Kes Pembunuhan Nurul Asikin: Sebutan Semula Dijadualkan 17 Mac di Mahkamah Kuching. Mahkamah Majistret di sini menetapkan 17 Mac sebagai tarikh sebutan semula bagi kes Zakwan Mokhtar, pemandu e-hailing berusia 23 tahun yang didakwa atas kesalahan membunuh Nurul Asikin Lan.
Tarikh baharu ini ditetapkan oleh Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali selepas permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya Jean Siow Chung Hwei, yang meminta tempoh tambahan bagi membolehkan laporan deoksiribonukleik asid (DNA) dan bedah siasat dikemukakan di mahkamah, lapor media tempatan.
Zakwan, yang tidak diwakili peguam, akan terus ditahan di Penjara Puncak Borneo sehingga sebutan semula nanti, memandangkan kesalahan membunuh adalah kesalahan tidak boleh dijamin.
Tertuduh sebelum ini didakwa pada 24 Disember tahun lalu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sekurang-kurangnya 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Difahamkan, Zakwan dipercayai melakukan pembunuhan itu kerana memerlukan wang untuk membiayai perjalanan ke Kemboja bagi menonton perlawanan bola sepak.

Mayat Nurul Asikin, 28, ditemui dalam keadaan mereput oleh orang awam di dalam sebuah parit di Jalan Setia Raja pada 14 Disember tahun lalu.
Susulan penemuan itu, pihak polis menahan Zakwan pada hari yang sama, sebelum dia direman sehingga hari ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, berkata tertuduh dipercayai meminta barang kemas milik Nurul Asikin, iaitu seutas gelang emas dan sepasang anting-anting emas, dengan niat untuk menggadaikannya.

