Perkara ini dilaporkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).
Kurang Daripada 29% Populasi Di Sarawak Telah Mendaftar Vaksin COVID-19. Walaupun Sarawak sebelum ini mendahului jumlah penduduk yang telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19, tetapi berdasarkan populasi sebenar penduduk di sini, jumlah tersebut sebenarnya kurang daripada 29% populasi penduduk di Sarawak.
Perkara ini dilaporkan oleh statistik terbaharu yang dikeluarkan oleh JKJAV di laman Facebook rasmi mereka.

Sumber : JKJAV
Jumlah yang masih rendah jika dibandingkan dengan negeri lain
Berdasarkan statistik terbaharu JKJAV setakat jam 11.59 malam pada 29 Mac kelmarin, negeri Sarawak hanya mencatatkan 28.57% populasinya yang telah mendaftar untuk menerima vaksin iaitu berjumlah 591,921 orang. Peratusan ini masih rendah jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain seperti Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur dan lain-lain negeri.
Setakat ini, Putrajaya mendahului carta pendaftaran vaksin dengan seramai 47,412 orang telah mendaftar iaitu bersamaan dengan 83.33% populasinya. Kuala Lumpur berada di tempat kedua dengan 41.80% populasinya (619,129 orang) telah mendaftar manakala negeri Selangor turut mencatatkan angka yang memberangsangkan iaitu pendaftaran seramai lebih 2 juta populasinya, bersamaan dengan 41.69%.
Secara keseluruhannya, sebanyak 30.21% populasi di Malaysia telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19 setakat 29 Mac 2021. Angka ini tentunya belum mencukupi untuk mencapai imuniti berkelompok yang diperlukan iaitu sekurang-kurangnya 80% daripada keseluruhan populasi di Malaysia.
Angka di bawah 29% belum termasuk pendaftaran manual – Dr. Sim
Walau bagaimanapun, menurut laporan media tempatan, Menteri Kerajaan dan Perumahan Tempatan Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian memberi penjelasan bahawa angka yang disenaraikan oleh JKJAV tersebut tidak termasuk dengan nama penduduk Sarawak yang telah mendaftar secara manual melalui pejabat daerah.
Beliau turut menegaskan bahawa jumlah penduduk yang telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19 di Sarawak sebenarnya jauh lebih tinggi daripada itu iaitu sekitar 1 juta orang. Ini termasuklah individu yang telah mendaftar secara manual melalui agihan borang pejabat daerah serta melalui aplikasi MySejahtera.

Melalui pendaftaran manual, Dr. Sim memberitahu bahawa Sarawak sebenarnya telah menerima pendaftaran sekitar 700,000 individu yang belum disenaraikan dalam sistem Jawatankuasa Khas Imunisasi COVID-19 (CITF). Namun daripada jumlah ini, tapisan perlu dibuat bagi mengelakkan duplikasi pendaftaran sebelum nama mereka dimasukkan menerusi MySejahtera.
Sarawak perlukan sekurang-kurangnya 70% populasi untuk capai imuniti berkelompok, keutamaan bekalan vaksin
Melalui hantaran di laman Facebook nya, DUN Batu Kawa itu turut menyeru lebih ramai orang Sarawak untuk memainkan peranan mereka dengan mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19. Jelasnya, negeri ini memerlukan sekurang-kurangnya 70% populasi (2 juta penduduk) yang mana 99% daripadanya terdiri daripada individu berusia 18 tahun ke atas untuk menerima vaksin bagi membolehkan imuniti berkelompok dibina untuk melindungi Sarawak daripada jangkitan COVID-19.
Angka ini juga diperlukan bagi membolehkan Sarawak berunding untuk mendapatkan bekalan vaksin yang mencukupi daripada kerajaan persekutuan selain daripada rundingan belian terus vaksin daripada pembuatnya yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Penasihat Vaksin COVID-19 Sarawak (SCOVAG).

Di Sarawak, peratusan tertinggi yang telah mendaftar untuk Fasa ke-2 dan Fasa ke-3 adalah bahagian Sibu (84%) diikuti bahagian Mukah (80%), Sri Aman (77%), Limbang (70%), Samarahan (68.6%), Sarikei (56.9%), Kuching (54.2%), Betong (53.36%), Serian (53.3%), Miri (50.3%), Kapit (43.9%), dan Bintulu (43.5%).
Vaksinasi fasa ketiga akan dipermudahkan sekiranya pendaftaran fasa kedua perlahan – Khairy Jamaluddin
Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin memberitahu bahawa Fasa 2 imunisasi yang melibatkan golongan warga emas, warga kelainan upaya dan individu dengan masalah morbiditi akan dilaksanakan bermula 19 April depan.
Penerima akan dimaklumkan mengenai temujanji vaksinasi bermula 5 April 2021, iaitu 2 minggu sebelum tarikh temujanji menerusi aplikasi MySejahtera, panggilan telefon dan sistem pesanan ringkas (SMS).

Untuk fasa kedua ini, seramai 2 juta individu telah mendaftar daripada 9 juta warga golongan berkenaan yang disasarkan. Walau bagaimanapun, Khairy memberi jaminan bahawa vaksinasi untuk fasa ketiga akan diberi keutamaan sementara menunggu pendaftaran fasa kedua mencapai sasaran yang ditetapkan dan sekiranya vaksin mencukupi. Sekiranya pendaftaran untuk fasa kedua berjalan perlahan, kerajaan tidak akan menunggu lama tetapi sebaliknya akan memberi laluan kepada golongan fasa ketiga untuk menerimanya terlebih dahulu. Pemberian vaksin untuk fasa ketiga juga akan dipermudahkan.
Vaksin fasa ketiga melibatkan individu berusia 18 tahun ke atas dan dijadualkan akan bermula pada bulan Mei ini.
Daftar vaksinasi sekarang melalui 3 kaedah mudah
Setakat ini, seramai 580,765 individu telah menerima vaksin COVID-19 di Malaysia, dengan negeri penerima tertinggi, Selangor (75,317 dos), diikuti oleh Perak dengan 59,305 dos, Sarawak (57,034 dos), Sabah (52,223 dos) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (50,512 dos).
Ayuh! Sama kita mendaftar untuk menerima vaksin COVID-19. Daftar sekarang di aplikasi MySejahtera, portal JKJAV atau talian pendaftaran 1800-888-828.
