Percaya atau tidak?
Kisah Sergey Ponomarenko, Lelaki Ukraine Anggap Dirinya Seorang ‘Time Traveller’. Time traveller atau pengembara masa adalah istilah sains fiksyen yang dipopularkan menerusi sebuah filem Hollywood yang bertajuk ‘Back To The Future’ lakonan Michael J. Fox pada tahun 1985. Namun begitu, rupanya ada satu kisah tentang pengembara masa ini yang telah menggemparkan dunia.
Mari kita kembali ke bulan April tahun 2006. Di Kiev, ibu kota negara Ukrain, pihak polis menemui seorang lelaki yang berada dalam keadaan terpinga-pinga dan keliru di tengah jalan. Lelaki tersebut bernama Sergey Ponomarenko. Setelah didatangi oleh polis berkenaan, Sergey bertanyakan kepada pihak polis tentang keberadaan dirinya, tarikh serta masa. Pihak polis menyangka Sergey adalah seorang pemuda yang sesat di kota Kiev, lalu menjawab segala pertanyaan Sergey yang bagai baru bangun dari tidur 100 tahun.
Mendengar jawapan daripada polis itu, Sergey mulai sedar bahawa dirinya bukan berada pada zaman ia sepatutnya berada. Walaupun maklumat seperti tarikh, hari dan masa adalah tepat, namun tahunnya berbeza! Pihak polis kebingungan melihat Sergey berpakaian seperti seseorang dari zaman 50-an dengan kamera antik klasik yang tergantung di lehernya.

Sejurus selepas itu, pihak polis bertanya pula kepada Sergey mengapa beliau kelihatan sangat keliru. Sergey tidak menjawab tetapi sebaliknya terus mempamerkan riak wajah yang panik. Alangkah terkejutnya pihak polis Kiev itu apabila Sergey memberitahu bahawa beliau berdiri di tempat yang sama 10 minit yang lalu tetapi pada tahun yang berbeza. Untuk mendapatkan kepastian, Sergey bertanya lagi kepada polis itu adakah tempat tersebut bernama ‘Peschanaya’ namun jelas pihak polis tidak memahami apa yang dimaksudkan oleh Sergey kerana kota itu sekarang bernama Kiev. Malah, nama Peschanaya tidak pernah didengari sebelum ini oleh polis itu.
Sergey menunjukkan kad pengenalan di zaman 50-an yang tidak lagi wujud!
Pihak polis itu mengesyaki sesuatu yang aneh kepada Sergey lalu meminta Sergey mengeluarkan kad pengenalan. Namun, kad yang dihulurkan oleh Sergey sekali lagi memeranjatkan pihak polis itu. Kad pengenalan Sergey adalah jenis yang digunakan pada tahun 1950-an yang lampau iaitu ketika Kesatuan Soviet memerintah Ukrain. Kad tersebut tiada unsur-unsur lusuh atau seperti kad ciplak. Gambarnya juga sama dengan wajah Sergey yang mereka temui pada waktu itu.

Lelaki aneh ini kemudian dibawa ke pusat pakar psikiatri kerana pihak polis itu menyangka bahawa Sergei mungkin mengalami gangguan mental. Sementara menunggu, Sergei memerhatikan suasana di sekeliling pejabat itu dengan tekun sekali. Kebanyakan perkara yang berlaku di situ seperti tidak masuk akal buat Sergey. Ada jururawat yang memegang telefon dan bercakap, ada staf yang lalu untuk mengambil makanan di dalam alat ketuhar gelombang mikro (microwave). Sergey berasa sangat pelik kerana semua alat itu tidak wujud pada zaman dia hidup.
Di situ, Sergey dipertemukan dengan seorang pakar psikiatri yang bernama Parlo Krutikov. Sebaik sahaja beliau memasuki pejabat Parlo, matanya terus melihat jam di dinding. Waktu menunjukkan pukul 12.30 tengah hari.
Berada di ‘masa depan’ lepas ambil gambar objek pelik di udara
Seperti rutin biasa seorang pakar psikiatri, Parlo terus menyoal Sergey tentang perasaan yang dialaminya pada waktu itu. Sergey bertegas memberitahu Parlo bahawa dia sepatutnya berada di hari yang sama tahun 1958. Parlo mengambil langkah bertenang dan mengajak untuk berkenalan terlebih dahulu dengan Sergey. Sergey memberitahu butir-butir peribadinya seperti beliau dilahirkan pada tanggal 17 Jun 1932 di Kiev. Setelah itu, Parlo menyoal Sergey tentang bagaimana lelaki aneh itu boleh berada di tempat dan masa sekarang (iaitu di tahun 2006).
“Saya ketika itu sedang bercuti dan mengambil gambar. Kebetulan, terdapat suatu objek pelik melintas di udara dan segera menangkap gambar objek tersebut. Ia kelihatan seperti loceng besar, tetapi ianya berlegar-legar di udara. Susah untuk saya jelaskan bagaimana. Ada baiknya jika anda cuba mencuci gambar yang telah saya tangkap dalam kamera saya sebagai bukti,”

Setelah itu, Sergey tiba-tiba menegur bahawa jarum di jam dinding Parlo berhenti. Beliau meminta agar Parlo melihat jam di tangan Parlo dan memberitahu masa pada waktu itu. Parlo juga turut terkejut apabila melihat jarum jam di tangannya turut berhenti sedangkan mereka sudah berborak lebih daripada 30 minit. Tanpa melengahkan masa, Parlo segera mengambil filem dalam kamera Sergey untuk dicuci di kedai gambar.


Episod kehairanan ini kemudiannya berlanjutan di kedai mencuci gambar tersebut. Pemilik kedai, Vadim Posner merasakan ia adalah sesuatu yang mustahil apabila melihat filem tersebut menggunakan sistem 36 frame sedangkan ianya sudah lama tidak dihasilkan. Bahkan, Vadim juga seakan tidak percaya yang beliau mencuci gambar daripada filem yang berusia hampir 40 tahun dan mempunyai tarikh luputnya sendiri iaitu sekitar 2 hingga 3 tahun selepas digunakan.
Gambar dalam kamera Sergey sememangnya gambar berlatar belakangkan zaman 50-an yang asli
2 hari kemudian, setelah gambar siap dicuci, Vadim segera menunjukkannya kepada Parlo dan bertanyakan hal sebenar tentang filem itu. Antara gambar yang berjaya dicuci oleh Vadim adalah gambar bangunan di bandar Kiev pada tahun 50-an, Sergey di hadapan sebuah beranda rumah gaya 50-an yang lampau, gambarnya bersama seorang wanita dan gambar objek pelik seperti yang diceritakan Sergey tadi. Pemilik kedai yang berpengalaman dalam bidang fotografi memberitahu bahawa ia bukanlah gambar yang diedit atau terdapat kesilapan teknikal tetapi sememangnya gambar asli yang ditangkap menggunakan kamera Yashicaflex.



Parlo kembali memanggil Sergey yang berehat di kamar menunggu pusat psikiatri itu. Parlo terus bertanya kepada Sergey tentang gambar-gambar tersebut namun Sergey pula menyoal Parlo adakah beliau kini mempercayai ceritanya. Sergey juga kelihatan sangat sugul pada ketika itu dan menyatakan hasratnya ingin pulang ke zamannya sendiri. Beliau bertegas memberitahu Parlo bahawa beliau tidak tahu menahu tentang objek pelik itu dan bagaimana beliau boleh berada pada zaman masa depan. Parlo menyuruhnya untuk kembali ke kamar dan itulah kali terakhir Parlo dan Sergey bertemu. Rakaman CCTV menunjukkan Sergey sememangnya kembali ke dalam kamar. Lelaki pengembara masa itu tidak lagi kelihatan di mana-mana termasuk di dalam biliknya tidak lama selepas itu.
Perangai sebenar Sergey menurut Valentina Kulich, wanita dalam gambar dari kamera Sergey
Menyedari kehilangan Sergey, Parlo dan pihak polis mencari Sergey dan memutuskan untuk menghubungi wanita yang ada di dalam salah sebuah gambar yang dicuci dari kamera Sergey tadi. Wanita tersebut bernama Valentina Kulich. Beliau didapati masih hidup pada tahun 2006 dan berusia 74 tahun. Alangkah terkejutnya Valentina apabila pihak polis menunjukkannya gambar Sergey dan membandingkan dengan gambar yang masih dimiliki oleh Valentina dalam album simpanan. Valentina mengakui bahawa Sergey adalah kawan lamanya.

Menurut Valentina pula, beliau mengenali Sergey pada usianya 16 tahun dan memberitahu bahawa Sergey adalah seorang yang suka bercakap tentang perkara yang tidak terjangkau oleh akal manusia pada waktu itu. Sergey juga mendakwa bahawa dirinya boleh melihat masa depan dan pendapat ‘pelik’ nya pada zaman dahulu dikongsikan menerusi penulisan artikel dalam surat khabar dan dalam rancangan bual bicara radio.
Sergey bercakap tentang ketuhar gelombang mikro dan mekanisme jantung tiruan di stesen radio zaman 50-an
Kenyataan Valentina itu ternyata benar apabila Parlo berjaya menjumpai rakaman Sergey dengan sebuah stesen radio hasil bantuan daripada arkib negara Ukrain. Menerusi rancangan bual bicara radio itu, Sergey menceritakan tentang kewujudan ketuhar gelombang mikro dan mekanisma jantung tiruan. Parlo mengimbas kembali rakaman CCTV sepanjang Sergey berada di kliniknya dan mendapati bahawa Sergey sememangnya tekun memerhatikan gelagat staf setiap kali mereka menggunakan ketuhar itu. Malah, selepas kehilangan Sergey, terdapat beberapa pucuk surat khabar dalam bilik Sergey yang menyiarkan tentang mekanisme jantung tiruan.
Pemerhatian dan pembacaan ini mungkin diingati oleh Sergey dan memberitahu kepada masyarakat di zaman lampau tentang perkara tersebut di dalam radio dan akhbar. Valentina menceritakan lanjut tentang perubahan Sergey setelah menyertai rancangan bual bicara itu dan mendaftar masuk ke sebuah politeknik untuk mempelajari tentang perkara yang dialaminya namun beliau berputus asa di tengah jalan. Sergey menjauhkan diri daripada rakan-rakannya. Sehingga pada saat itu, Valentina memberitahu bahawa Sergey pernah mengadu bahawa beliau tidak mengerti mengapa waktu akan terhenti setiap kali beliau berada di sekeliling rakan-rakannya.
Sergey kirim sekeping gambar kepada Valentina selepas 2 tahun kehilangannya di ‘masa depan’
2 tahun selepas kehilangan Sergey pada tahun 2006, Valentina kembali menghubungi Parlo apabila beliau tiba-tiba menerima sepucuk surat yang mengandungi sekeping gambar. Anehnya, surat tersebut tidak mempunyai alamat dan setem serta cop pejabat pos. Gambar di dalamnya pula adalah gambar Sergey Ponomarenko yang dipercayai berusia dalam lingkungan 46 tahun. Di belakang gambar itu, tertulis pesanan daripada Sergey yang berbunyi seperti beikut;
“Saya berada dalam keadaan baik. Saya akan kembali tak lama lagi,”


Menurut laporan, Sergey dikhabarkan telah hilang pada tahun 1978 iaitu ketika beliau berusia 46 tahun, sama seperti usianya di dalam gambar itu. Malah, wajahnya di dalam gambar yang dikirimkan kepada Valentina dan gambar pada tahun 1978 sememangnya sangat serupa.
Betulkah perkara sebegini benar-benar berlaku? Apa komen anda?