Syurga di Ekor Kalimantan yang Wajib Dikunjungi
Ini Panduan Lengkap Percutian Ke Temajuk Tanpa Guna Passport. Temajuk, sebuah tempat yang berada di hujung Pulau Borneo merupakan sebuah destinasi pelancongan baru yang berada berdekatan dengan sempadan Sarawak iaitu Telok Melano. Jangankan orang luar, rakyat Sarawak sendiri pun banyak yang belum pernah sampai ke Temajuk ini. Bena sik?
Walau bagaimanapun, untuk sampai ke Temajuk ini, anda harus melintasi sempadan antarabangsa kerana Temajuk ini terletak di Indonesia, bukan di Sarawak. Kalau harus melintasi pos sempadan antarabangsa, mestilah kena ada passport untuk pergi ke sana, kan? Tapi menurut wanita ini, beliau ke Temajuk tanpa memerlukan passport pun! Jum baca panduan lengkap percutian ke syurga di ekor kalimantan ini.
Menerusi perkongsian di album Facebook Temajuk 2019 milik Sherlynna de’Kaur ini, beliau serta beberapa lagi orang rakan telah meletakkan senarai FAQ (Frequently Asked Questions) untuk panduan umum mengenai percutian ke Temajuk.
1. Bagaimana Hendak Ke Temajuk?

Untuk ke Temajuk, anda perlu melalui bulatan Telok Melano dan mengambil jalan susur masuk yang pertama (arah jam 9).
2. Letak Kenderaan Anda di Warung Makan Berdekatan
Anda boleh meletakkan kenderaan anda di warung makan yang berdekatan. Tiada cas yang dikenakan untuk meletakkan kenderaan anda di sana. Yang paling penting, kenderaan anda selamat.
3. Naik Ojek Lintas Sempadan

Untuk melintas sempadan, anda perlu menaiki ojek (perkhidmatan menaiki motorsikal). Anda boleh bertanya kepada para ojek yang menunggu di warung tersebut. Untuk perjalanan satu hari ulang alik (Melano-Temajuk-Melano), cas yang dikenakan ialah sebanyak RM35.00. Perjalanan ke pos sempadan menggunakan ojek mengambil masa selama 20 minit untuk perjalanan sehala.
Tetapi jika anda berhasrat untuk bermalam di Temajuk, cas yang dikenakan tidak sama seperti cas ulang alik. Untuk itu, anda perlu berunding dengan tukang ojek untuk harga cas yang berpatutan kerana mereka perlu mengambil anda semula dari Temajuk pada hari yang berlainan.
4. Tak Perlu Pakai Passport, Boleh Guna Ringgit atau Rupiah
Tak perlu, gaiss! Anda hanya perlu meletakkan satu kad pengenalan wakil dalam kumpulan anda di pondok pengawal askar Indonesia. Anda juga boleh membawa passport untuk tujuan keselamatan. Tetapi passport anda tidak akan dicop kerana belum ada cop pengesahan rasmi untuk lintas sempadan tersebut.
Untuk mata wang pula, anda boleh menggunakan Ringgit Malaysia (RM) atau pun Rupiah Indonesia. Tiada masalah. Kedua-dua matawang ini diterima untuk urusan jual beli di Temajuk.
5. Tinggal di Resort Camar Bulan (Villa Pelangi)



Untuk tempat tinggal, anda dicadangkan untuk tinggal di Resort Camar Bulan (Villa Pelangi). Jika anda ingin tinggal di tempat penginapan yang berhadapan dengan laut pun boleh. Villa J-Lo menyediakan tempat penginapan yang bertempat di lereng bukit. Kalau nak tahu pilihan yang lain, anda boleh google sahaja. Kini, semuanya ada di hujung jari.
6. Menu Wajib Cuba di Temajuk


Jika anda berkunjung ke Temajuk, menu yang wajib anda cuba ialah asam pedas, makanan laut segar, bakso, kopi buatan tempatan, dan Es Gembira.

7. Lokasi Wajib Pergi di Temajuk


Sekiranya anda memilih untuk tinggal di Resort Camar Bulan, anda boleh melihat pemandangan pantai yang indah daripada villa, berkunjung ke Rumah Terbalik dan pergi ke jeti Dermaga Camar.




Selain itu, peminat pantai juga boleh pergi ke Pantai Maludin (J-Lo Beach), Pantai Teluk Atong, Hobbit House, Tugu Garuda dan Pantai Batu Nenek Kelapa Dua. Waktu yang paling sesuai untuk melihat pemandangan di sekitar kawasan ini adalah pada jam 5.25 petang waktu Kalimantan Barat, sewaktu air surut dan apabila matahari mulai terbenam. Mesti kacak!
8. Apa yang Anda Patut Jangka Setibanya di Temajuk?
Jangan terkejut pula. Difahamkan, tiada bekalan elektrik di Temajuk bermula awal pagi sehingga petang sekitar jam 4.30 petang. Anda dinasihatkan untuk membawa dan mengecas powerbank anda sehabis baik untuk mengecas peralatan elektronik anda. Anda juga disarankan untuk membawa universal adapter.
Servis internet juga tidak disediakan di sana. Namun, anda boleh mendapatkan liputan WiFi di restoran Camar Bulan. Kekuatan isyaratnya? Boleh dikatakan memadai sahaja.
Anda juga disarankan untuk membawa insect repellent dan baju hujan. Hari tidak selalunya cerah. Nyamuk juga dikatakan banyak sewaktu musim hujan. Anda juga perlu bertabah sewaktu mengharungi perjalanan menaiki ojek kerana keadaan jalan yang agak sukar.
9. Apa yang Boleh Anda Lakukan di Temajuk?

Dah namanya pun syurga di ekor Kalimantan, sudah tentulah anda wajib menikmati pemandangannya yang sangat cantik dan mengujakan. Sambil-sambil itu, ambillah gambar kenang-kenangan anda sepuas-puasnya. Jangan pula lupa untuk menyediakan simpanan yang mencukupi di telefon atau kamera.


Anda juga digalakkan untuk berinteraksi dengan penduduk setempat kerana mereka sangat mengalu-alukan kedatangan pelancong dari luar ke tempat mereka. Jika ada kesempatan, anda boleh menaiki bot dan mendaki di Tanjung Datoe. Mengembaralah ke Temajuk kerana banyak lagi lokasi menarik yang belum diteroka di sana.
10. Masa Terbaik untuk Ke Temajuk Adalah Pada Musim Panas


Penduduk tempatan mensarankan agar pelancong berkunjung ke Temajuk pada musim panas iaitu sekitar bulan Mac sehingga penghujung bulan Julai. Pada waktu ini, air lautnya kelihatan lebih cantik dan biru. Jika anda bernasib baik, anda boleh melihat penyu bertelur.
Dah ada panduan lengkap ini, barulah rasa ringan sikit nak melancong ke Temajuk kan? Yang penting, rancang perjalanan anda dengan teliti dan enjoy percutian anda ke destinasi ala Bali di Pulau Borneo ini.
Jangan lupa like dan share post ini serta tag rakan-rakan serta keluarga anda tentang panduan lengkap ini.