Makan Bubur Pedas, Pasti Teringat Puasa Di Sarawak.
Jom Cuba Resepi Bubur Pedas Ini, Hidangan Sinonim Bulan Ramadan Di Sarawak. Setibanya bulan puasa di Sarawak, bubur pedas bukan lah satu hidangan yang asing. Malah, pembuatan bubur pedas di bulan Ramadan adalah sesuatu yang sangat sinonim dan ditunggu-tunggu oleh peminatnya.
Bubur pedas merupakan hidangan bubur yang mengandungi pelbagai campuran sayur-sayuran. Kebiasaannya, sayur yang digunakan adalah sayur-sayuran kampung seperti pucuk ubi, daun kunyit, pucuk midin, batang pisang dan banyak lagi. Menariknya, tiada sayur-sayuran yang spesifik untuk membuat bubur pedas ini. Ia bergantung pada citarasa anda.
Sedikit sejarah mengenai hidangan ini, ia sebenar nya berasal dari Sambas, Kalimantan Barat, Indonesia. Ia merupakan makanan asli masyarakat Melayu Sambas dan menular hingga ke seluruh kawasan Kalimantan Barat. Malah, pengaruhnya sampai ke masyarakat Melayu Sarawak sehingga ke hari ini. Untuk pengetahuan anda, perkataan ‘pedas’ dari bahasa Melayu Sambas membawa maksud aneka sayuran dan rempah di dalam hidangan tersebut.
Cara membuatnya pula? Jom kita lihat!
Bahan-Bahan
Bahan Kuah
- 250 gram ibu bumbu pedas (dicampur dengan sedikit air)
- 5-6 biji bawang merah
- 5-4 ulas bawang putih
- 1 biji bawang besar (dipotong kiub kecil)
- 1 sudu besar cili kisar
- Rempah tumis
- 1 kotak kecil santan
Bahan Isi
- Daun singkel
- Daun kunyit
- Bunga kantan
- Kulat
- Kacang panjang
- Sayur-sayuran lain (ikut citarasa anda)
- Kulit sapi
- Isi ayam (direbus dan dipotong dadu)
Cara Membuatnya
1. Kisar bawang merah, bawang putih dan bawang besar.
2. Panaskan minyak. Masukkan rempah tumis (kayu manis, bunga lawang, buah sapulaga, bunga cengkih) ke dalam kuali. Kemudian, masukkan cili kisar dan seterusnya bawang yang telah dikisar. Tumis hingga naik bau.
3. Masukkan bahan isi seperti ayam atau udang.
4. Masukkan bumbu pedas yang telah dicairkan hingga pecah minyak. Tambahkan minyak sekiranya minyak nampak kurang. Sekiranya kurang air, tambahkan air sedikit supaya bumbu anda tidak hangus. Biarkan masak.
5. Masukkan bahan isi yang selebihnya (daun-daun/sayur-sayuran) dan gaul sebati. Tambahkan sedikit air supaya tidak terlalu kering dan sayur lebih masak.
6. Masukkan santan.
7. Letakkan garam dan serbuk perasa.
Siap! Dah boleh dihidangkan.
Kebiasaannya, hidangan bubur pedas ini mempunyai hasil yang banyak pada akhir masakan. Jadi, anda tidak perlu khuatir untuk berbagi-bagi sesama jiran tetangga. Dahlah banyak, jimat pula tu.
PS : Kekuatan bubur pedas ini adalah pada kualiti ibu bumbunya. Jika anda inginkan rasa bubur pedas yang asli dan mantap, pastikan anda memilih ibu bumbu yang benar-benar harum dan mempunyai rasa yang kuat. Barulah bubur pedas anda ada umph!
Mengidam tom yam? Baca selanjutnya di sini :