Jalan McDougall ditutup sementara pada 3 Oktober
Jalan McDougall Ditutup Sementara Esok Hari Bagi Persiapan Sambutan Hari Jadi TYT Sarawak. Jalan McDougall di Kuching akan ditutup buat sementara pada hari Khamis, 3 Oktober. Penutupan ini akan bermula dari pukul 8 pagi sehingga kerja-kerja berkaitan selesai.
Menurut laporan media tempatan, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, penutupan ini bertujuan untuk memudahkan kerja-kerja memasang pentas utama.

Pentas ini adalah untuk acara perbarisan dan perhimpunan besar-besaran sempena Sambutan Hari Jadi ke-78 Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang akan diadakan pada 12 Oktober di Padang Merdeka.
Orang ramai yang ingin ke arah Padang Merdeka melalui Jalan McDougall dinasihatkan untuk membuat pusingan ‘U’ di hadapan Plaza Aurora.
ACP Mohd Farhan juga mengingatkan pengguna jalan raya supaya tidak meletak kenderaan di bahu jalan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Sekiranya ada pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuching di talian 082-259900.

