Ingat semua panadol sama ke?
Ini 6 Jenis Panadol Dengan Fungsi Berbeza, Pesakit Darah Tinggi Dilarang Makan No. 1. Ubat yang paling lazim digunakan untuk meredakan kesakitan adalah Paracetamol atau lebih dikenali dengan nama komersialnya, Panadol. Ubat ini sebenarnya dikategorikan sebagai ubat tahan sakit atau painkiller dan digunakan untuk melegakan demam dan kesakitan biasa yang lain. Jika sakit anda lebih kronik dan teruk, kebiasaannya pesakit akan diberikan ubat tahan sakit yang lebih kuat seperti ibuprofen, aspirin ataupun opiods mengikut preskripsi doktor.
Namun demikian, jika anda membeli panadol, pernahkah anda terfikir sama ada anda membeli panadol yang tepat atau tidak untuk kesakitan anda?
Menerusi sebuah rajutan di laman Twitter, seorang lelaki yang merupakan ahli kimia mendedahkan jenis-jenis panadol yang ada di pasaran, kandungan dan kesannya jika anda ambil.
Rajutan ini telah mendapat 22.5K ulang ciap dan 19K tanda suka.
Dos harian tidak boleh lebih 4 gram
Menurut lelaki yang dikenali dengan nama @masfaizhakim ini, nama kimia untuk Panadol sebenarnya adalah Para-acetaminophenol. Singkatan yang sering kali kita dengar juga adalah Paracetamol. Portal Kementerian Kesihatan Malaysia pula menjelaskan bahawa seorang dewasa disarankan untuk mengambil sebanyak 500 mg Panadol setiap 4 hingga 6 jam atau 1 gram setiap 4 hingga 6 jam sekiranya diperlukan. Walau bagaimanapun, dos harian tidak boleh melebihi 4 gram.
Setiap panadol yang berlainan di pasaran mempunyai kandungan bahan kimia lain yang berlainan selain paracetamol bagi meningkatkan keberkesanan untuk merawat gejala kesakitan tertentu. Sebab itu ada Panadol yang khas untuk sakit belakang, sakit kepala dan sebagainya. Tapi apa yang berbeza sangat tu kan?
Adakah anda memilih Panadol anda dengan betul? Jom baca penerangan Mas Faiz Hakim tentang kandungan Panadol berikut.
1. Panadol Actifast
Selain paracetamol, Panadol Actifast juga mengandungi kandungan ion garam Natrium (Na+) sebanyak 173 mg untuk setiap biji. Tujuan garam ini adalah bagi memudahkan panadol dihadam oleh perut dan diserap laju oleh usus kecil. Oleh sebab itu jugalah, ia dinamakan sebagai Actifast.
Untuk kesan optimum, dua tablet perlu diambil secara serentak.
- Kandungan selain paracetamol : Ion garam natrium (Na+) 173 mg/biji
- Amaran : Tidak digalakkan untuk pesakit darah tinggi
2. Panadol Optizorb
Disebabkan formulasi terbaharunya, Panadol Optizorb ini mempunyai kesan terapeutik yang agak cepat iaitu sepantas 20 minit. Berbeza dengan Panadol Actifast, Panadol Optizorb ini mengandungi kalsium karbonat (CaCO3) dan asid alginik untuk menggantikan ion garam natrium (Na+) bagi mempercepatkan penghadaman. Kandungan ion garam natrium masih ada tetapi jumlahnya lebih rendah dan ianya lebih sesuai untuk pesakit darah tinggi.
Kedua-dua bahan kimia ini merupakan bahan lazim dalam ubat antasid, ubat untuk meneutralkan asid perut dan simptom pedih ulu hati, asid refluks, sakit perut biasa dan sakit perut yang biasanya disebabkan oleh asid dalam perut. Anda dinasihatkan untuk makan terlebih dahulu sebelum mengambil ubat jenis ini.
- Kandungan selain paracetamol : Kalsium karbonat (CaCO3), asid alginik, ion garam natrium (Na+)
- Amaran : Alas perut terlebih dahulu sebelum makan Panadol Optizorb
3. Panadol Extra
Kalau anda dengar kandungan dalam panadol ini, mesti anda rasa pelik sedikit sebab Panadol Extra ini sebenarnya adalah gabungan paracetamol dan 65 mg kafein. Untuk pengetahuan anda, penggunaan kafein dalam gabungan ini adalah bersesuaian memandangkan kafein adalah sejenis analgesik iaitu menahan kesakitan.
Ubat jenis ini pula sesuai untuk meredakan sakit kepala atau migrain. Walau bagaimanapun, individu yang selalu minum kopi dan merokok dinasihatkan untuk tidak mengambil ubat jenis ini kerana kandungan secawan kopi yang anda minum sehari dianggarkan mengandungi sekitar 80 – 100 mg sedangkan had dos kafein sehari untuk dewasa adalah sehingga 500 mg sahaja.
Panadol jenis ini juga tidak sesuai diambil oleh ibu hamil dan ibu menyusu.
Takut terlebih dos atau tidak berkesan untuk meredakan kesakitan anda.
- Kandungan selain paracetamol : Kafein 65 mg
- Amaran : Tidak digalakkan untuk individu yang meminum kopi, merokok, ibu hamil dan ibu menyusu.
4. Panadol Extend
Dari namanya sahaja, anda sudah boleh mengagak bahawa panadol jenis ini adalah untuk kelegaaan yang lebih lama dari panadol biasa.
Untuk Panadol Extend, ia diformulasikan khas dengan dua lapisan (double layer complexation) atau disebut sebagai adducts dalam istilah kimia. Penambahan dua atau lebih molekul yang berbeza akan menghasilkan satu produk tindak balas yang mengandungi semua atom dalam komponen yang terlibat. Dalam Panadol Extend, paracetamol (PCM) digabungkan dengan asid salisilik menjadi PCM-adduct.
Kesannya, kadar penghadaman panadol akan menjadi sedikit perlahan dan konsisten, kesan yang tidak begitu kuat tetapi tetap memberi kelegaan yang berpanjangan. Kesan Panadol Extend boleh bertahan sehingga 6 ke 8 jam berbanding panadol biasa yang hanya bertahan 3 ke 4 jam sahaja.
Kandungan paracetamol nya juga agak tinggi iaitu 665 mg berbanding 500 mg dalam panadol yang lain.
- Kandungan selain paracetamol : Asid salisilik
- Amaran : Alas perut sebelum makan
5. Panadol Soluble
Tak suka makan panadol sebab rasa pil yang pahit? Jangan risau, Panadol Soluble ini solusi untuk anda.
Panadol jenis ini mempunyai kandungan ion garam natrium yang sangat tinggi iaitu 450 mg sebiji. Selain itu, anda tidak perlu makan secara menelan pil tetapi sebaliknya hanya perlu melarutkannya ke dalam segelas air kosong. Satu biji sahaja sudah cukup memandangkan makanan harian lain sudah mengandungi kandungan garam yang tinggi. Manusia hanya perlukan 2400 mg garam sehari.
- Kandungan selain paracetamol : Ion garam natrium (Na+) 450 mg/biji
- Amaran : Tidak digalakkan untuk pesakit darah tinggi
6. Panadol Menstrual
Senggugut untuk wanita yang datang haid kadang-kadang boleh mengganggu aktiviti seharian. Oleh yang demikian, bagi melegakan kesakitan haid untuk para wanita, Panadol Menstrual diformulasikan khas untuk tujuan ini.
Panadol Mentsrual yang kebiasaannya berwarna merah jambu terang ini mengandungi paracetamol dan pamabrom, 8 bromo-theophylline. Disebabkan ia mengandungi atom bromin, kesan reseptornya adalah kuat.
Pamabrom adalah sejenis ubat diuretik yang berkesan untuk melegakan kenaikan berat badan air (water weight gain), kembung perut, bengkak, dan rasa “penuh” akibat simptom pra-mesntruasi dan semasa menstruasi.
- Kandungan selain paracetamol : Pamabrom, 8 bromo-theophylline
- Amaran : Khas untuk wanita sebelum menstruasi dan semasa mentruasi.
Makan panadol selepas suntikan vaksin, bukan sebelum
Bagi anda yang bakal mengambil suntikan vaksinasi pula, ambil panadol ini hanya SELEPAS suntikan kerana ia mengandungi kandungan garam natrium yang tinggi dan menyebabkan tekanan darah anda naik.
Tekanan darah yang tinggi boleh menyebabkan anda mengalami pening kepala. Kesan selepas vaksinasi pula boleh menyebabkan keadaan menjadi semakin teruk. Jadi, makan panadol selepas suntikan vaksinasi ya.
Sekarang dah tahu kan kandungan setiap panadol yang berlainan? Sekarang, jom kita sebarkan pula info berguna ini kepada ibu bapa dan ahli keluarga yang lain. Makan ubat dengan berhemah dan jangan sampai terlebih dos, okay?