Banyak benda boleh cuba dan explore dekat Borneo Cultural Festival 2022 kali ini.
Ini 5 Sebab Mengapa Anda Mesti Pergi Ke Borneo Cultural Festival 2022 Di Sibu. Setelah 2 tahun tidak diadakan kerana pandemik COVID-19, Borneo Cultural Festival 2022 kini kembali menemui pengunjung di Sibu, Sarawak!
Bukan itu sahaja, penganjuran kali ini nampaknya lebih meriah daripada biasa. Dalam artikel kali ini, kami senaraikan 5 sebab mengapa anda mesti pergi ke Borneo Cultural Festival (atau Sibu, secara amnya) pada bulan Julai 2022.
1. Program yang penuh pameran unik budaya Borneo
Pelbagai program menarik diadakan untuk menonjolkan lagi keunikan budaya Borneo seperti pameran hasil kraftangan berasaskan kayu, dan hasil hutan. Selain dapat menjana pendapatan, para pengunjung luar turut berpeluang untuk membeli barangan pameran sebagai ole-ole.
Antara aktiviti lain yang diadakan untuk mempamerkan keindahan sesuatu etnik adalah dengan persembahan tarian daripada etnik berlainan seperti tarian tradisional Melayu, Cina, Iban dan Melanau dan lain-lain. Persembahan tarian ini akan dipersembahkan bergilir-gilir pada hari yang telah ditetapkan.
Acara ini diadakan untuk mengetengahkan lagi keunikan sesuatu etnik sepenuhnya disamping menghiburkan pengunjung di BCF.
2. Litar lumba mini untuk kanak-kanak (dan orang dewasa juga!)
Salah satu tarikan yang menarik pengunjung ke Sibu pada bulan Julai ini adalah dengan adanya litar pasang siap terutamanya untuk kanak-kanak. Tayar yang disusun dan disapukan cat 3 warna sebagai simbolik kepada warna lampu isyarat, merah, kuning dan hijau.
Aktiviti ini memberi peluang kepada kanak-kanak untuk merasai adrenalin ketika memandu walaupun mereka masih dibawah umur. Lebih menarik, orang dewasa juga boleh bermain di litar ini!
Saiz litar yang berskala kecil bukan penghalang untuk pengunjung menikmati adrenalin memandu dan merasai kepuasan. Penat tetapi pengalaman yang berbaloi. Litar ini akan mula beroperasi pada 8 Julai sehingga 23 Julai 2022, dari jam 3 petang hingga 10 malam di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 2 (betul-betul di hadapan Wisma Sanyan).
3. Pelbagai gerai jualan makanan yang buatkan anda rambang mata
Sesiapa yang minat untuk mencuba pelbagai makanan pasti tidak melepaskan peluang keemasan ini. BCF juga merupakan lubuk kepada peniaga makanan menjual keenakan hasil tangan mereka yang mampu membuat anda rambang mata memilihnya.
Bukan sekadar makanan khas Borneo, ada juga makanan dari Semenanjung yang diusahakan oleh peniaga sekaligus dapat merawat rindu anak-anak atau keluarga perantau.
4. Kecantikan gadis Borneo menerusi pertandingan ‘kumang’
Sinonim nya pertandingan kumang dengan Sarawak, aktiviti ini tidak terkecuali untuk diadakan di BCF. Pertandingan yang terbuka untuk semua wanita memperagakan busana tradisional mengikut suku masing-masing. Mereka memperagakan busana dan menampilkan persona mereka untuk merebut gelaran ”Miss BDCF”.
5. Lokasi yang ‘instaworthy’
Untuk anak muda, sudah pasti ini menjadi carian utama untuk mereka ber”ootd” apabila berkunjung ke BCF. Pada 18 Julai nanti, menara pintu gerbang BCF yang gah akan siap didirikan untuk perasmian pembukaan yang penuh dan rasmi maka ianya akan menjadi tarikan utama untuk menjadi lokasi ”instaworthy”.
Sebab ini memang lebih daripada cukup anda anda curi-curi ‘travel’ ke Sibu di bulan Julai ini. Bah, jom lah kita cari tiket murah dan terbang ke Sibu. #SupportLokal
Untuk maklumat lanjut dan tentatif penuh BCF 2022 ini, lawati laman media sosial rasmi mereka, Borneo Cultural Festival 2022.