Pasti anda tertanya-tanya mengapa Bandaraya Kuching mempunyai 2 pentadbiran yang berbeza
Ini Sebab Mengapa Kuching Ada 2 Datuk Bandar. Kuching telah dinaik taraf kepada status bandaraya pada tanggal 1 Ogos 1988. Ini menjadikan Kuching sebagai bandaraya ketiga di Malaysia selepas Kuala Lumpur dan Ipoh.
Malah, Bandaraya Kuching merupakan bandaraya terbesar di Kepulauan Borneo dan mempunyai kepadatan penduduk bandaraya yang tertinggi di Malaysia Timur.

Untuk pengetahuan anda, Bandaraya Kuching dibahagikan kepada 2 iaitu Kuching Utara dan Kuching Selatan.
Kedua-duanya ditadbir oleh orang Datuk Bandar yang berbeza. Bahagian Kuching Utara ditadbir oleh Pesuruhjaya Kuching Utara manakala bahagian Kuching Selatan ditadbir oleh Datuk Bandar Kuching Selatan.
Secara amnya, apa yang membezakan kedua-dua bahagian bandaraya ini ialah asal usul pentadbirannya.
Asal usul Kuching Selatan
Bahagian Kuching Selatan dahulu pada asalnya merupakan sebahagian besar daripada kawasan di bawah Majlis Perbandaran Kuching atau Kuching Municipal Council (KMC). KMC merupakan sebuah jawatankuasa di bawah bidang pihak berkuasa tempatan.
Oleh yang demikian, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) pada masa ini masih tertakluk kepada bidang kuasa serta fungsi seperti yang termaktub dalam Ordinan KMC dengan sedikit perubahan.

Asal Usul Kuching Utara
Berbeza pula dengan bahagian Kuching Utara. Bahagian tersebut pada asalnya merupakan kawasan yang ditadbir oleh Majlis Daerah Luar Bandar Kuching atau Kuching Rural District Council (KRDC) dan merupakan sebahagian daripada KMC.
Namun demikian, setelah dipisahkan daripada pentadbiran KMC, bahagian Kuching Utara ditadbir oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara, sebuah Suruhanjaya yang merupakan badan korporat bertanggungjawab terus kepada Ketua Menteri. Suruhanjaya tersebut dibantu oleh Lembaga Penasihat.
Berasaskan model pentadbiran Kuching Selatan, bidang kuasa dan fungsi Suruhanjaya adalah mengikut ordinannya yang tersendiri iaitu Ordinan Bandaraya Kuching Utara.

Bandaraya Kuching dibahagi dua bagi mengurangkan beban Majlis Perbandaran Kuching
Pembahagian dua bahagian Bandaraya Kuching ini memastikan pentadbiran dapat dijalankan secara bersama dan efisien. Malah, ia juga bertujuan untuk mengurangkan beban Majlis Perbandaran Kuching (kini MBKS) untuk membangunkan bahagian Kuching Utara yang dikawal selia oleh KRDC.
Pada tarikh yang sama dengan pengisytiharan Kuching sebagai bandaraya, dua orang Datuk Bandar yang pertama telah dilantik bagi kedua-dua bahagian.

Datuk Bandar Kuching Selatan yang pertama ialah Encik Song Swee Guan manakala Pesuruhjaya Bandaraya Kuching Utara yang pertama ialah Dr. Yusoff Hanifah. Kedua-duanya merupakan anak jati Sarawak.
Ada teori mengatakan Kuching dibahagi dua kerana penguasaan berdasarkan etnik
Walau pun tidak dapat dipastikan, terdapat juga teori yang mengatakan bahawa pembahagian Kuching kepada dua bahagian ini adalah disebabkan faktor penguasaan kawasan berdasarkan etnik. Ini kerana bahagian Kuching Selatan kebanyakannya didiami oleh penduduk Cina manakala bahagian Kuching Utara adalah kawasan majoriti Melayu.
Walau bagaimanapun, Bandaraya Kuching kini telah diiktiraf sebagai bandaraya perpaduan yang pertama di dunia. Pembahagian Kuching kepada dua kawasan pentadbiran ternyata tidak menghalang penduduknya untuk terus berharmoni dan bekerjasama membangunkan Kuching secara keseluruhannya.
Inilah keunikan Kuching!