Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh sepasukan penyelidik dari pelbagai universiti.
Kawasan Rendah Di Kuching Dijangka Tenggelam Pada 2050. Beberapa tahun kebelakangan ini, fenomena banjir kilat semakin kerap berlaku, yang turut menjejaskan kawasan Bandaraya Kuching. Perkara ini bukan sahaja berlaku di kawasan penempatan penduduk, tetapi juga turut menjejaskan laluan pengangkutan utama seperti jalan raya sehingga tidak dapat dilalui oleh kenderaan. Namun, banjir sebenar dijangka akan berlaku dengan kadar yang buruk menjelang tahun 2050.
Fenomena ini dijelaskan dengan lebih lanjut menerusi sebuah jurnal saintifik yang diterbitkan oleh sepasukan penyelidik daripada pelbagai universiti (Swinburne University Kampus Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak dan Washington State University). Kajian yang diketuai oleh penyelidik, King Kuok Kuok ini mendedahkan sesuatu yang amat membimbangkan.
Perubahan iklim, peningkatan suhu menyebabkan air laut melimpah masuk ke Sungai Kuching
Menerusi dapatan jurnal tersebut, kawasan rendah di sekitar Sungai Sarawak di Kuching akan tenggelam pada tahun 2050 sekiranya tiada langkah pencegahan dilakukan dengan segera. Kedalaman banjir yang melanda kawasan ini pada tahun 2050 dijangka mencecah 1 hingga 4 meter, dan dijangka akan terus meningkat pada kadar purata 1 meter pada tahun 2080.
Punca utama yang menyebabkan keadaan ini berlaku adalah disebabkan perubahan iklim. Pelepasan gas hijau akibat aktiviti pembalakan dan industri telah meningkatkan suhu dunia, dan turut menyebabkan berlakunya pengembangan suhu haba air masin di laut-laut yang kemudiannya menyumbang kepada kenaikan paras air di seluruh dunia.
Impak ini dapat dilihat menerusi rekod Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), di mana suhu di Sarawak telah mengalami peningkatan secara purata 0.6 darjah Celcius, sejak tahun 1969 sehingga 2009. Dalam tempoh 10 tahun (1993-2003), paras air laut di Sarawak mengalami peningkatan yang agak ketara iaitu sekitar 2.73 sehingga 7 milimeter setiap tahun. Paras laut di Sarawak dijangka akan terus meningkat, dengan purata kenaikan 0.115 hingga 0.291 m pada 2040 dan purata kenaikan 0.432 hingga 1.064 m pada 2100.
Apabila paras laut meningkat, kawasan rendah berhampiran pantai akan menghadapi risiko banjir. Selain itu, kenaikan paras laut akan menjejaskan aliran keluar dari lembangan Sungai Sarawak dengan ketara. Ditambah pula dengan keadaan iklim tropika yang lembab di Kuching, kawasan penempatan rendah, kawasan rendah payar gambut dan kawasan paya bakau akan tenggelam kerana air laut yang melimpah masuk ke kawasan sungai.
Baraj Kuching memainkan peranan besar mengawal aliran air laut melimpah ke sungai
Sejak tahun 2000, satu-satunya aliran keluar dari lembangan Sungai Sarawak dikawal dan diuruskan di Kuching Barrage and Shiplock, yang terletak di muara sungai. Barrage and Shiplock Kuching mempunyai beberapa peranan, termasuk mengawal dan mengawal paras air di hulu benteng, laluan kapal, dan mengenakan denda atau tol ke atas kapal yang melalui barrage atau shiplock. Barrage Kuching dan Shiplock adalah sebahagian daripada Skim Peraturan Sungai Sarawak (SRRS), sebuah projek kejuruteraan awam berskala besar di Kuching, Sarawak, Malaysia. Ini adalah projek infrastruktur 3-in-1 pertama di Asia Tenggara yang menggabungkan benteng, kunci kapal dan jambatan dalam satu projek.
Lokasi di sekitar Kuching yang bakal tenggelam menjelang 2050
Pada tahun 2020, lokasi di Bandaraya Kuching sepanjang Sungai Sarawak masih selamat dan belum ditenggelami air. Menerusi janaan peta banjir 2020, air masih mengalir dalam alur sungai dan tiada limpahan air. Walaupun dengan paras laut pasang surut pada 5.9 m, iaitu paras air maksimum yang direkodkan untuk Pelabuhan Muara Tebas pada buku Jadual Pasang Surut Sarawak 2020, Bandaraya Kuching belum menghadapi sebarang banjir atau banjir yang serius berikutan masih terdapat aliran balik air laut yang baik. Baraj Kuching juga tidak mempunyai tumpahan pada peta banjir 2020, menunjukkan ia masih boleh menyokong paras laut semasa.
Namun demikian, paras air di bahagian sungai akan meningkat secara mendadak apabila pintu pagar Kuching Barrage tetap dibuka sepenuhnya, mengetahui terdapatnya kenaikan paras laut menjelang 2050. Apabila paras air naik melebihi tebing sungai, akan berlaku tumpahan dan banjir di kawasan sekitar.
Paras banjir 1 hingga 2 m diramalkan akan melanda kawasan merangkumi Jalan Astana, Jalan Green, Jalan Satok, Jalan Stapok, Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub, Sungai Maong, dan Matang Jaya.
Manakala lokasi berhampiran dengan Baraj Kuching seperti tanah genting Kuching dan kawasan Bintawa akan dinaiki paras air sehingga 2 m menjelang tahun 2050.
Sementara itu, ketinggian banjir maksimum 3 m pula diramalkan akan berlaku di Jalan Petanak dan Jalan Kampung Tanjong Bako. Esplanade Kuching dijangka dinaiki air pada paras paling teruk menjelang 2050, dengan paras banjir mencecah 3 m dan menjangkau 1.5 km sehingga ke kawasan pedalaman. Muzium Sarawak yang terletak di kawasan yang lebih tinggi juga dijangka akan dinaiki air setinggi 1 m.
Keadaan ini turut menjejaskan kawasan Sungai Maong menjelang 2050, di mana paras banjir dijangka akan turut mencecah 3 m. Banjir dari Sungai Maong, anak sungai kecil, dijangka mencecah Richmond Hill dan Batu Kawa. Paras air tertinggi iaitu 4.153 m dianggarkan akan menenggelami Jalan Batu Kawa menjelang 2050.
Secara amnya, aliran balik kenaikan paras laut dijangka akan membawa kesan yang lebih buruk kepada kawasan rendah seperti kawasan Sungai Maong dan Jalan Kampung Tanjong Bako. Dua kawasan ini dijangka akan menghadapi banjir besar.
Paras banjir pada tahun 2080 pula diramalkan lebih dalam berbanding 2050. Hasil ramalan menerusi model simulasi turut menjangkakan peningkatan paras banjir sehingga 4 m di kawasan rendah seperti Jalan Kampung Tanjung Bako, meningkat daripada 3 m pada tahun 2050. Sementara itu, paras air dijangka meningkat daripada 1 m pada 2050 kepada 2 m pada 2080, di kawasan Pending dan Bintawa. Kawasan yang berhampiran dengan Jalan Astana diramalkan mengalami peningkatan kedalaman banjir 1 m jika dibandingkan dengan peta banjir dari tahun 2050.
Langkah pencegahan yang perlu diambil perhatian
Oleh itu, bagi mengatasi masalah banjir, antara langkah penyelesaian yang diutarakan oleh pihak penyelidik adalah dengan menentukan masa yang sesuai untuk pembukaan pintu baraj menerusi data ramalan banjir yang diperolehi. Selain itu, pihak berkuasa juga digesa untuk;
a) Untuk membina benteng di kawasan pantai dan tebing sungai untuk mengelakkan banjir.
b) Untuk membina stesen pam berkapasiti tinggi untuk mengepam lebihan air di dalam lembangan sungai ke Laut China Selatan.
c) Membina semula lebih banyak pagar benteng yang besar untuk menghalang air laut daripada mengalir ke Lembangan Sungai Sarawak.
Diharap perkongsian ini boleh memberi pengetahuan yang lebih mendalam kepada kita, orang awam untuk melakukan persiapan serta langkah-langkah kecil bagi membantu mengatasi masalah banjir pada masa hadapan.