Kami kongsikan carian ringkas mengenai 4 orang ahli parlimen PKR Sabah dan Sarawak yang mengikuti kem Azmin Ali untuk keluar dari Parti Keadilan Rakyat
Kenali 4 Orang Ahli Parlimen PKR Sabah dan Sarawak Yang Menyertai Kem Azmin Ali .Langkah Sheraton yang dimulakan sejak hujung minggu lepas masih belum menemui penghujungnya, malah ianya semakin mengelirukan dengan pelbagai perkembangan terkini yang berlaku. Umum kita mengetahui terdapat 4 orang ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak yang menyertai kem Azmin Ali, dan kebetulan pula mereka semuanya dari sebuah parti yang bernama Parti Keadilan Rakyat. Jadi dalam artikel ini kami kongsikan hasil carian ringkas mengenai 4 orang ahli parlimen ini
1. Jonathan Yasin – Ahli Parlimen Ranau

Jonathan Yasin berjaya menjadi Ahli Parlimen Ranau pada cubaan kali ketiga beliau bertanding di Pilihanraya Umum. Beliau menewaskan mantan Ahli Parlimen kawasan tersebut, Datuk Dr Ewon Ebin dengan majoriti 1076 undi. Jonathan Yasin telah bertanding untuk kerusi Parlimen Ranau bermula dari tahun 2008.

Beliau pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua PKR Sabah, dan ketika itu pernah muncul 1 isu dimana beliau membuat satu hantaran di Facebook dengan menyatakan Anwar Ibrahim telah dinobatkan sebagai Huguan Siou. Perbuatan tersebut telah mencetuskan kontroversi dan Anwar Ibrahim pula mengatakan beliau tidak tahu mengenai perkara tersebut.


Jonathan Yasin juga merupakan seorang peguam dan mempunyai sebuah firma guaman yang berdaftar di Kompleks Sinsuran.

2. Baru Bian – Ahli Parlimen Selangau

Baru Bian berjaya menjadi Ahli Parlimen Selangau selepas menewaskan calon dari Parti Rakyat Sarawak, Rita Sarimah dengan majoriti 486 undi. Dikenali juga sebagai seorang pejuang tanah adat di Sarawak, penglibatan Baru Bian di dalam dunia politik bermula sejak tahun 1991 bersama Parti Bangsa Dayak Bersatu.

Baru Bian pernah bertanding di bawah tiket PBDS, BEBAS dan juga SNAP sebelum bertanding di atas tiket Parti Keadilan Rakyat dan memenangi kerusi Ba’kelalan pada tahun 2011. Selaku pejuang tanah adat, Baru Bian telah banyak menolong rakyat Sarawak memenangi kes kes mereka. Antaranya adalah kes di Krian pada 2011 ini, dan khabarnya ratusan lagi kes yang lain.


Sebagai seorang pejuang tanah adat, Baru Bian adalah seorang peguam dan memiliki firma Baru Bian Advocates & Solicitors. Beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat dan menjadi Ketua Parti Keadilan Rakyat Sarawak bermula dari tahun 2008.

3. Ali Biju – Ahli Parlimen Saratok

Ali Biju berjaya menjadi Ahli Parlimen Sarawak pada cubaan kali kedua beliau iaitu pada pilihanraya umum ke 14. Beliau menewaskan Jagah @ Subeng Mula dengan majoriti sebanyak 989 undi. Sebelum melibatkan diri di dalam politik secara rasmi, Ali Biju dikatakan sudah dikenali sebagai seorang dermawan terutamanya di kawasan beliau, iaitu Krian yang terletak di dalam Parlimen Saratok.
Ali Biju mendapat pendidikan awal di Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah sebelum menyambung pelajaran di Valparaiso University yang terletak di Amerika Syarikat. Beliau juga merupakan seorang usahawan dan mempunyai nama besar di dalam industri minyak dan galian tempatan. Di atas kertas, Ali Biju merupakan pengarah Kumus Sdn Bhd yang terletak di Bintulu. Di dalam politik pula, Ali Biju merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak bermula dari tahun 2011 selepas memenangi kerusi tersebut dengan majoriti melebihi 2000 undi.

Ali Biju dilantik sebagai Naik Parti Keadilan Rakyat Malaysia pada tahun 2018 dan juga merupakan sebahagian dari Ahli MPP Pusat Bagi Parti Keadilan Rakyat Malaysia.
4. Willie Mongin

Willie Mongin berjaya menjadi Ahli Parlimen selepas percubaan kedua beliau. Beliau memenangi kerusi Parlimen Puncak Borneo dengan majoriti yang paling besar di antara 3 lagi di atas dengan menewaskan Genot Sinel dengan majoriti 4,005 undi. Willie Mongin juga dikenali ramai di Parlimen Puncak Borneo sebagai seorang yang sangat rendah diri dan sentiasa bekerja untuk rakyat, lantas menimbulkan persoalan kepada penyokong beliau apabila beliau mengumumkan untuk menyertai Kem Azmin Ali.
Berdasarkan carian, Willie Mongin merupakan pengasas sebuah syarikat IT iaitu Suerte Solutions, namun tidak pasti sama ada beliau masih aktif dengan syarikat tersebut atau tidak. Selepas memenangi Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin dan keluarganya berpindah kembali ke Sarawak dan beliau menumpukan perhatian penuh kepada karier beliau sebagai Ahli Parlimen.

Willie Mongin mula bertanding pada tahun 2011 dalam Pilihanraya Negeri, namun tewas. Namun begitu, beliau terus bertanding sebelum akhirnya memenangi kerusi Parlimen Puncak Borneo pada tahun 2018.

Susulan tindakan beliau untuk keluar dari Parti Keadilan Rakyat dan menyertai Kem Azmin Ali, beliau memohon maaf kepada penyokongnya namun ianya masih tidak cukup kerana nyata ramai penyokong beliau yang kecewa dengan tindakan tersebut.
Saya mohon maaf kepada Pengundi Puncak Borneo yang mengundi saya. Kerajaan PH telah runtuh sebentar tadi kerana Parti…
Posted by Willie Mongin on Sunday, February 23, 2020
Walau apapun, keempat empat Ahli Parlimen ini mungkin mempunyai sebab tersendiri yang mungkin benar, atau pun tidak. Namun begitu, insiden pergolakan politik yang terjadi pada kemuncak dunia dilanda isu global seperti COVID19, trade war US-China dan pelbagai lagi isu yang lebih penting nyata mengecewakan ramai pihak. Ingin juga kami kongsikan kata kata hikmat dari Mahatma Gandhi untuk tatapan kita semua. Apa apa pun semoga kemelut politik ini selesai secepat mungkin dan kita boleh kembali fokus pada perkara yang lebih penting berbanding dari perebutan kuasa.
