Bayi lelaki baru lahir ditemui tepi jalan di Semporna
Orang Awam Terkejut Jumpa Bayi Masih Bertali Pusat Di Tepi Jalan Semporna. Satu kejadian mengejutkan berlaku di Semporna apabila seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemukan di tepi jalan oleh orang awam. Bayi yang dibungkus dengan kain itu ditemui di atas rumput di Jalan Kampung Keramat pada Jumaat lalu, sekitar jam 1 petang.
Menurut Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Sabri Zainol, individu yang menemui bayi tersebut segera menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut. Bayi itu kemudiannya dihantar ke Hospital Semporna bagi mendapatkan rawatan segera.

Doktor mengesahkan bayi seberat 3.1 kg itu berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami kecederaan serius. Buat masa ini, bayi tersebut masih berada di hospital untuk pemantauan lanjut, menurut laporan media tempatan.
Polis Buru Individu Bertanggungjawab
Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.
Pihak polis juga sedang berusaha mengesan individu yang bertanggungjawab meninggalkan bayi berkenaan. Mereka menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.
Jika anda mengetahui sebarang maklumat berkenaan kejadian ini, boleh hubungi Hotline IPD Semporna di 089-782020 atau terus berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Hafizudin Akram Ghafar Ismail di 013-7557293.
Walaupun kisah ini menyayat hati, kita berharap bayi ini akan mendapat penjagaan yang lebih baik dan membesar dalam persekitaran yang penuh kasih sayang. Jangan lupa kongsi berita ini agar lebih ramai orang cakna tentang isu pembuangan bayi di negara kita.

