Pernah dihalau dari rumah sebab minat sukan berbasikal, ketahui kisah Pemenang Pingat Dunia 9 kali Josiah Ng.
Kenali Josiah Ng, Jaguh Berbasikal Trek Pertama Malaysia Ke Final Sukan Olimpik. Pada tahun 2010 pada Sukan Komanwel Delhi, pelumba basikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang telah berjaya merangkul pingat emas. Namun, kemenangan atlet negara itu telah dibatalkan dan beliau mendapat pingat perak manakala pingat emas yang dimenanginya sebelum itu diberikan kepada Josiah Ng yang juga merupakan atlet pelumba basikal trek negara.
Pasti ramai yang kurang mengenali siapa sebenarnya Josiah Ng ini, kan?
Ketua Jurulatih Pasukan Berbasikal Sarawak untuk Sukan Malaysia (Sukma)
Josiah Ng Onn Lam, lahir pada 2 Februari 1980 merupakan atlet pelumba basikal trek profesional Malaysia yang sudah pun bersara dan amat terkenal di Asia. Kini Josiah diberi tanggungjawab menjadi Ketua Jurulatih Pasukan Berbasikal Sarawak untuk Sukan Malaysia (Sukma) yang bakal diadakan di Johor pada tahun 2022.
Kejayaan yang pernah dicapai oleh Josiah Ng adalah seperti anugerah Sukan Olimpik Terbaik Malaysia pada tahun 2004, Olahragawan Terbaik Malaysia pada tahun 2004, mewakili negara dalam UCI Jejak Piala Dunia di Mexico pada tahun 2013, mendapat tempat pertama dalam acara Keirin pada tahun 2002 hingga 2003, mendapat tempat ketiga dalam acara Keirin pada tahun 2004 hingga 2005, mendapat tempat pertama lagi sekali dalam acara Keirin pada tahun 2005 dan 2006, Pemenang Pingat Piala Dunia sebanyak 9 kali dan merupakan Calon Anugerah AYA (Asian Youth Ambassador).
Sebelum Azizulhasni menempah namanya di sukan berbasikal trek negara, tahukah anda bahawa Josiah merupakan atlet berbasikal trek negara yang pertama menjejak kaki di peringkat akhir acara keirin di Sukan Olimpik Athens pada tahun 2004. Kejayaan Josiah tidak berhenti di situ sahaja, beliau kemudiannya memungut pingat daripada setiap acara Sukan Asia antara tahun 2002 hingga tahun 2010.
Kecemerlangan atlet sukan negara ini sebenarnya berkisahkan daripada kecekalan dan usaha yang tak pernah putus daripada dirinya. Membesar di Selatan California, Amerika Syarikat, minat Josiah yang mendalam terhadap basikal tidak pernah mendapat sokongan daripada keluarga beliau.
Beli basikal hasil jualan biskut cip coklat yang dibuat oleh neneknya
Pada usia seawal 14 tahun, Josiah berjaya memiliki sebuah basikal yang berharga AS$250 (RM1,056) hasil daripada jualan biskut cip coklat yang dibuat oleh neneknya. Beliau menjual biskut tersebut dari rumah ke rumah dengan harga AS$1 (RM4.22).
Setahun kemudian, Josiah bertekad ingin menyertai pertandingan berbasikal namun mendapat tempat tercorot daripada 30 peserta. Walaupun gagal, perkara ini tidak sekali pun memutuskan semangat Josiah untuk terus maju ke hadapan. Dia kemudiannya berusaha semula untuk memperbaiki kayuhannya dan mencari jurulatih.
Beberapa bulan kemudian, Josiah muncul sebagai pelumba kelima terbaik dan setahun kemudian dilantik sebagai kapten pasukan tersebut. Cabaran yang paling besar buat Josiah adalah apabila kedua orang tuanya tidak merestui impiannya di dalam sukan berbasikal.
Menurut beliau, ibu bapanya beranggapan bahawa dia perlu menumpukan lebih lagi perhatian terhadap pelajaran dan bidang muzik. Mereka juga tidak membenarkan basikal memasuki kawasan rumah sehingga Josiah terpaksa menyembunyikan basikalnya di rumah rakan yang jauhnya 5km. Ibunya pula beranggapan bahawa sukan berbasikal tiada masa depan yang cerah.
Jika dia meneruskan kayuhannya, dia perlu perlu keluar dari rumah
Bagi mengaburi mata kedua orang tuanya, Josiah sering memberi alasan untuk keluar berlatih dan bermain sukan kasut beroda yang cukup terkenal ketika itu. Tembelang Josiah pecah akhirnya apabila bapanya mengetahui dan memberi amaran jika dia meneruskan kayuhannya pada usia 18 tahun, dia perlu perlu keluar dari rumah itu. Walau bagaimanapun, Josiah terpaksa mengingkari amaran itu sehinggalah ayahnya menyuruhnya mengemas beg dan keluar dari rumah.
“Saya masih ingat hari itu. Ayah bersalam dengan saya dan berkata semoga berjaya anakku,”
Josiah Ng
Bagi meneruskan kehidupan setelah dihalau dari rumah, Josiah mengambil inisiatif untuk bekerja sebagai pembaiki piano, mengajar bermain biola dan melatih peserta kelas senaman basikal untuk menyara kehidupannya.
Pada usia 17 tahun, Josiah pernah diberitahu bahawa bentuk fizikalnya yang berketinggian 173 cm dengan berat 55 kg bukanlah ideal untuk menjadi pelumba basikal trek berkelas dunia, bahkan dua orang jurulatih ternama pernah menyarankannya untuk beralih ke acara endurance.
Berjaya membawa pulang tempat kedua Kejohanan Remaja Amerika Syarikat (AS)
Namun, ketika Josiah mencecah usia 18 tahun, dia berjaya membawa pulang tempat kedua Kejohanan Remaja Amerika Syarikat (AS) dan menawarkan dirinya untuk diserap masuk ke dalam pasukan kebangsaan Amerika Syarikat tetapi tiada maklum balas yang diterima. Josiah enggan berputus asa dan cuba mendekati Majlis Sukan Negara (MSN) pula tetapi tetap tiada maklum balas juga diterima.
Setelah tidak diendahkan dua kali, Josiah mengambil keputusan pulang ke Malaysia untuk berurusan secara langsung di samping melawat datuk dan neneknya. Setibanya di Lapangan Terbang Kebangsaan Kuala Lumpur (KLIA), datuknya menjemput Josiah namun kereta yang digunakan itu dipenuhi dengan barang sehingga dia tidak boleh meletakkan basikalnya di dalam kenderaan tersebut.
Akibat situasi itu, Josiah sebaliknya mengambil inisiatif untuk berkayuh ke rumah flat neneknya di Ampang walaupun dalam suasana hujan. Buat pengetahuan anda, jarak KLIA ke Ampang adalah lebih kurang 61 km (bergantung kepada lokasi spesifik). Amat menakjubkan kecekalan yang dimiliki oleh Josiah ini!
Membawa semangat yang membara, Josiah pergi sendiri ke pejabat MSN untuk meyakinkan pihak berkenaan kerana waktu itu Malaysia tidak memiliki pelumba untuk acara berbasikal trek tersebut. Dia mengesyorkan agar satu pertandingan tempatan diadakan dan tidak berganjak dari pejabat MSN sehinggalah dia mendapat persetujuan. Seminggu selepas Josiah diberi peluang, akhirnya dia berjaya membuktikan dirinya.
Ditimpa kemalangan semasa sesi latihan
Pada usia 24 tahun iaitu 4 bulan sebelum berlangsungnya Sukan Olimpik Athens 2004, dia ditimpa kemalangan semasa sesi latihan yang menyebabkan pergelangan tangan, gigi, hidungnya patah dan kehilangan banyak darah lalu menyebabkannya terlepas latihan selama enam minggu.
Josiah tetap bertenaga dan berjaya mara ke final dan akhirnya meraih tempat kelima. Sejak itu barulah wira negara ini dihormati dan mendapat tajaan. Ketika kemampuannya mula diragui susulan faktor usia, Josiah mengetepikan semua kata-kata negatif untuk menggondol pingat emas dalam acara keirin pada Sukan Komanwel yang sebelum ini hanya dimenangi atau didominasi oleh pasukan Australia pada ketika itu.
Berikut adalah blood, sweat and tears yang diharungi oleh atlet pelumba basikal trek negara Josiah Ng. Generasi muda mungkin mengenali Azizulhasni Awang sebagai atlet berbasikal trek yang paling berjaya di Malaysia namun Josiah Ng lah yang membuka peluang dan laluan ini untuk kita sampai ke tahap yang kita kecapi pada masa kini. Berkat usaha, kesabaran dan semangat yang teguh, impian Josiah ingin menjadi atlet pelumba basikal trek kini menjadi kenyataan.
Salute Josiah Ng!