Pengurusan Kuil Tegaskan Tidak Terlibat Dalam Kutipan Bayaran Parkir
Pihak Pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman Matang Perjelas Mengenai Kutipan Parkir. Baru-baru ini, pihak pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman yang terletak di Matang, Kuching, Sarawak, membuat pengumuman penting di media sosial untuk menjelaskan kekeliruan berkaitan kutipan wang parkir dan bayaran yang didakwa dikenakan kepada pelawat di kaki bukit kuil tersebut.
Dalam pengumuman tersebut, pihak pengurusan menegaskan bahawa mereka tidak pernah memberi kebenaran atau melantik mana-mana individu atau pihak untuk mengutip sebarang bayaran, sama ada untuk parkir atau sebagai yuran masuk ke kuil.

Ini reaksi pelawat terhadap bayaran parkir tersebut
Menurut pengumuman itu, segala kutipan yang dilakukan di luar pengetahuan mereka adalah tidak sah dan bukan arahan daripada pihak pengurusan kuil.
Pengumuman tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai, terutama para pelawat dan masyarakat setempat yang sering mengunjungi kuil ini. Sebilangan pengguna media sosial berpendapat bahawa mereka tidak kisah untuk membayar sedikit yuran parkir selagi kenderaan mereka terjaga dan selamat.
Di samping itu, ada juga yang mempertahankan anak-anak muda tempatan yang menjaga kawasan parkir di kaki bukit kuil. Salah seorang netizen memuji sikap hormat dan santun mereka yang menjaga keselamatan kereta dengan baik, khususnya kepada warga emas.
Beliau berpendapat bahawa sekiranya bayaran kecil untuk parkir dapat memastikan keselamatan kenderaan, ia adalah sesuatu yang wajar.

