarik Di Bandar Underrated Pontianak. Pontianak, sebuah bandar di Kalimantan Barat, Indonesia, menyimpan pelbagai tempat menarik yang kurang diketahui umum. Walaupun kurang mendapat publisiti, bandar ini merupakan destinasi yang menarik untuk dikunjungi oleh pelancong yang ingin meneroka keunikan dan keindahan yang tersembunyi. Warisan sejarah, khazanah budaya, dan keindahan alam semulajadi menjadikan Pontianak sebuah bandar yang mempunyai daya tarikan tersendiri.
Bagi anda yang kurang arif tentang geografi Borneo, pulau ini terbahagi kepada 3 negara iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei. Walaupun Bandar Pontianak ini termasuk dalam wilayah Indonesia, banyak sebenarnya tempat menarik yang jarang diterokai oleh pelancong. Boleh dikatakan, lokasi yang tersenarai di bawah adalah lokasi underrated di Indonesia.
1. Tugu Khatulistiwa
Tahukah anda bahawa bandar Pontianak ini merupakan satu-satunya bandar di dunia yang terletak tepat di garisan Khatulistiwa? Daripada ratusan bandar di 12 negara yang terletak di garisan ekuator, hanya Pontianak yang terletak sangat tepat pada garisan ini. Malah, disebabkan lokasi nya yang agak jauh dari sempadan mana-mana negara, ia tidak memerlukan persetujuan atau perjanjian antarabangsa.
Pada asalnya, tugu ini dibina menggunakan 4 cerucuk kayu belian. Ia bagi membolehkan anak panah berdiri sebagai simbol orientasi dan rujukan.
Fenomena yang paling ditunggu-tunggu oleh pengunjung di sini ialah matahari tanpa bayang-bayang. Fenomena dua kali setahun yang digelar ekuinoks ini menandakan kedudukan matahari terletak betul-betul di atas bumi. Ekuinoks Musim Bunga berlaku sekitar 21-23 Mac manakala Ekuinok Musim Luruh berlaku sekitar 21-23 September setiap tahun. Melalui fenomena ini, anda boleh menyaksikan matahari tanpa bayang-bayang selama lebih kurang 5 minit.
Selain itu, kunjungan anda di sini juga bakal diberikan sijil menandakan anda pernah tiba ke Tugu Khatulistiwa.
Lokasi
2. Menelusuri Sungai Kapuas
Jika anda tiba ke sini, anda harus meluangkan masa menelusuri Sungai Kapuas dengan menaiki kapal layar atau river cruise. Konsep river cruise ini santai saja. Anda akan menaiki sebuah kapal dengan dihidangkan makanan serta dihiburkan dengan persembahan akustik. River cruise ini akan belayar selama 2 jam di sepanjang Sungai Kapuas, iaitu sungai yang terpanjang di Kepulauan Borneo. Bagi anda yang tidak tahu, Sungai Kapuas mempunyai kepanjangan 1,100 km merentasi kawasan Kalimantan Barat.
Lokasi
3. Istana Kadriah
Istana Kadriah merupakan istana Sultan Pontianak yang pertama. Ia berada tepat di antara 3 persimpangan sungai iaitu Sungai Landak, Sungai Kapuas Kecil dan Sungai Kapuas. Istana berwarna kuning cerah ini dibina pada 23 Oktober 1771 oleh Sultan Pontianak yang pertama iaitu Sultan Syarif Abdurrahman Al Kadrie. Istana yang dibina menggunakan kayu ini menggabungkan tiga elemen seni bina iaitu seni bina Melayu, Belanda dan Timur Tengah.
Menurut sejarah, Sultan Syarif melepaskan tiga das tembakan meriam ke udara bagi menentukan lokasi pembinaan Istana Kadriah ini. Tempat jatuh peluru meriam tersebut akhirnya dijadikan sebagai tiga lokasi penting di Pontianak iaitu Istana Kadriah, Masjid Jami’ Sultan Abdurrahman serta kawasan pemakaman ahli keluarga Kesultanan Pontianak.
Pada asalnya, istana ini bukanlah berwarna kuning tetapi ia dicat semula pada tahun 2017 bagi menjaga struktur bangunan.
Lokasi
4. Rumah Radakng
Betang Radakng atau Rumah Radakng merupakan replika rumah masyarakat Dayak di Kalimantan Barat yang dibina oleh kerajaan bandar Pontianak sebagai pusat tarikan pelancongan.
Dibina sepenuhnya menggunakan kayu belian dan diukir dengan ukiran tradisi Dayak, Rumah Radakng ini juga diiktiraf sebagai rumah tradisional yang terpanjang di Indonesia kerana mempunyai ukuran panjang 138 meter dengan ketinggian 7 meter.
5. Katedral St. Joseph
Katedral St. Joseph atau turut dikenali dengan nama Katedral Santo Yosef merupakan gereja katedral yang terbesar di Asia Tenggara. Dibina pada tahun 1908 namun gereja katedral ini dibina semula pada tahun 2011 kerana terlalu uzur untuk memenuhi jumlah penganut yang ramai.
Seni bina dalamannya lebih tertumpu kepada seni bina Cina dan Eropah namun ia masih mengekalkan ciri-ciri seni khas Dayak. Selain menjadi tempat beribadat masyarakat Kristian, gereja ini mempunyai kemudahan yang lengkap seperti lif dan kedai cenderamata.
Jika anda berada di sekitar Pontianak, sukar untuk anda tidak mengenali kewujudan gereja ini kerana ianya besar.
Lokasi
6. Masjid Raya Mujahidin
Masjid Raya Mujahidin mula dibina pada tahun 1974 dan merupakan masjid yang terbesar di Kalimantan Barat. Difahamkan, masjid ini mampu menampung 5,000 hingga 10,000 jemaah pada satu-satu masa. Tarikan utama Masjid Raya Mujahidin ini ialah reka bentuk dalamannya yang bukan sahaja indah dipandang mata tetapi juga nampak menenangkan sesiapa sahaja yang melihat.
Baru tahu kan Pontianak rupanya banyak tempat yang menarik juga? Kalau ada masa, boleh lah datang melawat ke sini sekali. Bak kata orang, jauh perjalanan luas pemandangan.
Walaupun ‘underrated’, Pontianak menyimpan pelbagai tempat menarik seperti masjid bersejarah, taman rekreasi, makam diraja, dan kampung tradisional. Tempat-tempat ini menawarkan pengalaman unik kepada pelancong yang ingin meneroka khazanah budaya, sejarah, dan keindahan alam semulajadi di bandar yang kurang diketahui umum ini. Pontianak merupakan destinasi yang menarik untuk dilawati bagi mereka yang ingin meneroka keunikan dan keindahan yang tersembunyi.