Kekal waspada.
Kuching Hampir Bertukar Zon Merah, Rentas Bahagian Kini Tidak Digalakkan. Susulan pertambahan kes penularan tempatan sebanyak 8 kes di Sarawak hari ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak hari ini menasihatkan orang ramai terutamanya di kawasan Kuching dan Samarahan untuk tidak melakukan pergerakan rentas bahagian buat sementara waktu.
Pengerusi JPBNS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu bahawa pergerakan rentas bahagian ini bukan sahaja tertakluk kepada pergerakan antara Kuching dan Samarahan tetapi juga pergerakan rentas bahagian melibatkan bahagian lain seperti Kapit, Limbang, Bintulu dan sebagainya.
Belum ada sekatan rasmi, saranan untuk elak penularan ke kawasan hijau
Walau pun tiada penguatkuasaan sekatan rentas bahagian, namun saranan untuk tidak merentas bahagian ini diumumkan bagi mengelakkan penularan pandemik di kawasan lain yang majoritinya telah bertukar ke status hijau.
Kuching dan Samarahan merupakan bahagian yang diisytiharkan zon kuning buat masa ini termasuklah daerah Bau. Lain-lain daerah masih kekal hijau.
Sumber : NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Kluster Sentosa catat kes tertinggi
Setakat ini, sebanyak 8 kluster yang masih aktif di Kuching dengan Kluster Sentosa mencatatkan jumlah kes yang tertinggi iaitu sebanyak 16 kes. Kemudian, diikuti Kluster Pasar Stutong (7 kes) dan Kluster Mambong (5 kes).
Kemasukan Pelajar UNIMAS dan sekolah di Siburan ditangguh
Dalam masa yang sama, kemasukan pelajar Pra-Universiti UNIMAS yang dijadualkan pada awal Ogos kini ditangguhkan hingga ke suatu tarikh yang ditetapkan. Penangguhan pembukaan sesi persekolahan juga diperluaskan ke daerah Siburan sehingga 3 Ogos 2020.
Dalam perkembangan lain, jumlah kes di seluruh Malaysia hari ini mencatatkan peningkatan iaitu 21 kes. Daripada jumlah tersebut, 5 kes merupakan kes import manakala selebihnya 16 kes merupakan kes penularan tempatan.
Warganegara serta pemastautin tetap Malaysia yang pulang dari luar negara hari ini juga diletakkan di bawah kuarantin di pusat kuarantin serta hotel yang terpilih di Kuala Lumpur.
Sentiasa berwaspada dan sentiasa patuhi SOP. Amalkan langkah pencegahan dan jaga jarak sosial anda.
