Pihak Proton mohon maaf di atas kesilapan tersebut
Isu Peta Sabah dan Sarawak Bertukar Tempat, Ini Penjelasan Daripada Pihak Proton. Proton Holdings Bhd (Proton) baru-baru ini melancarkan kenderaan elektrik (EV) pertama Malaysia yang dikenali sebagai e.MAS, yang dijangka diperkenalkan pada akhir tahun ini. Dalam majlis pelancaran tersebut, Proton turut mengumumkan pelantikan 17 pengedar EV Proton dan membuka peluang permohonan untuk peniaga yang berminat, dengan sasaran membuka 30 cawangan menjelang 2025.
Namun, majlis tersebut tidak terlepas daripada kontroversi apabila satu kesilapan dalam slaid pembentangan menarik perhatian ramai.

Slaid yang memaparkan “network target to finalise 20+ outlet in 2024” menunjukkan peta Malaysia dengan kedudukan negeri Sabah dan Sarawak yang bertukar tempat. Kesilapan ini segera mendapat reaksi netizen seluruh Malaysia.
Menanggapi isu tersebut, Proton mengeluarkan kenyataan rasmi:
“Proton mengakui terdapat kesilapan dalam pembentangan yang salah melabelkan negeri Sabah dan Sarawak. Kami amat menyesali kesilapan ini dan memahami sensitiviti yang telah timbul dalam kalangan rakyat Malaysia. Proton memegang tinggi perpaduan dan kepelbagaian Malaysia, dan kami komited untuk menghormati dan meraikan semua negeri secara sama rata. Kami memohon maaf atas sebarang salah faham yang berlaku dan menghargai maklum balas daripada orang ramai. Kami akan lebih berhati-hati dalam usaha kami pada masa akan datang. Terima kasih atas pemahaman dan sokongan anda yang berterusan.”
Kenyataan ini menunjukkan bahawa Proton serius dalam menangani isu tersebut dan berusaha memperbaiki kesilapan yang berlaku.