PM Anwar memberi cadangan saluran tenaga Sarawak ke Filipina
PM Anwar Cadang Sambungan Tenaga Sarawak Ke Filipina Melalui Sabah Dan Nusantara. Dilaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dalam perbincangan bersama kerajaan Filipina untuk memanfaatkan potensi Sarawak sebagai hab tenaga. Rancangan beliau adalah menyalurkan tenaga dari Sarawak ke Filipina melalui Sabah dan Ibu Kota Nusantara di Kalimantan Timur.
PMX berkata, pada tahun ini, Sarawak menyasarkan untuk mengeksport tenaga elektrik ke Singapura melalui kabel dasar laut dari Semenanjung Malaysia.
Dalam ucapan beliau ketika di Majlis Anugerah Kecemerlangan Perancangan Institut Perancang Malaysia 2024 (MIPPEA 2024) malam semalam, beliau berkata, dari Sarawak ke Sabah pula, beliau telah berbincang dengan pihak Filipina supaya tenaga dari Sarawak ke Sabah dapat diperluaskan ke Ibu Kota Nusantara yang baru dilancarkan, dan seterusnya ke Filipina.

Fokus ASEAN Di Peringkat Dunia
PM Anwar turut menekankan lawatan kerjanya baru-baru ini ke Davos, Switzerland, sempena Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia 2025 (WEF2025). Lawatan tersebut dimanfaatkan untuk mengetengahkan potensi ASEAN kepada pemimpin antarabangsa.
“Saya membawa mesej ASEAN kerana rantau ini mempunyai populasi seramai 700 juta orang. Kami membincangkan grid tenaga ASEAN yang melibatkan Vietnam, Laos, Kemboja, Thailand, Malaysia, Singapura, dan Filipina,” ujar beliau lagi.

Peranan penting untuk mempromosikan kekuatan rantau ini
Sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, Anwar menyatakan Malaysia memainkan peranan penting untuk mempromosikan kekuatan rantau ini di peringkat global. Ini kali kelima Malaysia menjadi pengerusi ASEAN selepas 1977, 1997, 2005, dan 2015.
Diharapkan agar, rancangan sambungan tenaga ini dapat memacu kerjasama serantau dan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai hab tenaga ASEAN. Langkah ini juga mencerminkan usaha Malaysia untuk menyokong pembangunan mampan serta integrasi ekonomi di rantau ini.

