Golongan suri rumah juga wajar dilindungi.
Ini Panduan Untuk Mendaftar Skim Perlindungan Khas PERKESO Untuk Suri Rumah. Percaya atau tidak, golongan suri rumah adalah golongan yang turut terdedah kepada bahaya persekitaran, terutamanya sewaktu menguruskan urusan rumah tangga termasuk keperluan keluarga.
Oleh itu, Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) telah diperkenalkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022. Skim ini bertujuan untuk menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan suri rumah daripada bencana domestik dan keilatan semasa menguruskan rumah tangga. Skim ini mula berkuatkuasa pada 1 Disember 2022.
Siapa itu suri rumah di bawah akta ini?
Suri rumah adalah seorang perempuan sama ada berkahwin atau belum, yang menguruskan rumah tangga secara sepenuh masa atau tidak. Ini termasuklah isteri, ibu, janda, balu atau ibu tunggal.
Syarat kelayakan suri rumah
- Warganegara Malaysia / pemastautin tetap
- Suri rumah yang belum mencapai umur 55 tahun/belum mencapai umur 54 tahun pada tarikh pertama kali hendak mencarum SKSSR
- Membayar caruman untuk tempoh 12 bulan, yang dibayar terlebih dahulu
Siapa yang layak mencarum bagi pihak suri rumah ini?
Caruman RM120 bagi tempoh 12 bulan berturut-turut perlu dibayar terlebih dahulu. Caruman boleh dibuat oleh suami, suri rumah, keluarga atau mana-mana pihak ketiga bagi suri rumah tersebut.
Prinsip ‘once in, always in’ akan terpakai bagi suami yang memilih untuk membuat caruman bagi isterinya. Ini bermakna suami tidak boleh menarik balik caruman dan harus meneruskan caruman sehingga usia isterinya mencapai 55 tahun, melainkan berlaku perceraian, atau si suami hilang punca pendapatan.
Faedah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah PERKESO
Di bawah caruman ini, suri rumah layak mendapatkan dua jenis perlindungan iaitu Faedah Perlindungan Bencana Domestik dan Faedah Perlindungan Keilatan.
Faedah Perlindungan Bencana Domestik
Bencana Domestik ialah sesuatu kejadian sehingga menyebabkan hilang upaya kekal untuk melakukan apa-apa aktiviti sebagai seorang suri rumah atau sehingga menyebabkan kematian. Sebagai contoh, suri rumah yang mencarum, mengalami kecederaan diri yang disebabkan oleh suatu kejadian berakibat daripada dan semasa menguruskan rumah tangganya termasuklah ahli keluarganya dan bukan bagi apa-apa tujuan perusahaan, perdagangan, perniagaan atau profesion yang dijalankan olehnya.
Antara manfaat yang bakal diperolehi pencarum jika berlaku seperti ini adalah;
1. Faedah Perubatan
Suri rumah yang ditimpa bencana domestik boleh mendapatkan rawatan perubatan dan layanan pesakit luar di hospital, klinik atau institusi lain.
2. Faedah Hilang Upaya Kekal
Suri rumah yang mengalami satu atau lebih hilang upaya kekal akibat bencana domestik, boleh memohon dan menerima bayaran Faedah Hilang Upaya Kekal secara sekali gus dengan pengesyoran oleh penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan
3. Elaun Layanan Sentiasa
Dibayar secara bulanan kepada suri rumah yang menerima Faedah Hilang Upaya Kekal atau Elaun Keuzuran akibat tidak berupaya dengan teruk hingga sentiasa memerlukan layanan peribadi daripada orang lain.
Suri rumah layak menerima elaun ini setelah diperakukan oleh penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan. Bayaran elaun akan terhenti apabila suri rumah mencapai umur 55 tahun atau meninggal dunia.
4. Faedah Pengurusan Mayat
Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 dibayar sekali (one-off) kepada orang tanggungan yang layak jika suri rumah berinsurans meninggal dunia sebelum mencapai umur 55 tahun.
5. Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis
Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis disediakan kepada suri rumah yang layak setelah diperakukan menghidap hilang upaya kekal atau keilatan oleh penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan.
Sekiranya perlu, suri rumah akan diberikan bekalan prostetik, ortotik atau lain-lain alat, tanpa sebarang kos.
6. Pencen Penakat
Sekiranya suri rumah meninggal dunia akibat bencana domestik atau ketika sedang menerima Elaun Keuzuran, dengan syarat kematian berlaku sebelum umur 55 tahun, Pencen Penakat dibayar kepada orang tanggungan yang layak iaitu duda sehingga mencapai umur 55 tahun atau meninggal dunia, dan kepada setiap anak sehingga berumur 21 tahun atau berkahwin. Jika tidak meninggalkan duda atau anak, Pencen Penakat akan dibayar kepada ibu atau bapa sehingga mereka berumur 55 tahun atau meninggal dunia.
Bagi anak yang sedang menuntut, Pencen Penakat akan terus dibayar sehingga tamat pengajian ijazah pertama atau berkahwin. Pencen ini dibayar secara berterusan kepada anak yang terencat akal, kurang upaya fizikal dan tidak berupaya menanggung dirinya sendiri, sehingga berumur 55 tahun.
Faedah Perlindungan Keilatan
Keilatan ialah penyakit atau keuzuran tertentu sehingga tidak mampu untuk melakukan sebahagian besar atau sepenuhnya aktiviti sebagai suri rumah atau sehingga menyebabkan kematian. Seseorang suri rumah dianggap sebagai menghidap keilatan, jika oleh sebab suatu keadaan keuzuran tertentu yang berkekalan, dia tidak berupaya mengambil bahagian dalam apa-apa sebahagian besar aktiviti seorang suri rumah tertakluk kepada syarat kelayakan.
Antara manfaat yang bakal diperolehi pencarum jika berlaku situasi seperti ini adalah;
1. Elaun Keuzuran
Dibayar secara bulanan kepada suri rumah yang menghidap keilatan dengan pengesyoran penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan.
Suri rumah dianggap menghidap keilatan akibat sesuatu keuzuran yang berkekalan, sehingga tidak lagi berupaya melaksanakan sebahagian besar aktiviti menguruskan rumah tangga.
Pemberian elaun ini akan berakhir setelah keilatan yang dialami suri rumah terhenti, mencapai umur 55 tahun atau meninggal dunia.
2. Elaun Layanan Sentiasa
Dibayar secara bulanan kepada suri rumah yang menerima Elaun Keuzuran atau Faedah Hilang Upaya Kekal akibat tidak berupaya dengan teruk hingga sentiasa memerlukan layanan peribadi orang lain.
Suri rumah layak menerima elaun ini setelah diperakukan oleh penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan. Bayaran elaun akan terhenti apabila suri rumah mencapai umur 55 tahun atau meninggal dunia.
3. Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis
Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis disediakan kepada suri rumah yang layak setelah diperakukan menghidap keilatan atau hilang upaya kekal oleh penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan.
Sekiranya perlu, suri rumah akan diberikan bekalan prostetik, ortotik atau lain-lain alat, tanpa sebarang kos.
4. Faedah Pengurusan Mayat
Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 dibayar sekali (one-off) kepada orang tanggungan yang layak jika suri rumah berinsurans meninggal dunia sebelum mencapai umur 55 tahun.
5. Pencen Penakat
Sekiranya suri rumah yang sedang menerima Elaun Keuzuran meninggal dunia atau beliau meninggal dunia akibat bencana domestik, dengan syarat kematian berlaku sebelum usia 55 tahun, Pencen Penakat dibayar kepada orang tanggungan yang layak iaitu duda sehingga mencapai umur 55 tahun atau meninggal dunia, dan kepada setiap anak sehingga berumur 21 tahun atau berkahwin. Jika tidak meninggalkan duda atau anak, Pencen Penakat akan dibayar kepada ibu atau bapa sehingga mereka berumur 55 tahun atau meninggal dunia.
Bagi anak yang sedang menuntut, Pencen Penakat akan terus dibayar sehingga tamat pengajian ijazah pertama atau berkahwin. Pencen ini dibayar secara berterusan kepada anak yang terencat akal, kurang upaya fizikal dan tidak berupaya menanggung dirinya sendiri, sehingga berumur 55 tahun.
Panduan mendaftar Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah
1. Layari laman sesawang perkeso.gov.my dan klik butang ‘Daftar Sekarang’ yang berwarna biru.
2. Klik butang ‘Daftar Pengguna’ jika anda belum pernah membuat mendaftar sebelum ini.
3. Setelah itu, satu kotak akan muncul. Anda akan diminta untuk memilih jenis ID. Pilih ‘Nombor kad pengenalan baharu’ dan masukkan nombor MyKad anda. Taip semula huruf captcha yang diberikan dan tandakan kotak setuju dan tekan butang ‘Hantar’.
4. Isi maklumat selanjutnya sehingga anda dibawa ke laman pembayaran FPX untuk melunaskan caruman pertama anda.
Anda juga boleh mendaftar dengan memuat turun borang Borang Pendaftaran & Caruman dan menghantarnya ke cawangan PERKESO yang terdekat. Untuk maklumat lanjut, layari perkeso.gov.my atau klik sini untuk pertanyaan lazim > FAQ
Semoga panduan ini berguna untuk anda melengkapkan pendaftaran caruman suri rumah anda. Suri rumah selamat, keluarga sejahtera.
Bagi suri rumah yang minat membuat kek, ini pastinya tips yang menarik untuk anda: Ini Tips Pilih Butter Yang Betul Agar Kek Menjadi Dan Sedap