“Vaksin selamat tak nak percaya, ubat penguat batin tak lulus KKM percaya pula,”
Jangan Percaya Teori Konspirasi, Ini 8 FAKTA Penting Tentang Vaksin COVID-19 Dan Pemberiannya Di Malaysia. Di sebalik kegembiraan Malaysia menyambut ketibaan pertama bekalan vaksin semalam, muncul pula golongan anti-vaksin yang mengecam ketibaan vaksin tersebut. Malah, ada yang menuduh pesawat Malaysia Airlines yang menerbangkan vaksin tersebut adalah salah satu agenda Yahudi dan konspirasi Illuminati untuk menubuhkan New World Order. Hanya disebabkan perkataan ‘One World’ yang tertera pada badan pesawat. Hmm.
Vaksin bukan dajjal dan One World adalah nama airline alliance atau rangkaian syarikat2 penerbangan. pic.twitter.com/GMnImsbuWf
— Khairy Jamaluddin 🇲🇾🌺 (@Khairykj) February 21, 2021
Rupanya, masih ramai yang tidak faham apa itu vaksin dan bagaimana sebenarnya vaksin ini berfungsi. Malah, ia menjadi cabaran dalam era serba canggih untuk memberi kefahaman kepada masyarakat yang masih mempercayai teori dan konspirasi yang tidak dapat dipastikan sumber sahih datangnya dari mana.
Dalam artikel kali ini, kami berikan anda serba sedikit info mengenai vaksin yang perlu anda tahu, sekurang-kurangnya.
1. Rakyat yang dapat kesan sampingan serius akan mendapat pampasan sukarela dari Kerajaan Malaysia
Semasa ketibaan bekalan pertama vaksin Pfizer di ibu negara semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin berkata bahawa kerajaan telah bersetuju untuk memberikan sebuah skim perlindungan khas untuk penerima vaksin. Skim perlindungan khas ini diberikan kepada penerima vaksin yang mengalami kesan sampingan serius akibat suntikan vaksin dan akan disertakan sekali dengan bayaran ex-gratia (pampasan sukarela) daripada kerajaan Malaysia.
Menurut Khairy, kerajaan akan mengumumkan skim perlindungan ini dengan lebih terperinci pada suatu tarikh yang akan diberitahu kelak.
2. Kumpulan guru berisiko tinggi antara golongan terawal yang dipertimbangkan untuk vaksin fasa pertama
Memandangkan sesi persekolahan akan mula dibuka pada Mac 2021, kerajaan juga akan mempertimbangkan pemberian vaksin fasa pertama kepada kumpulan guru yang mempunyai risiko tinggi seperti yang mempunyai penyakit. Namun demikian, keputusan ini bergantung dengan perbincangan bersama pihak KPM bagi mengenal pasti kumpulan guru yang perlu diberi keutamaan.
3. Ada 3 jenis teknologi vaksin untuk melawan COVID-19
Terdapat 3 jenis teknologi vaksin yang berupaya untuk melawan virus COVID-19. Antaranya ialah teknologi mRNA, vektor virus dan virus nyahaktif. Daripada ketiga-tiga teknologi ini, teknologi mRNA adalah teknologi yang terkini dan seumpamanya digunakan untuk pembuatan vaksin iaitu vaksin COVID-19. Vaksin sebelum ini kebanyakannya menggunakan teknologi yang diambil daripada virus atau virus yang dilemahkan yang kemudian disuntik ke dalam badan.
Berikut merupakan jadual perbandingan teknologi vaksin daripada Manual Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan;
4. Pertama dalam sejarah, hanya vaksin Pfizer dan Moderna yang menggunakan teknologi mRNA
Untuk pengetahuan anda, teknologi vaksin jenis mRNA adalah yang pertama digunakan dalam pembuatan vaksin. Jika sebelum ini anda mengetahui bahawa vaksin adalah untuk merangsang antibodi dengan vektor virus dan virus nyahaktif, vaksin teknologi mRNA pula adalah sejenis protein sintetik yang menyerupai protein yang ada pada virus COVID-19.
Apabila protein ini disuntik ke dalam badan manusia, antibodi badan akan mengenalpasti mRNA ini sebagai ancaman terhadap tubuh badan dan membina imuniti yang lebih kuat untuk melawan sebarang ancaman virus yang sama (yakni COVID-19) pada masa akan datang.
Vaksin jenis mRNA tidak akan mengubah DNA seseorang individu kerana ia hanya bertindak kepada protein yang berada sitoplasma sel iaitu di luar nukleus sel. Oleh kerana mRNA ini tidak menembusi lapisan nukleus utama sel, maka DNA tetap selamat dan tidak akan berlaku sebarang pengubahsuaian.
Untuk penerangan yang lebih mudah, kami sertakan petikan video ringkas doktor ini tentang vaksin mRNA;
Sehingga kini, hanya vaksin jenis Moderna dan Pfizer adalah jenis vaksin mRNA yang diluluskan oleh badan kesihatan dunia untuk penggunaan ke atas manusia dan disahkan selamat. Selain itu, vaksin jenis ini juga menunjukkan keberkesanan paling tinggi melawan COVID-19 iaitu 95% berbanding vaksin jenis vektor virus dan virus nyah aktif yang lain.
5. Polisi vaksin di Malaysia ialah 2 dos wajib untuk seorang
Malaysia juga menetapkan bahawa polisi pemberian vaksin di Malaysia adalah wajib sebanyak 2 dos untuk seorang, Untuk vaksin jenis Pfizer, jarak suntikan dos pertama dan dos kedua adalah selama 21 hari. Menurut laporan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), seseorang individu tidak digalakkan untuk menerima suntikan dos kedua terlalu awal daripada jarak masa yang disyorkan. Namun demikian, suntikan dos kedua boleh diambil seawal 4 hari sebelum hari ke 21/22 atau sehingga 6 minggu atau 42 hari selepas tamat tempoh 21 hari.
Namun demikian, untuk kesan maksimum, anda perlu mengambil vaksin tersebut mengikut jadual yang telah ditetapkan.
6. Terdapat 5 bekalan vaksin yang bakal diperolehi oleh Malaysia
Seperti yang dinyatakan dalam Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Malaysia bakal menerima bekalan vaksin daripada 5 syarikat pembuat vaksin iaitu Pfizer-BioNtech (Amerika Syarikat), AstraZeneca (United Kingdom), Sinovac (China), CanSinoBio (China), dan Sputnik V (Rusia).
Daripada kelima-lima senarai ini, hanya vaksin Pfizer yang merupakan vaksin sintetik mRNA manakala yang selebihnya adalah vaksin dari jenis vektor virus (AstraZeneca, Sputnik V) dan virus nyahaktif (Sinovac dan CanSinoBio).
Berikut merupakan perbandingan bekalan vaksin yang bakal diperolehi oleh Malaysia;
7. Fatwa Kebangsaan menetapkan penggunaan vaksin adalah HARUS
Sumber dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut menyatakan bahawa Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam memutuskan bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus.
Penggunaan vaksin bagi melindungi manusia daripada penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak malah hukum penggunaannya telah bermula sejak tahun 1988 lagi. Selain Malaysia, institusi fatwa dunia lain turut memfatwakan keharusan penggunaan vaksin, antaranya adalah institusi terkemuka al-Azhar al-Sharif; Majlis Fatwa Kerajaan Emiriah Arab Bersatu; dan Majma’ Fuqaha’ al-Shari’ah Amerika Syarikat.
8. Individu dengan sistem imuniti rendah tidak sesuai menerima vaksin COVID-19
Menerusi laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia berkenaan vaksin Pfizer, antara individu yang tidak sesuai menerima suntikan vaksin ini adalah seperti berikut;
- Individu mempunyai sejarah alahan/alergi yang serius (contoh: anafilaksis) terhadap makanan/ubat/persekitaran sehingga memerlukan rawatan hospital.
- Individu yang mengalami alahan/alergi yang serius selepas menerima dos pertama vaksin Comirnaty.
- Individu yang menjalani transplan/pemindahan organ seperti buah pinggang atau sel stem darah dalam masa 3 bulan sebelum divaksinasi.
- Individu yang sedang menjalani rawatan kanser seperti kemoterapi, radioterapi, imunoterapi.
- Individu yang mengidap penyakit HIV dengan sel darah putih CD4 < 200 cells/mL
- Ibu yang mengandung atau merancang untuk hamil
- Individu yang sedang demam disebabkan jangkitan virus/bakteria
- Individu yang menerima rawatan antibodi monoclonal atau plasma darah sebagai rawatan untuk COVID-19 dalam masa 3 bulan sebelum divaksinasi
- Individu yang mempunyai sel darah platelet yang rendah (< 50,000 per microlitre)
Tanggungjawab memerangi penyakit COVID-19 ini adalah tanggungjawab bersama. Oleh yang demikian, program vaksinasi ini adalah penting bagi memastikan negara kita mampu membina ‘herd immunity’ atau imuniti kawanan bagi mencegah penularan COVID-19 secara berleluasa. Walaupun perjalanan untuk hidup kita kembali normal masih panjang, namun usaha dan ikhtiar ini pasti membuahkan hasil sekiranya tanggapan negatif dan mengarut tentang vaksin dapat ditangkis dalam kalangan masyarakat.
Hentikan penyebaran berita-berita tidak berasas dan pelajari ilmu dengan sebaiknya. Anda lebih bijak daripada itu.