Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah mencadangkan interstate travel ke Sabah dan Sarawak dibenarkan
Industri Pelancongan Terancam, Bekas Menteri Mencadangkan Perjalanan Antara Negeri Ke Sabah Dan Sarawak Dibenarkan. Seorang bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, telah mengemukakan cadangan menerusi Facebook untuk membenarkan interstate travel atau perjalanan antara negeri ke Sabah dan Sarawak.
Hal ini kerana industri pelancongan kedua-dua negeri ini telah terjejas teruk akibat SOP sedia ada yang menyukarkan perjalanan kemasukan negeri – mengakibatkan kerugian perniagaan dan serta kehilangan sumber pendapatan.
Industri pelancongan merupakan antara penyumbang terbesar ke ekonomi Sarawak dan terutamanya Sabah. Akibat PKP yang menyukarkan perjalanan ke kedua-dua negeri ini, tidak dinafikan penghidupan banyak penduduk tempatan terjejas teruk.
Kos ujian swab dan tiket penerbangan yang terlalu tinggi
Menerusi ciapan beliau, tidak seperti di Semenanjung yang boleh semudah-mudahnya melakukan perjalanan antara negeri melalui jalan darat, mereka yang ingin pergi ke Sabah dan Sarawak perlu berfikir dua, tiga kali sebelum melakukan perjalanan.
Hal ini kerana mereka semestinya menggunakan kapal terbang untuk pergi ke kedua-dua negeri berkenaan – malah, Rahman Dahlan berpendapat bahawa penumpang kapal terbang terpaksa membayar kos ujian swab hingga RM100 – RM150 untuk ujian RTK-Antigen sebelum terbang ke Sabah.
“Kos ini meningkatkan beban orang yang ingin pergi ke Sabah. Bayangkan untuk keluarga 5 orang, kos ujian swab sahaja akan mencecah RM500 – RM750. Dan oleh kerana ujian swab ini dibuat dua kali kerana pelancong perlu menunjukkan ujian swab yang negatif bila pulang ke Semenanjung, kos ujian swab sahaja ialah RM1,000 hingga RM1,500!”
Beliau kemudian menyatakan bahawa kos ujian swab harus dikurangkan untuk meringankan beban orang yang ingin melancong ke Sabah. Katanya,
“Kos pembelian satu kit ujian RTK hanya antara RM20-RM50 sahaja. Syarikat penerbangan, klinik dan hotel boleh bekerja sama untuk menurunkan kos ujian RTK pada tahap minimum.”
Hotel-hotel terkemuka menjalankan SOP yang ketat
Rahman Dahlan juga menyatakan bahawa semua hotel terkemuka di Sabah sudah menjalankan SOP yang ketat seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.
Oleh itu, beliau juga mencadangkan agar selain menggalakkan percutian domestik ke Sabah dan Sarawak, kerajaan boleh memberi peluang kepada industri pelancongan untuk beroperasi.
“Kalau di Sabah, banyak hotel-hotel yang ada di pulau peranginan. Hotel-hotel ini agak terpencil dan tidak terlalu terdedah kepada kunjungan orang tempatan. Hotel-hotel ini bukan sahaja menyediakan tempat penginapan, tetapi mempunyai program dan aktiviti perlancongan mereka sendiri di pulau tersebut. Semua aktiviti ini boleh dibuat dengan syarat SOP yang ketat dan boleh dilakukan di kawasan hotel itu berada,” tambahnya lagi.
Beliau kemudian mencadangkan agar hotel, syarikat penerbangan, pengendali pelancongan dan pemain industri pelancongan di Sabah dan Sarawak untuk bekerjasama dan usaha ini harus dipelopori oleh Kementerian Perlancongan pusat dan negeri untuk penyelarasan.
Fikir di luar kotak untuk meringankan beban industri pelancongan
Bagi menyelamatkan ekonomi Sabah dan Sarawak, beliau menyatakan bahawa semua harus “berfikir di luar kotak.”
“Saya bukannya mengatakan semua ini mudah, tetapi bila kita fikirkan kos terhadap ekonomi Sabah dan Sarawak, bebanan kepada industri perlancongan dan fenomena kehilangan pekerjaan yang teruk, kita semua perlu berfikir di luar kotak,” ujarnya lagi.
Akibat indusri pelancongan terkesan teruk, ramai yang telah hilang pekerjaan dan banyak perniagaan mengalami kerugian seperti hotel tutup dan tour operator tutup operasi.
“Kerajaan pusat dan negeri perlu memberi bantuan kewangan kepada sektor pelancongan supara industri ini tidak mati yang mengakibatkan kesan ekonomi yang parah,” tambahnya.
Beliau menyatakan kesan ekonomi yang merudum akan mengambil masa beberapa tahun untuk pulih. Oleh itu, beliau menasihatkan orang ramai agar membantu dan berfikir cara yang boleh membantu industri pelancongan Sabah dan Sarawak yang mana ratusan ribu rakyat bergantung kepadanya.
PKP tidak berkesan lagi
Beliau mengakhiri ciapannya dengan menyatakan bahawa PKP tidak lagi dapat menjatuhkan kes Covid-19 di Malaysia dan hanya vaksin sahaja satu-satunya harapan negera kita untuk menghapuskan Covid-19.
“Saya risau kalau pun PKP dapat menurunkan kes sehingga sekitar 2000 atau 2,500 kes sehari, angka itu pun masih tinggi. Jadi apakah sektor ekonomi kita disekat atau ditutup sehingga kes turun sampai kosong? Pada waktu itu tidak akan ada industri pelancongan yang boleh berdiri,” katanya.
Beliau menyatakan bahawa kesan daripada PKP yang berpanjangan akan menyebabkan semuanya “kecundang” dan kesan negatif tersebut akan dirasai oleh semua orang.
“Pilihan yang lebih praktikal (adalah) longgarkan sekatan terhadap aktiviti ekonomi dengan memastikan SOP dipatuhi dengan ketat iaitu memakai pelitup muka atau mask, cuci tangan dengan sanitizer dan amalkan penjarakan sosial,” ujarnya lagi.
Apakah pendapat anda dengan cadangan ini? Komen di bawah dan jangan lupa kongsikan artikel ini!