Susulan daripada kisah mereka yang tular di laman sosial.
Kisah Pelajar Cari Internet Untuk Belajar Di Pakan Akhirnya Dapat Perhatian SKMM. Sejak minggu lalu, media sosial hangat dengan kisah seorang gadis Sabah yang bernama Veveonah yang terpaksa bermalam di atas pokok semata-mata untuk menghadiri peperiksaan secara online.
Kemudian, tular pula kisah pelajar di daerah Pakan, Sarawak yang terpaksa berkelambu dan melalui jalan tanah kuning menuju ke bukit agar dapat belajar secara online.
Nampaknya ada sinar harapan baru buat pelajar-pelajar di pedalaman Sarawak untuk menikmati capaian internet pantas tidak lama lagi.
Terbaharu, kisah pelajar yang sanggup berkelambu dan berkhemah di hutan daerah Pakan, Sarawak turut mendapat perhatian pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Kenyataan rasmi SKMM di laman Facebook
Suruhanjaya tersebut telah mengeluarkan kenyataan rasmi melalui laman Facebook nya berkenaan masalah yang dihadapi oleh pelajar di Pakan. Masalah tersebut mengganggu rutin harian penduduk terutamanya pelajar yang kini harus mengikuti pembelajaran atas talian.
Bukan itu sahaja, segala urusan berkaitan akademik yang lain seperti pembentangan, penghantaran projek serta tugasan tidak dapat dilaksanakan akibat capaian internet yang lemah.
Bakal tinjau keadaan sebenar tahap telekomunikasi kampung di Pakan
Menerusi kenyataan tersebut, pihaknya akan melakukan tinjauan di kawasan perkampungan di Pakan bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang situasi yang dialami oleh pelajar di kawasan berkenaan yang terpaksa menginap di kawasan berbukit dan ladang semata-mata untuk mendapatkan liputan internet yang kuat.
Jelasnya lagi, hasilnya tinjauan akan diselaraskan dengan pelan pembangunan telekomunikasi yang telah dirancang untuk kawasan tersebut bagi membolehkan penduduk menikmati capaian internet yang berkualiti.
185 menara bakal didirikan di Sarawak, 7 daripadanya di Pakan
Sebanyak 185 menara telekomunikasi bakal didirikan di seluruh bahagian di Sarawak di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP 2). Sebanyak 7 menara daripada jumlah tersebut dirancang untuk dibina di Pakan.
Ketujuh-tujuh menara tersebut dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya pada suku ketiga tahun 2021.
SKMM telah bina 533 menara telekomunikasi di Sarawak, 1,064 menara telah dinaiktaraf ke 3G dan 4G
Untuk pengetahuan anda juga, SKMM dengan kerjasama syarikat telekomunikasi sehingga kini telah mendirikan sebanyak 533 menara telekomunikasi di Sarawak. Bukan itu sahaja, sebanyak 1,064 menara telekomunikasi telah dinaik taraf kepada rangkaian 3G dan 4G di Sarawak.
Dalam kenyataan tersebut juga, pihak SKMM menjelaskan bahawa kerja-kerja pemasangan menara di Sarawak menjadi suatu cabaran besar akibat bentuk muka bumi yang berbukit bukau, laluan yang sukar serta ketiadaan bekalan elektrik di sesetengah kawasan pedalaman.
Nampaknya pihak SKMM komited dengan masalah telekomunikasi yang dihadapi oleh penduduk luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak. Ini lah manfaat dan kuasa platform media sosial bagi menggambarkan masalah rakyat.
Tahniah kepada anak muda yang berani ke hadapan dan sesiapa jua yang berkongsi kepayahan ini kepada masyarakat di alam maya.
Semoga kita semua selepas ini akan dapat menikmati liputan internet yang pantas dan berkualiti walau di mana sahaja kita berada.