Polis telah membuka dua kertas siasatan
Kanak-Kanak Lelaki 1 Tahun Meninggal Dunia, Ditemui Tidak Sedarkan Diri Dalam Kereta. Dilaporkan, satu lagi insiden tragis melibatkan kanak-kanak berlaku di Kota Samarahan apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun 10 bulan ditemui tidak sedarkan diri di kerusi penumpang belakang kereta bapanya.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Jaimi Husin, berkata pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa pada jam 4.41 petang semalam.

Segera dikejarkan ke klinik namun terlambat
Menurut Jaimi, bapa mangsa segera membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Kota Samarahan untuk mendapatkan rawatan. Namun, usaha menyelamatkan kanak-kanak itu melalui kaedah CPR tidak berjaya, dan mangsa disahkan meninggal dunia.
Mayat mangsa kini dirujuk ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Umum Sarawak, untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.

Polis kini menjalankan siasatan
Polis telah membuka dua kertas siasatan iaitu di bawah kematian mengejut (SDR) dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Jaimi turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kejadian ini sehingga siasatan selesai dijalankan.
Kes ini turut menjadi peringatan penting kepada semua ibu bapa agar sentiasa memastikan keselamatan anak-anak mereka, terutama apabila berada dalam kenderaan. Jangan sesekali mengambil ringan aspek keselamatan kanak-kanak.
Semoga keluarga mangsa diberi kekuatan untuk menghadapi ujian ini.

