Kanak-Kanak Cedera Selepas Pintu Kaca Pecah di Pusat Membeli-Belah di Kuching
Tular Kanak-Kanak Cedera Akibat Pintu Kaca Pecah Di Pusat Beli-Belah Di Kuching. Kejadian yang mengejutkan berlaku di sebuah pusat membeli-belah di Kuching apabila pintu kaca di lokasi itu tiba-tiba pecah, mengakibatkan seorang kanak-kanak cedera.
Kejadian yang berlaku malam tadi telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengunjung serta menarik perhatian ramai di media sosial.

Kejadian berlaku malam tadi di salah sebuah pusat beli-belah di Kuching
Salah seorang saksi yang berada di tempat kejadian berkata mereka hanya mendengar bunyi dentuman kuat sebelum menyedari pintu kaca itu pecah. Walau bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih belum diketahui.
Rakaman dan gambar kejadian itu telah dimuat naik ke Facebook, dan hantaran tersebut segera menjadi tular dengan ribuan komen dan perkongsian. Dalam video yang tersebar, kedengaran suara tangisan kanak-kanak yang dipercayai cedera akibat serpihan kaca.
Antara komen netizen, ramai yang melahirkan rasa simpati terhadap keluarga mangsa dan memberi peringatan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati di kawasan pintu kaca.
Selain itu, ada juga netizen yang menyatakan bahawa terdapat pelekat amaran di pintu tersebut.
Baru-baru ini, pihak pusat membeli-belah tersebut telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kejadian ini, menyatakan keprihatinan mereka terhadap insiden yang berlaku.
Berikut adalah kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan pusat membeli-belah:
Kejadian berlaku sekitar jam 8.07 malam di pintu masuk kawasan India Street. Seorang kanak-kanak kecil, yang tinggi badannya di luar sudut pengesanan sensor pintu automatik, telah kembali berdiri berhampiran pintu selepas keluarganya keluar. Pintu tertutup dan melanggarnya, menyebabkan kaca tempered pecah serta kanak-kanak tersebut cedera ringan di bahagian dahi.
Kanak-kanak dan keluarga tersebut segera dibawa ke hospital, di mana luka kecil itu dirawat, dan pemeriksaan X-ray menunjukkan tiada kecederaan lain. Kami gembira untuk memaklumkan bahawa kanak-kanak itu kini dalam keadaan baik.
Kami ingin mengingatkan ibu bapa untuk sentiasa memerhatikan anak-anak mereka bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku. Keselamatan semua pengunjung adalah keutamaan kami.”


