Trail Yang Mudah Untuk Pendaki Beginner.
Gunung Ngeli, Port Hiking Yang Sesuai Untuk Beginner Di Simunjan. Siapa sangka sebuah daerah yang agak terpencil di Samarahan mempunyai sebuah tempat hiking yang best dan awesome. Bagi anda yang masih di tahap beginner, Gunung Ngeli ini sangat sesuai untuk memulakan pengembaraan hiking anda.
Baru-baru ini, kami berkesempatan untuk mendaki gunung ini sebagai aktiviti riadah hujung minggu. Gunung ini boleh dikatakan sebagai sebuah lokasi hiking yang kurang tumpuan orang ramai.
Dalam artikel kali ini, kami kongsikan pengalaman mendaki Gunung Ngeli dan sedikit info sebagai panduan untuk anda ke sini.
Untuk pengetahuan anda, Gunung Ngeli atau disebut Peninjo oleh warga tempatan ini terletak kira-kira 10 minit perjalanan dari Pekan Simunjan.
Akses Ke Simunjan : Melalui Jambatan Batang Sadong Atau Kampung Gedong
Terdapat beberapa pilihan akses ke Simunjan. Jika anda dari daerah sekitar Kuching dan Samarahan, akses ke Simunjan lebih dekat jika menggunakan laluan Jambatan Batang Samarahan dan Jambatan Batang Sadong. Jika anda dari kawasan sekitar Serian, anda boleh menggunakan laluan ke Kampung Gedong dan melalui Jambatan Simunjan.


Kredit : BERNAMA
Pendakian kami bermula pada sekitar jam 7.20 pagi. Anda sememangnya digalakkan untuk mendaki pada awal pagi kerana cuaca belum terik.
Walau pun ketinggian Gunung Ngeli ini hanyalah 340 meter dari paras laut, tetapi jangan underestimate kesukaran trail untuk naik ke puncak gunung ini. Kami katakan ia sesuai untuk beginner kerana pendakian ini tidak menyebabkan anda terlalu mengah dan penat.
Tetapi sebaliknya anda harus berhati-hati kerana laluan bertangga nya agak licin kerana dipenuhi dengan dedaun serta sedikit berlumut.
Jangan lupa untuk membawa sebilah parang kerana terdapat laluan yang dirintang oleh dahan pokok yang tumbang. Jadi, anda harus memotong dahan-dahan tersebut agar anda dapat melanjutkan perjalanan.
Cadangan Keperluan Yang Harus Anda Bawa
Secara ringkasnya, kami cadangkan anda untuk membawa keperluan seperti ini ;
- Sebotol dua air (1-2 L)
- Topi (untuk melindungi kepala dan leher dari sinar matahari)
- Makanan ringan (roti, bun, biskut, keropok, gula-gula)
- Sunscreen/sunblock
- Persalinan pakaian (jika perlu)
1. Untuk ke sini, anda hanya perlu memandu lurus sahaja dari Pekan Simunjan menuju ke SMK Sri Sadong. Kemudian, masuk ke simpang Jalan Sual di sebelah kiri. Anda akan menemui papan tanda Gunung Ngeli seperti ini.


2. Kemudian, parkir di sebuah pondok check point sebelum anda naik ke atas. Di sini juga terdapat tandas untuk anda menukar pakaian atau melepaskan hajat.

3. Ini pula merupakan papan tanda laluan ke puncak Gunung Ngeli. Anda disarankan untuk melakukan aktiviti memanaskan badan sebelum memulakan pendakian.


4. Pendakian santai kami mengambil masa selama lebih kurang 1 jam 30 minit. Walau bagaimanapun, jika anda merupakan pendaki tegar, Gunung Ngeli ini sebenarnya boleh didaki kurang daripada sejam iaitu sekitar 40 ke 45 minit sahaja. Bergantung dengan stamina anda.
Permulaan trail bertangga sememangnya agak curam dan bersimpang siur. Tips nya, elakkan memandang ke atas dan fokus dengan pendakian anda.



5. Terdapat 2 puncak yang boleh anda lawati di Gunung Ngeli ini. Puncak yang pertama ialah sebuah dataran kecil dengan tiga pondok kayu lengkap dengan bangku untuk anda berehat dan menikmati pemandangan.



6. Tetapi, jika anda benar-benar mahukan pemandangan yang menghijau dan serba biru, cabar diri anda untuk meneruskan perjalanan ke dalam kawasan hutan simpan. Ikut sahaja trail tanah dan anda akan menemui puncak yang bertanda dan mengagumkan.
7. Bukan itu sahaja, anda juga akan menjumpai pelbagai spesis pokok yang jarang didapati seperti pokok selunsur putih atau nama saintifiknya Tristania whiteana. Pokok ini mempunyai batang yang licin dan berwarna putih dan ia merupakan spesis pokok yang terancam.
P/S : Jangan panik jika anda tiba-tiba harus menuruni laluan berbukit dan agak sempit. Laluannya memang begitu. Yakin saja.

Dan tibalah anda ke puncak Gunung Ngeli. Yeay!




Pasti anda akan rasa pendakian anda berbaloi melihat pemandangan yang indah seperti ini. Anda dapat melihat seluruh pemandangan pekan Simunjan dari sini. Malah, anda juga akan dapat melihat ladang kelapa sawit yang terbentang luas serta Jambatan Simunjan. Cantik kan?
Jika anda membawa makanan atau barangan pakai buang seperti plastik dan botol, bawa bahan buangan tersebut bersama dengan anda semasa menuruni gunung dan buang ke dalam tong sampah sesudah anda sampai di bawah.
Sama-samalah kita menjaga alam sekitar.