Bahaya perkenalan singkat dalam talian mendedahkan kanak-kanak kepada jenayah seksual
Kenal Sejam Di Media Sosial, Kanak-Kanak Terus Lakukan Hubungan Intim. Pihak polis mendedahkan bahawa hanya dalam tempoh sejam berkenalan, kanak-kanak mudah terpedaya untuk melakukan hubungan seks dengan individu yang baru dikenali secara dalam talian.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, dalam tempoh itu juga mangsa akan berkongsi lokasi tempat tinggal mereka dengan pemangsa yang seterusnya mendorong kepada jenayah seksual.
Beliau menjelaskan bahawa kanak-kanak tertarik dengan ayat ‘power’ pemangsa yang mengundang atau menyebabkan mereka terpedaya. Kepercayaan itu terbina dengan cepat melalui janji manis atau ayat ‘power’ dan keseronokan sehingga jenayah seksual mudah berlaku.
“Alat telekomunikasi dan internet memudahkan perkara ini berlaku seperti berkenalan, menghantar mesej, bertemu di rumah mangsa dengan bantuan pengangkutan awam,” ujarnya menurut sumber.
Kanak-kanak mudah terpengaruh dengan hanya tanda (like) di media sosial
Siti Kamsiah menerangkan bahawa kanak-kanak merupakan golongan yang sangat mudah terpengaruh dengan media sosial dan mencari kandungan di dunia maya.
Apabila mereka memberikan tanda suka (like), ini boleh menarik perhatian orang ramai. Beliau menegaskan kawalan kendiri kanak-kanak yang kurang menjadi faktor utama kepada masalah ini.
“Untuk menangani isu ini, ibu bapa bukan sahaja perlu mendidik, tetapi juga mengawal tingkah laku anak-anak terutama dalam penggunaan gajet dan memantau aktiviti melayari internet mereka.
“Pembelajaran di rumah adalah penting, selain mendidik, mengawal, dan mengetahui persekitaran berisiko anak-anak. Jenayah bermula di rumah, bukan hanya apabila pergerakan fizikal berlaku.
Selangor merupakan jenayah seksual tertinggi berbanding negeri lain
Siti Kamsiah mengesahkan bahawa Selangor merupakan penyumbang tertinggi kes jenayah seksual berbanding negeri lain sejak tiga tahun kebelakangan ini, dengan 90 peratus membabitkan warga tempatan.
Faktor-faktor seperti populasi penduduk, kedudukan berdekatan, aktiviti ekonomi, dan status sosioekonomi golongan B40 menyumbang kepada peningkatan kes di Selangor.
