Impian arwah emak jadi realiti, Siti Shazwana juara Dunia Pencak Silat dari Sabah di Abu Dhabi
Anak Sabah Buktikan Kehebatan, Kejayaan Juara Dunia Pencak Silat Berkat Semangat Arwah Ibu. Dalam satu pencapaian luar biasa, pesilat negara, Siti Shazwana Ajak, atau lebih mesra dikenali sebagai Wana, telah mencipta sejarah dengan merangkul pingat emas di Kejohanan Pencak Silat Dunia Ke-20 dalam kategori Putri D (60-65kg) yang berlangsung di Abu Dhabi.
Kejayaan anak kelahiran Sabah ini bukan sahaja membanggakan Malaysia, malah membuktikan kemampuan atlet negara bersaing di peringkat antarabangsa.

“Ini Impian Emak Saya”
Wana yang juga pelajar Doktor Falsafah (Pengurusan Awam) di Universiti Utara Malaysia (UUM), berjaya menewaskan pesaing hebat dari Thailand dalam perlawanan akhir. Kejohanan yang disertai 55 negara dari 18 hingga 22 Disember itu menjadi pentas terbesar buat Wana untuk merealisasikan mimpinya.
“Alhamdulillah, emas kali ini sangat bermakna untuk saya. Ini adalah kejayaan yang saya dedikasikan untuk arwah mak, keluarga, jurulatih, dan semua yang sentiasa menyokong saya. Ia juga melengkapkan perjalanan saya setelah hanya memenangi gangsa dan perak pada edisi 2018 dan 2022,” katanya penuh emosi.
Namun, kejayaan ini juga diselubungi rasa sayu apabila Wana mengimbau perjuangan yang didorong oleh impian ibunya yang telah meninggal dunia.
“Iya, kejayaan muncul juara dunia ini ada cerita dia, panjang cerita dia. Kejayaan ini saya fokuskan dan tanamkan buat arwah emak saya. Ini adalah impian beliau sebelum menghembuskan nafas terakhir,” katanya, menurut laporan media tempatan.
“Memang impian ibu saya untuk melihat saya menang emas, tetapi arwah emak saya tidak sempat tengok. Dirinya hanya sempat melihat saya menang pingat perak di Kejohanan Pencak Silat Dunia di Melaka tahun lepas.
“Dan kali ini beliau tak dapat melihat, tapi saya percaya saya menang ini atas semangat emas saya. Alhamdulillah, itulah orang kata punca kejayaan saya memenangi pingat emas kali ini,” katanya dengan nada sebak.
Perjalanan Sukar, Semangat Luar Biasa
Namun, kemenangan ini tidak datang dengan mudah. Wana menghadapi cabaran getir sejak dari pusingan awal apabila undian mempertemukannya dengan negara-negara gergasi dalam seni silat.
Di suku akhir, Wana berjaya menewaskan pesilat dari Vietnam sebelum melangkah ke separuh akhir untuk menundukkan wakil Indonesia. Perlawanan paling sengit dihadapinya ketika bertemu Indonesia, tetapi Wana tetap konsisten dengan aksi luar biasa.
“Thailand juga bukan lawan mudah, tetapi saya menggunakan segala teknik dan strategi yang saya latih selama ini. Kemenangan ini adalah bukti pentingnya persiapan mental dan fizikal,” katanya.
Silat Sebagai Seni Budaya dan Pertahanan Diri
Bagi Wana, pencak silat bukan sekadar sukan tetapi juga warisan budaya yang perlu dihargai. Ia juga merupakan seni mempertahankan diri yang praktikal untuk semua.
“Saya harap kemenangan ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk belajar silat. Ia mudah dipelajari dan sangat berguna dalam keadaan tidak dijangka,” tambahnya.
Inspirasi Buat Atlet Muda Malaysia
Kejayaan ini turut mendapat perhatian Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan, yang menyifatkan Wana sebagai inspirasi kepada atlet muda negara.
Kemenangan ini adalah simbol semangat juang bangsa Malaysia. Wana telah membuktikan bahawa kita mampu bersaing di peringkat dunia dan membawa nama Malaysia ke puncak.
Dengan kemenangan ini, Siti Shazwana bukan sahaja mengharumkan nama negara tetapi juga membuktikan bahawa semangat, usaha, dan disiplin tinggi adalah kunci untuk mencapai kejayaan. Syabas Wana, Malaysia bangga denganmu.

