Penemuan mayat kucing yang menyayat hati
Kucing Ditemui Dalam Keadaan Kepala dan Kaki Putus, Usus Atas Lantai di IPTA Samarahan. Tular di Instagram hari ini apabila seorang aktivis penyelamat haiwan bebas, Shima Aris memaklumkan bahawa beliau menerima DM daripada seseorang bahawa kucing ditemui mati di salah sebuah kolej kediaman di IPTA di Samarahan.
Walau bagaimanapun, kematian kucing berkenaan diragui kerana mayat kucing tersebut ditemui dalam keadaan kaki, kepala dipotong manakala ususnya di atas lantai dalam keadaan yang sempurna.

Pihak kolej melaporkan tiada unsur jenayah oleh manusia
Walau bagaimanapun, pihak kolej kediaman telah mengeluarkan kenyataan bahawa kematian kucing berkenaan tiada unsur jenayah yang dilakukan oleh manusia sama sekali.
Namun demikian, pihak kolej dilaporkan masih terbuka untuk menerima sebarang bukti yang sahih dan sah bagi membantu menyelesaikan siasatan.
Masih belum ada laporan polis atau jabatan veterinar yang dibuat
Sehingga kini, Shima Aris memaklumkan bahawa tiada laporan polis mahupun laporan kepada Jabatan Veterinar Sarawak (DVS) dilakukan berhubung penemuan mayat kucing berkenaan. Tambahan pula, laporan kepada DVS hanya boleh dilakukan oleh individu yang tinggal di Sarawak sahaja.
Kes ini juga telah tular di Facebook, dengan rata-ratanya berasa kesal kerana kucing tersebut ditemui dalam keadaan yang seperti mati dibunuh. Ramai yang menggesa agar kes ini disiasat dengan lebih mendalam kerana dikatakan ‘mustahil’ tiada unsur penglibatan manusia, melihat kepada keadaannya dijumpai.


Jika anda merupakan individu yang berada berdekatan dengan kawasa kejadian atau memiliki maklumat yang membantu kes ini, sila laporkan dengan segera kepada pihak yang bertanggungjawab.

