3 produk tersebut adalah N Glowing EWSB, Karisma Golden Turmeric Cream dan SL Two Intensive
Mengandungi Racun, KKM Haramkan Penjualan Dan Penggunaan 3 Produk Kosmetik Ini. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan tiga produk kosmetik di pasaran yang mengandungi racun berjadual.
Menurut Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), produk tersebut ialah N Glowing EWSB yang mengandungi merkuri, manakala Karisma Golden Turmeric Cream mengandungi merkuri dan betamethasone 17-valerate, serta SL Two Intensive yang mengandungi hydroquinone dan betamethasone 17-valerate.
Mengandungi Racun, KKM Haramkan Penjualan Dan Penggunaan 3 Produk Kosmetik Ini
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, menyatakan bahawa ketiga-tiga produk kosmetik tersebut telah dibatalkan pendaftarannya oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
“Merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi, dan perubahan lain pada kulit,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa produk yang mengandungi hydroquinone dan betamethasone 17-valerate perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat daripada ahli profesional kesihatan.
“Penggunaan produk yang mengandungi hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, dan kulit menjadi hipersensitif. Ia juga boleh menghalang proses pigmentasi yang mengurangkan perlindungan kulit daripada sinar UV berbahaya dan meningkatkan risiko kanser kulit,” katanya.

“Betamethasone 17-valerate pula boleh menyebabkan kulit muka menjadi nipis, mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit, dan meningkatkan risiko diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan buruk,” tambahnya.
Dr Muhammad Radzi juga mengingatkan penjual dan pengedar produk kosmetik tersebut untuk menghentikan segera penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik berkenaan.
“Penjualan dan pengedaran produk ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama; dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.
Beliau juga menasihati orang awam yang menggunakan produk kosmetik tersebut supaya segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan sampingan.
