Pembelajaran dan pengajaran secara bersemuka tetap diteruskan untuk pelajar peperiksaan.
Institusi Pendidikan Operasi Ikut Takwim Di Negeri PKPB Dan PKPP, Keutamaan Untuk Pelajar Peperiksaan. Memandangkan negara kini kembali menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara bersasar di seluruh negara, Kementerian Pendidikan Malaysia hari ini turut mengeluarkan garis panduan operasi institusi pendidikan sepanjang tempoh tersebut.
Berikut merupakan intisari penting operasi institusi pendidikan KPM sepanjang PKP seperti mana yang telah dimuat naik oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.
A. Operasi institusi pendidikan di kawasan PKP
1. Sekolah rendah dan menengah
Hanya pelajar yang menduduki peperiksaan penting sahaja dibenarkan untuk kembali menjalani sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara bersemuka di sekolah. Murid sekolah berasrama penuh dan asrama sekolah harian yang menduduki peperiksaan dibenarkan untuk pulang ke asrama mulai 16 Januari 2021. Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak sekolah kepada murid bagi tujuan rentas negeri atau daerah.
Pelajar yang terlibat ialah pelajar yang menduduki peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) untuk tahun 2020 dan 2021 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.
Pelajar yang tidak terlibat dengan peperiksaan penting di sekolah rendah, murid Tingkatan 1 hingga 4 serta pelajar Semester 2 SVM dan DVM tahun 2020 akan menjalani PdP secara atas talian mulai 20 Januari 2020.
2. Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK)
Untuk kemasukan ke Tingkatan 1, calon berdaftar yang masih belum menduduki pentaksiran akan menduduki pentaksiran di antara 20 hingga 29 Januari 2021. Kemasukan ke Tingkatan 4 pula akan diadakan antara 15 hingga 25 Februari 2021. Surat kebenaran merentas negeri atau daerah akan dikeluarkan oleh KPM kepada calon untuk tujuan menduduki pentaksiran tersebut.
3. Operasi sekolah
Semua guru dikehendaki kembali ke stesen tempat bertugas masing-masing sebelum 20 Januari 2021. Guru yang terlibat dengan peperiksaan penting di kawasan PKP perlu hadir ke sekolah untuk menjalankan PdP secara bersemuka. Surat kebenaran khas akan dikeluarkan oleh pihak sekolah bagi membolehkan guru merentas negeri atau daerah untuk hadir bertugas.
4. Kolej Matrikulasi
Pelajar kolej matrikulasi di kawasan PKP yang telah berada di kolej perlu kekal di kolej masing-masing untuk terus mengikuti pembelajaran secara hibrid.
5. Institusi Pendidikan Guru (IPG)
Pelajar IPG akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran bagi semua program pengajian dalam mod atas talian mulai 17 Januari 2021.
6. Tadika Swasta berdaftar dengan KPM
Semua tadika swasta yang berdaftar dengan KPM boleh terus beroperasi secara bersemuka.
B. Operasi Institusi Pendidikan di kawasan PKPB dan PKPP
Semua institusi pendidikan KPM dan Institusi Pendidikan Swasta (IPS) berdaftar dengan KPM termasuk sekolah antarabangsa di kawasan PKPB dan PKPP akan beroperasi berdasarkan takwim institusi masing-masing.
KPM turut memberi saranan agar sekolah yang tidak berdaftar di bawah KPM untuk mengikuti prosedur operasi ini.