Kalau anda pernah pakai Friendster, percayalah bahawa anda sudah boleh digelar ‘legend’.
Kisah Kegemilangan Dan Kejatuhan Friendster, Sosial Media Yang Maha Popular Sebelum Facebook. Adakah anda mengenali Friendster? Jika nama ini pernah menjadi satu nama yang lazim anda dengar, ini bermakna anda adalah antara generasi pengguna media sosial yang terawal di dunia. Untuk pengetahuan generasi yang lebih muda, Friendster merupakan sebuah platform media sosial yang membolehkan anda berhubung dan mencari rakan lama. Ianya lebih kurang sama seperti Facebook, Bezanya, ia memiliki beberapa ciri yang digemari ramai pada zaman kemasyhurannya dahulu.

Frienster, laman media sosial terawal sebelum wujudnya MySpace, Facebook
Friendster merupakan antara perintis sosial media yang terawal di dunia. Ia merupakan sosial media era milenial yang dilancarkan pada tahun 2002 dan diasaskan oleh Jonathan Abrams, seorang pengaturcara dari Kanada. Beliau juga merupakan seorang usahawan dan insan di sebalik kewujudan Friendster dan Hotlinks. Pada ketika itu, kebanyakan umat manusia tidak mengetahui bahawa platform seperti ini akan menjadi suatu ciri kehidupan masyarakat moden seperti yang mereka gunakan pada hari ini.

Friendster mula membuka platformnya secara langsung untuk orang ramai pada tahun 2003, tahun yang sama wujudnya MySpace. Kemudian, industri sosial media mula membangun dengan pesat ibarat cendawan tumbuh selepas hujan dengan kewujudan pesaing seperti Hi5, Facebook, Twitter, Instagram dan laman sosial media yang lain yang anda ketahui sehingga ke saat ini.
Dalam masa beberapa bulan sahaja selepas laman sesawang ini dinaikkan secara langsung di internet, Friendster telah berjaya mengumpul 3 juta pengguna aktif.
Pada asalnya, kewujudan Friendster adalah bertujuan untuk mencari atau membuat rakan melalui dunia maya serta membolehkan orang ramai mencari teman lama dan kekal berhubung dengan mereka. Ia juga membolehkan pengguna untuk berkomunikasi, berkongsi bahan media dan konten dalam talian, meneroka acara dan jenama baharu, bahkan mencari hobi baharu.
Nama Friendster adalah gabungan dari perkataan Inggeris, ‘friends’ yang bermaksud rakan dan sebuah servis perkongsian fail peer-to-peer kontroversi iaitu Napster. Pada zaman kegemilangan Friendster sekitar tahun 2003 sehingga tahun 2006, Friendster telah memiliki sekitar 10 juta pengguna aktif di seluruh dunia.

Masih ingatkah anda Friendster boleh tukar latar belakang dan muzik latar?
Friendster pada ketika itu dilihat sangat mesra dengan pengguna kerana ia memiliki ciri-ciri ‘custom’ yang tidak terdapat pada sosial media pada masa kini. Friendster membolehkan anda menukar latar belakang profil mengikut tema yang anda sukai. Pada ketika Friendster popular di Malaysia, trend fesyen emo dan gothic sedang naik. Jadi, kebanyakan anak muda yang merasakan diri mereka up-to-date akan menggunakan latar belakang seperti ini.
Bukan itu sahaja, profil Friendster juga membolehkan pengguna menukar muzik latar mengikut lagu kesukaan. Pada waktu itu, memang layan lah kalau ada akaun Friendster sampai sanggup menghabiskan masa di kafe siber mengolah profil. Pengguna juga boleh memilih sehingga 6 akaun rakan untuk dipaparkan di profil utama mereka. Kalau ramai kawan rapat, fungsi ini memang boleh buat gaduh.




Angkuh ada pengguna banyak, Friendster pernah tolak tawaran Google
Melihat kepada potensi Friendster yang sangat besar, Google telah membuat tawaran sebanyak 30 juta USD untuk membeli Friendster pada tahun 2003. Namun, Friendster yang pada ketika itu di puncak kemasyhuran bersikap angkuh dengan menolak tawaran tersebut tanpa mengetahui bahawa nasib malang akan menimpa laman sosial media ini tidak lama selepas itu.
Pada sekitar tahun 2006, populariti Friendster di Amerika Syarikat menjunam dengan begitu dahsyat dan cepat. Hal ini disebabkan persaingan media sosial lain yang lebih kuat seperti MySpace dan Facebook yang lebih cepat berevolusi mengikut kehendak manusia. Yang tinggal hanyalah penggunanya yang majoriti berasal dari negara Asia Tenggara (termasuk Malaysia).

Friendster kekal bertahan dengan pengguna Asia Tenggara sehinggalah ia mulai susut dengan teruk pada tahun 2009 walaupun penggunanya tidak begitu aktif mencari teman baharu dan melakukan perkara yang besar di Friendster. Sekadar hai bye kepada kawan rapat yang ada di Friendster. Itu pun dalam lingkungan yang kecil.
Zaman kejatuhan Friendster, dibeli oleh syarikat Malaysia
Mengenangkan nasibnya yang semakin sendu, Friendster akhirnya merelakan dirinya dijual kepada sebuah syarikat gergasi internet Asia milik Malaysia, iaitu MOL Global dengan harga 26.4 juta USD. Beberapa tahun kemudian iaitu pada tahun 2011, ia ditransformasikan menjadi sebuah laman permainan sosial dan menutup semua akaun pengguna Friendster. Gambar pengguna yang tidak dimuat turun semula dipadam sepenuhnya dari pelayar dan ianya tidak lagi wujud.
Friendster yang telah berubah wajah menjadi sebuah laman permainan pada awalnya kelihatan seperti harapan baru untuk menghidupkan legasi Friendster. Ia telah berjaya mengumpul sebanyak setengah juta pengguna aktif dengan tawaran sebanyak 40 buah permainan. Pengguna aktif harian dan bulanan meningkat sebanyak 50%, dengan 90% demografik penggunanya berasal dari negara Asia. Namun demikian, ia tetap gagal untuk bertahan.

Servis Friendster dan laman sesawangnya termasuk laman permainan MOL Global ditutup secara kekal pada tahun 2015 setelah 13 tahun 7 bulan belayar di internet.
Pada tahun 1 Julai 2018, syarikat Friendster akhirnya ditamatkan dan dibubarkan.
Miliki paten terawal media sosial yang kini dimiliki oleh Facebook
Walaupun Friendster kini hanya tinggal kenangan, namun laman media sosial ini sebenarnya memperoleh paten asas jaringan sosial online (online social networking) yang banyak dan terawal. Antaranya adalah seperti sistem, kaedah dan bahan untuk menghubungkan pengguna dalam sebuah komputer online, kaedah untuk membolehkan kandungan dimuat naik di jaringan sosial, sistem dan kaedah untuk menguruskan hubungan dalam jaringan sosial online, kaedah untuk berkongsi informasi hubungan yang disimpan dalam jaringan sosial dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, Facebook dilaporkan telah membeli sebanyak 18 paten yang dimiliki oleh Friendster ini dengan nilai 40 juta USD.
Banyak pihak sebenarnya telah mengkaji kejatuhan dan kegagalan Friendster ini. Melalui dapatan, ramai yang percaya bahawa punca kejatuhan Friendster adalah masalah teknikal yang teruk dan pihak pelabur tidak banyak membantu dalam mencari solusi yang tepat untuk masalah tersebut.
Namun, untuk yang mengenali Friendster, era warna warni Friendster pasti tidak akan dilupakan dan akan sentiasa kekal menjadi kenangan zaman muda.