Apakah sebabnya?
Kajian Mendapati Bayi Lahir Sewaktu Pandemik Cenderung Memiliki IQ Yang Rendah. Beberapa tahun pertama selepas seseorang bayi dilahirkan adalah sangat penting untuk pembangunan kognitif bayi. Namun, sebuah kajian daripada Amerika Syarikat pula memberitahu satu fakta yang sangat menggusarkan ibu bapa di mana bayi yang dilahirkan sewaktu pandemik akan memiliki tahap IQ yang rendah.
Berdasarkan analisis standard, IQ bayi yang diuji sekitar usia 3 bulan sehingga usia 3 tahun menunjukkan penurunan daripada purata 100 kepada 78 sahaja. Sewaktu zaman pra-pandemik, majoriti kanak-kanak yang diuji mempunyai tahap IQ secara purata sekitar 100.
Persekitaran yang terbatas, kurang rangsangan dan interaksi dunia luar jadi punca
Para penganalisis mendapati bahawa hal ini adalah disebabkan pertumbuhan kognitif kanak-kanak yang tidak dapat dibina secara normal akibat persekitaran yang terbatas. Pandemik COVID-19 telah memaksa banyak sektor ekonomi, taska, sekolah dan taman permainan untuk tutup. Oleh yang demikian, kehidupan bayi ini secara tidak langung turut terjejas kerana ibu bapa mereka bertungkus lumus untuk mengimbangi kerja dari rumah dan menguruskan anak-anak.
Disebabkan persekitaran yang terbatas ini juga, kanak-kanak tidak mendapat rangsangan stimulasi dan berinteraksi dengan dunia luar seperti mana kanak-kanak pada zaman sebelum pandemik. Ibu bapa dikatakan menghadapi masa yang sukar dan kepenatan, menyebabkan interaksi mereka dengan anak-anak juga semakin berkurangan.
Ujian pembangunan kognitif mereka juga menunjukkan keputusan yang rendah dan memeranjatkan, jelas pengarang ketua kajian, Sean Deoni, yang merupakan profesor kajian paediatrik di Brown University.
Lebih buruk dalam kalangan negara-negara miskin
Tambah Sean, penurunan ini lebih drastik dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai latar belakang sosio ekonomi keluarga yang lebih rendah dan bakal memberi impak yang lebih buruk terutamanya dalam kalangan negara-negara miskin.
Walau bagaimanapun, belum ada hasil kajian yang jelas sama ada skor kognitif rendah ini mempunyai kesan dalam jangka masa yang panjang. Beberapa tahun pertama kanak-kanak umpama membina tapak asas rumah. Jika asas anda kukuh, lebih mudah untuk anda membina bilik dan mengembangkan aspek-aspek dalam hidup. Namun, semakin kanak-kanak itu meningkat dewasa, semakin kecil peluang untuk mereka menerima perkara yang sepatutnya mereka belajar sewaktu kecil.
