Sukan Paralimpik Tokyo 2020 bakal diadakan bermula 24 Ogos sehingga 5 September 2021.
Kenali 8 Atlet Dari Borneo Yang Bakal Menggalas Cabaran Negara Di Sukan Paralimpik Tokyo 2020. Sebaik sahaja Sukan Olimpik Tokyo 2020 melabuhkan tirai pada 8 Ogos ini, sokongan yang berterusan dan padu hendaklah diteruskan untuk pasukan paralimpik pula. Untuk edisi kali ini, kontinjen Malaysia akan menghantar seramai 14 orang atlet paralimpik dari seluruh negara.
Untuk pengetahuan anda, kontinjen negara mencapai prestasi yang cemerlang untuk edisi Paralimpik Rio pada tahun 2016 dengan merangkul sebanyak 3 pingat emas dan 1 pingat gangsa. Ini sekaligus merupakan pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah penyertaan di Sukan Paralimpik sejak tahun 1984 di Seoul, Korea Selatan.
Pingat emas ini diperolehi menerusi atlet Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (pecut 100 meter lelaki T36), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru lelaki T20) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh lelaki T20).

8 daripada 14 atlet paralimpik Malaysia berasal dari Sabah dan Sarawak!
Untuk edisi kali ini, sebahagian besar kontinjen paralimpik Malaysia diwakili oleh atlet dari Sabah dan Sarawak. Malah, ada di antaranya yang disasarkan sebagai prospek pingat untuk Malaysia berdasarkan prestasi yang ditunjukkan dalam kejohanan antarabangsa yang disertai mereka kebelakangan ini.
Dalam artikel kali ini, jom kenali 8 atlet paralimpik dari Sabah dan Sarawak yang bakal menggalas cabaran negara untuk Sukan Paralimpik Tokyo 2020 hujung Ogos ini.
1. Bonnie Bunyau Anak Gustin | Angkat Berat Para | Sarawak

Berasal dari Kuching, Bonnie Bunyau merupakan seorang atlet angkat berat para yang telah banyak mencipta kejutan kebelakangan ini. Beliau dilahirkan dalam keadaan bantut sejak lahir. Bapanya, Gustin serta abangnya, Junency juga merupakan atlet angkat berat paralimpik dan mempunyai kelainan upaya yang sama sepertinya.
Bonnie mengejutkan atlet angkat berat paralimpik dunia pada tahun 2019 apabila beliau berjaya memperolehi 2 kejuaraan angkat berat (gelaran junior dan utama) mengalahkan juara paralimpik dunia, Paul Kehinde dan Liu Lei. Bukan itu sahaja, pencapaian luar biasa Bonnie telah pun bermula sejak tahun 2017 apabila beliau berjaya memecahkan rekod dunia remaja pada usia 17 tahun.
Untuk temasya Paralimpik Tokyo kali ini, beliau menyasarkan kedudukan pingat selain mahu memecahkan lagi rekod.
Baca lagi pencapaian elit Bonnie Bunyau di sini :
2. Jong Yee Khie | Angkat Berat Para | Sarawak

Sukan angkat berat seolah-olah menjadi lubuk atlet berbakat paralimpik di Malaysia. Selain Bonnie, seorang lagi atlet paralimpik yang bakal membawa cabaran Malaysia kelak iailah Jong Yee Khie. Namun demikian, kelainan upaya yang ada pada Yee Khie bukanlah kelainan upaya yang didapatkannya sejak lahir.
Pada tahun 2005, Yee Khie terlibat dalam satu kemalangan motorsikal di Kuching, Sarawak. Akibat kemalangan itu, kaki kanan beliau dipotong sehingga ke paras lutut. Namun demikian, beliau bangkit untuk meneruskan hidup dan menemui bakatnya dalam bidang angkat berat sewaktu menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Malaysia pada tahun 2008. Sejak daripada itu, Yee Khie yang juga merupakan seorang pendandan rambut tidak lagi menoleh ke belakang dan terus maju sebagai atlet dalam bidang angkat berat para.
Yee Khie juga turut memasuki pusingan akhir pada temasya Paralimpik Rio 2016 dan namun tidak berkesempatan untuk meraih sebarang pingat. Terkini, beliau berjaya meraih pingat perak dengan angkatan 239 kg dalam kategori 107 kg pada Kejohanan Powerlifting Piala Dunia Fazza Edisi Ke-11 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 24 Jun 2021. Prestasi ini memperlihatkan peluang yang cerah buat Yee Khie menaiki podium bersama Bonnie untuk edisi kali ini.
3. Wiro Anak Julin | Memanah | Sarawak

Wiro Julin pula merupakan seorang pemanah paralimpik yang berasal dari Padawan, Sarawak. Pemuda berusia 26 tahun ini kini menduduki tangga ranking ke 21 dunia setakat kemas kini 28 Jun 2021 di laman World Archery.
Pencapaian Wiro di peringkat antarabangsa juga bukan calang-calang apabila beliau berjaya membantu pasukan Malaysia untuk meraih 1 pingat emas dan 1 pingat gangsa dalam acara berpasukan memanah serta 1 pingat perak dalam acara memanah individu di Kejuaraan Paralimpik Asia pada tahun 2019. Malah, pingat perak yang dimenanginya itu lah yang melayakkan Wiro menempatkan diri di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Sewaktu pandemik mula melanda Malaysia tahun lalu, Wiro mendedahkan bahawa beliau hanya berlatih menggunakan gelang getah sewaktu PKP di rumah bagi membantu beliau mengekalkan postur badannya sebelum kembali ke kem latihan di Bukit Jalil pada Jun 2020 dengan rutin latihan sebanyak 2 kali sehari menggunakan anak panah dan busur sebenar.
4. Muhammad Nur Syaiful Zulkifli | Renang | Sarawak

Sukan Paralimpik Tokyo 2020 merupakan paralimpik pertama buat perenang, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli. Walaupun ini merupakan penampilan pertamanya, namun prestasi memberangsangkan Syaiful pastinya memberi tentangan hebat di kolam renang Tokyo nanti.
Muhammad Nur Syaiful merupakan anak seorang nelayan yang berasal dari Samarahan, Sarawak. Sama seperti Yee Khie, Syaiful mengalami kelainan upaya anggota kaki akibat kemalangan yang dialaminya. Setelah setahun berputus asa dengan kehidupan, beliau menemui sinar baru apabila menceburi sukan renang setelah dihantar memasuki pusat pemulihan oleh ibunya, Dewihalina Mahad di Samarahan, Sarawak.
Pada temasya Paralimpik nanti, Syaiful akan menyertai beberapa acara. Antaranya seperti kategori S5 (cacat anggota) acara 50 meter (m), 100m dan 200m gaya bebas dan 100m kuak dada. Beliau juga berazam untuk membawa pingat tanpa mengira warna pada temasya sukan tertua tersebut. Pada tahun 2019, Syaiful berjaya mencipta kejutan apabila memahat rekod baharu Asia dalam acara 100 m gaya bebas (S5) dengan catatan masa 1 minit 16.27 saat.
Syaiful yang pernah bercita-cita menjadi anggota polis ini menempah kedudukan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 sewaktu memenangi pingat gangsa 50 meter gaya bebas (S5) pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di London.
5. Jamery Anak Siga | Renang | Sarawak

Jamery anak Siga mula menceburi bidang renang pada tahun 2003 setelah diajar berenang oleh abangnya pada usia seawal 7 tahun. Menjadikan bekas atlet renang Malaysia, Daniel Bego serta perenang Amerika Syarikat, Michael Phelps sebagai inspirasinya, beliau meneruskan karier dalam sukan renang sehingga temasya Paralimpik Tokyo 2020.
Atlet yang berasal dari Kampung Kuala Mendalam, Ulu Mendamit, Limbang ini menghidapi kelainan upaya akibat penyakit polio yang dihidapinya sewaktu kecil. Walau bagaimanapun, Jamery merupakan pemenang pingat emas di Sukan Para Asean Kuala Lumpur pada tahun 2017. Malah, untuk edisi Paralimpik Rio 2016, Jaremy pernah tersenarai sebagai perenang di ranking kelima dunia.
Sewaktu PKP, Jaremy yang juga merupakan pengusaha kebun nangka mengekalkan tahap kecergasannya dengan berenang di sungai sambil melakukan latihan ringan sewaktu berada di kampung. Walaupun berhasrat untuk bersara dari sukan renang pada tahun 2017, namun selepas kematian isterinya akibat kemalangan jalan raya pada tahun berikutnya, Jaremy mempertimbangkan semula untuk bertanding ke Paralimpik Tokyo 2020 mengenangkan anaknya, Christian yang menunjukkan minat yang mendalam terhadap sukan renang.
6. Brenda Anellia Larry | Renang | Sabah

Baru sahaja berusia 16 tahun, atlet dari Sabah ini sudah pun berjaya menempatkan diri ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020. Brenda bakal beraksi dalam acara 50 meter (m) kuak lentang kategori S4 wanita.
Brenda dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan dan mula menceburi sukan renang para pada tahun 2017 di Kota Kinabalu, Sabah. Asalnya, beliau mempunyai ketakutan terhadap air namun beliau diberi galakan oleh ibu bapa dan gurunya untuk belajar berenang sehingga beliau menemui minat mendalam terhadap sukan ini. Sudah semestinya ini adalah pencapaian yang sangat cemerlang buat Brenda kerana telah melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 secara merit.
Apatah lagi di usia baru mencecah 16 tahun. Tahniah Brenda!
7. Jonathan Wong Kar Gee | Olahraga | Sabah

Jonathan Wong merupakan atlet olahraga yang bakal mewakili negara dalam acara lompat jauh T12/F12. Beliau menghidap penyakit Stargardt pada usia 8 tahun yang membolehkan beliau bertanding atas tiket atlet paralimpik.
Namun demikian, beliau juga bukanlah atlet yang calang-calang kerana mempunyai pekerjaan hakiki sebagai seorang ahli perniagaan selain mempunyai pendidikan dalam jurusan Pengurusan Kejuruteraan di Inter American University, Miami Florida, Amerika Syarikat.
Pada tahun 2019, beliau menunjukkan prestasi yang memberangsangkan apabila meraih pingat emas acara kegemarannya di Handisport Open World Grand Prix Para Athletic Championship di Paris, Perancis sekaligus menempatkan diri ke temasya Paralimpik Tokyo 2020. Beliau juga memenangi pingat perak di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Dubai.
Ketua jurulatih, R. Jeganathan memberitahu bahawa Jonathan merupakan atlet yang perlu diberi tumpuan untuk edisi kali ini memandangkan beliau merupakan prospek pingat emas untuk negara. Malah, Jonathan sendiri menyasarkan untuk meraih pingat emas dalam temasa Paralimpik Tokyo 2020.
8. Didin Taresoh | Badminton | Sabah

Bekas juara dunia badminton para, Didin Taresoh juga antara atlet Sabah yang layak ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020. Didin bakal menggegarkan pentas Paralimpik kali ini dalam acara perseorangan lelaki Short Stature Sport Class (SS6). Untuk makluman anda, acara badminton pertama kali dipertandingkan di Paralimpik Tokyo 2020.
Untuk rekod, Didin menjadi tumpuan dunia apabila beliau berjaya menjadi juara dunia dalam Kejuaraan Para Badminton BWF pada tahun 2015 di England. Kini berada di ranking ke-7 dunia, Didin juga pernah memenangi Kejuaraan Para Asia (2016) dan Sukan Para Asia pada tahun 2017. Malah, dalam kejuaraan besar antarabangsa, Didin tidak pernah gagal untul layak sekurang-kurangnya ke pusingan suku akhir.
Di luar kerjaya sukannya, Didin merupakan seorang guru Matematik.
Berikut merupakan senarai penuh atlet paralimpik Malaysia yang bakal mengharumkan nama negara di Paralimpik Tokyo 2021, yang mana 8 daripada 14 atlet ini berasal dari benua Borneo!

Kerajaan Malaysia menjanjikan pemenang pingat emas dalam temasya Paralimpik Tokyo 2020 ini akan menerima RM 1 juta dengan pencen bulanan RM 5,000, pemenang pingat perak akan menerima RM 300,000 dengan pencen bulanan RM3,000 dan pemenang pingat gangsa akan menerima RM100,000 dengan pencen bulanan RM1,000.
Manakala Kerajaan Negeri Sabah pula menjanjikan pemenang pingat emas hadiah wang tunai sebanyak RM 500,000, pemenang pingat perak akan menerima RM 150,000 dan pemenang pingat gangsa akan menerima RM 50,000.
Ketua Menteri Sarawak pula turut mempertimbangkan pemberian elaun sebanyak RM10,000 setiap seorang kepada atlet Sarawak sebagai bekalan mereka sepanjang berlangsung nya pertandingan di peringkat dunia itu. Insentif khas pula akan diumumkan sebaik sahaja mereka pulang membawa pingat kemenangan kelak.
Selamat maju jaya buat atlet Malaysia di Paralimpik Tokyo 2020!