Hairan kenapa vaksin Covid-19 dapat dikembangkan dalam masa satu tahun sahaja?
Ini Adalah Sebab Mengapa Vaksin COVID-19 Dapat Dicipta Di Bawah Satu Tahun. Secara realistik, vaksin memerlukan beberapa tahun untuk dikembangkan. Vaksin harus melalui banyak ujian klinikal dan fasa untuk memastikan bahawa vaksin selamat digunakan oleh manusia.
Jadi, perkembangan vaksin Covid-19 yang berjaya dikembangkan dalam masa setahun sahaja memang tentu mengejutkan orang ramai, termasuk pakar. Namun, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada perkembangan vaksin yang pantas dan berikut adalah penjelasannya.
FYI: ILB bukan laman web perubatan, tetapi kandungan artikel ini dipetik dari Medical News Today iaitu sebahagian daripada Healthline Media UK dimana semua kandungan disemak secara perubatan atau diperiksa fakta untuk memastikan ketepatan fakta sebanyak mungkin.

Sebelum lanjut, jangan mempersamakan AIDS dll. dengan Covid-19
Ketika vaksin Covid-19 diumumkan pada akhir tahun lepas, ramai orang di seluruh dunia akhirnya menarik nafas lega setelah memerangi wabak selama hampir setahun. Namun, terdapat juga yang menyatakan keraguan mereka terhadap vaksin terbabit. Contohnya, di bawah:
HIV, AIDS, Influenza, Kanker, dan penyakit lainnya belum ada vaksinnya sampai sekarang, padahal penyakit mematikan. Kenapa giliran Covid-19 tiba-tiba ada berita gini? Terus mana vaksin buat penyakit-penyakit diatas?
Ada apa ini sebenarnya?#COVID19 #OPENMIND pic.twitter.com/CHzr4LSXQ1
— Almendaris Shandy P (@almenshandy) November 9, 2020
Haa… ini umpama membandingkan oren dengan epal, ok?
Menurut Forbes mengenai beza antara Covid-19 dengan HIV/AIDS, terdapat strategi berbeza untuk membendung Covid-19 dan AIDS kerana cara penularan dan corak jangkitan mereka berbeza.
HIV / AIDS terutamanya disebarkan secara seksual, kedua melalui pembahagian jarum. Pendekatan kesihatan awam untuk mengubah amalan seksual, seperti mengehadkan bilangan pasangan seksual atau mempromosikan penggunaan kondom, boleh menjadi sebahagian berkesan dari masa ke masa tetapi tidak pernah mencukupi untuk menghentikan penularan wabak AIDS. Lebih-lebih lagi, jangkitan HIV adalah seumur hidup. Mereka yang dijangkiti berpotensi menular kepada orang lain selama satu dekad atau lebih.

Sementara itu, Covid-19 disebar melalui udara. Memakai topeng, jarak sosial dan pengasingan jangka pendek cukup untuk mencegah jangkitan. Virus SARS-CoV-2 dengan cepat memuncak dalam beberapa hari selepas jangkitan, dan kemudian memudar dengan cepat. Kebanyakan orang berjangkit kepada orang lain tidak lebih dari seminggu hingga sepuluh hari. Langkah-langkah kesihatan awam mencegah penularan adalah ujian untuk mengenal pasti mereka yang dijangkiti, pengesanan kontak rapat untuk mengenal pasti mereka yang terdedah, dan pengasingan yang ketat terhadap mereka yang dijangkiti dalam jangka waktu yang singkat.

Bagi penyakit barah (cancer), virus yang menyebabkannya adalah virus onkovirus/onkogenik dan bukan sama sekali koronavirus. Sebilangan besar virus manusia dan haiwan tidak menyebabkan barah, mungkin kerana evolusi bersama antara virus dan hostnya.

Koronavirus pula adalah sekumpulan virus RNA yang berkaitan (related) yang menyebabkan penyakit pada mamalia dan burung. Pada manusia, ia menyebabkan jangkitan saluran pernafasan yang boleh berkisar dari ringan hingga mematikan.
Penyakit ringan pada manusia merangkumi beberapa kes selesema biasa (yang juga disebabkan oleh virus lain), sementara penyakit lain yang jenis mematikan boleh menyebabkan SARS, MERS, dan COVID-19.
Penyelidik tidak bermula dari awal kerana sudah ada kajian koronavirus sebelumnya
Menurut Medical News Today, penyelidik tidak bermula dari awal ketika mereka mengetahui mengenai SARS-CoV-2 iaitu virus yang menyebabkan Covid-19.
Untuk pengetahuan anda, SARS-CoV-2 adalah ahli keluarga koronavirus. Menurut National Institute of Allergy and Infectious Diseases, terdapat beratus-ratus koronavirus. Ini termasuk empat yang boleh menyebabkan selesema biasa, virus yang mencetuskan SARS (wabak pada tahun 2002) dan MERS (wabak yang muncul pada tahun 2012).
Profesor mikrobiologi bersekutu di Albany College of Pharmacy and Health Sciences di A.S., Dr Eric J. Yager, mengatakan bahawa para saintis telah menyelidik koronavirus selama lebih dari 50 tahun.
Ini bermaksud para saintis mempunyai data yang ada mengenai struktur, genom, dan kitaran hidup jenis virus ini.
Pada tahun 2002, wabak Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS) – serupa dengan Covid-19 – tercetus dan berlangsung sehingga 2003. Ia adalah hasil jangkitan oleh koronavirus yang para saintis menamakannya SARS (SARS-CoV). Virus ini berkaitan dengan SARS-CoV-2 (Covid-19).
Ketika wabak ini tercetus, ia mudah berjangkit dan membawa maut. Sejumlah 8,098 kes di seluruh dunia dengan 774 kematian dilaporkan. Pada masa ini, para penyelidik telah berusaha untuk mengembangkan vaksin tetapi apabila wabak terbabit ‘berakhir’ sendirinya, penyelidikan antara dihentikan atau dilambatkan kerana dianggap tidak perlu lagi.

Beberapa tahun kemudian, pada tahun 2012, Middle East Respiratory Syndrome (MERS) dilaporkan (digelar MERS-CoV) di Timur Tengah. Pada asalnya dipercayai berasal dari kelawar, ia telah ditentukan bahawa koronavirus terbabit dijangkiti dari unta. Namun, penyebarannya jarang berlaku di luar hospital jadi risikonya terhadap populasi global pada masa ini dianggap rendah (jika dibandingkan dengan Covid-19).
Kes sporadik, kluster kecil, dan wabak besar telah dilaporkan di 24 negara, dengan lebih dari 2,500 kes virus dan lebih dari 900 kematian, pada tahun 2021.
Setakat ini, tiada vaksin atau rawatan khusus untuk penyakit ini, tetapi sejumlah sedang dikembangkan sejak itu.
Kecuali SARS dan Covid-19, tahap MERS-CoV masih dapat dikawal kerana risikonya menjangkiti orang di populasi global adalah rendah jadi pencarian vaksin untuk virus terbabit tidak dibuat dengan pantas.

Apabila Covid-19 muncul, para penyelidik sudah mempunyai pengalaman menghadapi penyakit berpunca daripada koronavirus dan mempunyai data yang mencukupi untuk mempercepat pembangunan vaksin Covid-19.

Pembiayaan penyelidikan vaksin Covid-19
Untuk pengetahuan anda, penyelidikan vaksin sangat mahal. Malah, ujian skala besar untuk menentukan keberkesanan calon vaksin akan menambah angka ini.
Dianggarkan kos pengembangan awal dan ujian keselamatan klinikal awal untuk vaksin biasa berada dalam lingkungan USD31-68 juta pada tahun 2018.
Bagi koronavirus baru ini iaitu Covid-19, kos mungkin lebih tinggi jadi pembiayaan dari kerajaan di seluruh dunia hingga sektor swasta sangat penting dalam mengembangkan vaksin Covid-19.

Contohnya, Operation Warp Speed (OWS) di Amerika Syarikat telah bekerjasama dengan pelbagai institusi termasuk National Institutes of Health (NIH) dan Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC) untuk membangun, mengeluarkan dan mengedarkan sekitar 300 juta dos pada awal tahun lalu.
Dengan menyediakan sumber dan menanggung risiko kewangan, mereka telah membenarkan para syarikat untuk menghasilkan dan menyimpan dos vaksin sebelum syarikat mengetahui jika sama ada vaksin terbabit akan berfungsi.
Sementara itu, European Commission juga telah membiayai beberapa calon vaksin dan bekerja dengan yang lain dalam menjanjikan USD8 bilion untuk penyelidikan Covid-19.
Pasukan Petugas Vaksin kerajaan UK juga telah menjadi penyumbang penting dalam pelbagai penyelidikan vaksin. Penerima dana ini membantu mengembangkan vaksin Oxford / AstraZeneca. Pereka vaksin ini adalah yang pertama menerbitkan hasil keberkesanan yang ditinjau oleh rakan sebaya dari percubaan fasa 3.
Beberapa jutawan dan usahawan turut menderma bagi penyelidikan vaksin Covid-19, termasuk Jack Ma, Bill Gates dan isterinya.


Kolaborasi di seluruh dunia
Dalam keadaan normal, pembangunan vaksin dapat memakan masa hingga 10-15 tahun akibat kerumitan pengembangan vaksin.
Bagi mereka yang tidak sepenuhnya mengetahui fungsi sebenar vaksin, vaksin melatih sistem imuniti tubuh kita untuk mengingati agen berjangkit tanpa dijangkiti.
Secara tradisional, vaksin ini mengandungi bahagian virus tertentu iaitu antigen yang lemah atau tidak aktif untuk menyebabkan tindak balas imun di dalam tubuh.
Vaksin-vaksin ini akan mendorong sistem imun untuk bertindak balas, sama seperti reaksi pertama terhadap patogen yang sebenarnya.
Namun, di tengah pandemik global, kita tidak mampu mengambil masa yang lama. Oleh itu, para penyelidik cepat bergerak untuk berkongsi data koronavirus mereka dengan penyelidik lain.
Berkat kemajuan dalam penjujukan genom (genomic sequencing), para penyelidik berjaya menemui urutan virus SARS-CoV-2 pada Januari 2020 (sekitar 10 hari selepas kes pneumonia pertama dilaporkan di Wuhan, China).
Keupayaan untuk mempercepat kemajuan penyelidikan dan ujian klinikal adalah hasil langsung dari kerjasama di seluruh dunia.

Teknologi mRNA
Negara Malaysia merupakan antara negara yang telah mula memberikan vaksin Pfizer-BioNTech.
Vaksin ini adalah vaksin Messenger RNA (mRNA) pertama yang digunakan pada manusia di luar ujian klinikal.
Selain Pfizer-BioNTech, syarikat lain yang mengusahakan vaksin mRNA adalah Moderna dengan kerjasama NIH.
Kedua-dua syarikat ini merupakan pelopor dalam teknologi mRNA.

Untuk pengetahuan anda, vaksin mRNA mempunyai fungsi yang berbeza dengan vaksin tradisional. Kebanyakan vaksin menggunakan komponen patogen penyebab penyakit yang lemah atau tidak aktif untuk menyebabkan tindak balas imun badan untuk membuat antibodi.
Disebaliknya, vaksin mRNA memanfaatkan proses yang digunakan sel untuk membuat protein untuk mencetuskan tindak balas imun dan membina imuniti terhadap SARS-CoV-2 (virus yang menyebabkan Covid-19). Vaksin ini memberikan bahan genetik protein koronavirus S, di mana sel kita sendiri akan menggunakan maklumat yang tersimpan dalam mRNA untuk membuat protein S.

Sistem imuniti tubuh kemudian ‘dilatih’ untuk mengendali lonjakan ini, mempersiapkannya untuk serangan di masa depan.
Walaupun teknologi ini adalah teknologi baru, teknologi ini sebenarnya telah diusahakan oleh NIH selama beberapa waktu.
Garis panduan ketat untuk ujian klinikal
Setiap data dari fasa percubaan klinikal akan dikaji dengan teliti sebelum mendapat persetujuan, atau dalam kes kecemasan kesihatan awam, sebelum memberikan kebenaran penggunaan kecemasan.
Sebelum mana-mana percubaan klinikal dapat dimulakan, lembaga pengawas dan keselamatan data harus menyetujui protokol kajian.
Terdapat 3 fasa semasa ujian klinikal iaitu:
- Fasa 1: Memberi tumpuan kepada keselamatan calon vaksin. Dos vaksin yang meningkat akan diberikan kepada sukarelawan yang sihat untuk menentukan kesan sampingan dan toleransi.
- Fasa 2: Memperluas pengambilan calon dan mungkin merangkumi peserta dengan keadaan kesihatan seperti obesiti, barah, dan diabetes. Terdapat juga pengambilan aktif peserta pelbagai demografi. Masa ini juga keselamatan vaksin akan diuji dan melihat keberkesanan awal vaksin dan bagaimana ia mempengaruhi sistem imun.
- Fasa 3: Beribu-ribuan peserta akan direkrut untuk mengukur keberkesanan vaksin dalam mencegah penyakit.

Walau bagaimanapun, faktor utama di sebalik cepatnya ujian klinikal adalah minat yang tinggi terhadap sukarelawan untuk kajian vaksin. Ini turut membantu matlamat pendaftran untuk mencapai ribuan peserta dengan laju.
Faktor lain adalah peningkatan bilangan fasiliti pengujian untuk memudahkan pendaftaran dan pengumpulan data yang berjumlah besar.

Pemantauan keselamatan selepas vaksinasi
Walaupun vaksin BioNTech dan selebihnya telah diluluskan dan disuntik ke warga awam, data keselamatan akan terus dikumpulkan kerana para peserta akan sentiasa diikuti hingga 2 tahun.
Ini turut menambahkan lagi tahap keyakinan ketika seseorang beralih dari percubaan ke persekitaran kehidupan sebenar.
Menurut Dr Kenyon, ketua pegawai kesihatan di Project HOPE dan bekas pengarah CDC Center for Global Health, beliau mengatakan,
“Percubaan ini berpuluh-puluh ribu peserta, tetapi untuk program vaksin, anda mencapai jutaan. Walaupun tidak mungkin, ia berkemungkinan akan menemui ketoksikan yang tidak dikesan semasa percubaan. “
Membaca adalah amalan yang mulia
Pastikan anda melengkapi diri anda dengan fakta yang tepat dan selidik sumber untuk mana-mana berkaitan dengan perubatan terutamanya mengenai vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech.
Jadilah pengguna maklumat yang bertanggungjawab – ia adalah penting untuk mendapatkan semua fakta anda sebelum menyokong fakta atau pendapat sepenuhnya. Cari sumber sokongan dan selidik tentangnya. Pastikan sumber tersebut adalah sahih dan disokong oleh penyelidikan dan pakar.
Untuk mengetahui cara mendaftar diri untuk mendapatkan vaksin Covid-19, anda boleh membaca di sini.