Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Langgar Kuarantin : Susahkah Ikut SOP Dan Tidak Menyusahkan Orang Lain? Isu individu melanggar kuarantin selepas diberi pelepasan kuarantin di rumah bukanlah isu yang asing. Sebelum ini kes Sivagangga di Kedah menjadi isu besar sehingga menyebabkan beberapa kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan di mana tiada siapa pun dibenarkan keluar selepas ke indeks, seorang individu yang sepatutnya kuarantin memilih untuk melanggar peraturan tersebut.
Kerana kedegilan tersebut, tercetusnya kluster Sivagangga yang mengegarkan Malaysia ketika itu. Beberapa bulan berlalu masih lagi terdapat individu yang sentiasa mahu mengambil kesempatan di atas kebenaran yang diberikan walaupun tujuan asal adalah untuk mengurangkan beban kewangan, kekangan tempat kuarantin dan juga barisan hadapan.
Persoalannya, adakah terlalu sukar untuk seorang manusia bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan? Adakah kita tidak layak untuk mendapat kelonggaran dan perlu hidup sebagai manusia yang perlu dipaksa selamanya?
Tercetusnya kluster baharu di Sarawak yang berkemungkinan berasal dari keingkaran mengikut SOP kuarantin di rumah sangatlah mengecewakan. Hampir 1 tahun selepas Perintah Kawalan Pergerakan yang pertama diadakan, kita masih struggle untuk beradaptasi kepada norma baharu hanya kerana ada mereka yang ingkar untuk menerimanya.
Kerana keingkaran mengikuti SOP ini secara keseluruhannya, maka sehingga kini kita masih gagal untuk melandaikan lengkung gelombang ketiga yang ada harinya mencecah 3 ribu kes setiap hari. Bukan itu sahaja, keingkaran mengikuti SOP ini mengakibatkan banyak tempias secara langsung dan tidak langsung terhadap keterlansungan hidup mereka yang lain.
Contoh mudah, bayangkan jika ada individu ingkar kuarantin di rumah menjadi kluster baharu maka tidak mustahil sempadan kembali diketatkan dan pergerakan juga dibataskan. Kemudian, fikirkan pula mereka yang perlu mencari rezeki bermula dari peniaga di lapangan terbang, krew kapal terbang sehinggalah petani yang menjadi menjadi kontak rapat. Rantaian mereka yang terjejas ini jumlahnya bukan sedikit. Kalau tidak ratusan, ribuan. Mereka ini semuanya mempunyai tanggungan dan keluarga. Ripple effectnya? Tidak mustahil puluhan ribu.
Kurangnya aliran keluar masuk semestinya memberi tamparan hebat buat peniaga dan pekerja di sektor penerbangan. Belum lagi individu yang perlu keluar masuk atas urusan mencari rezeki, yang kini semakin sukar dan semakin dipandang sinis oleh pihak awam hanya kerana mereka perlu melakukan pergerakan demi sesuap nasi. Lihatlah di media sosial, betapa bencinya sesetengah individu terhadap mereka yang perlu untuk keluar masuk ke Sarawak, tak kira apa pun sebab mereka, waima kerana berusaha mencari rezeki untuk sesuap nasi. Sudahlah perlu kuarantin 14 hari, dijolok hidung berkali kali. Dipandang sinis lagi.
Belum lagi masuk part apabila tercetusnya kluster, lockdown dan pergerakan di kawasan tempatan pula dibataskan. Orang awam pula semakin takut untuk keluar dan perniagaan tempatan pula mula terjejas. Tidak kasihankah anda pada petani yang tidak dapat mencari rezeki kerana pasar tani tidak dibenarkan beroperasi kerana penularan kes?
Impak kedegilan mematuhi SOP ini bukan sahaja boleh meragut nyawa, malah boleh menghancurkan ekonomi. Kasihanilah mereka yang berkorban di barisan hadapan tanpa cuti hampir setahun, kasihanilah mereka yang terputus mata pencarian, kasihanilah mereka yang sudah terlalu lama terpisah dengan keluarga.
Jika anda dibenarkan kuarantin di rumah, hormatilah peraturan. Bantulah Malaysia untuk landaikan lengkuk.
Jika anda ingin menganjurkan majlis keraian, fikirkanlah bagaimana untuk pastikan SOP dipatuhi.
Jika anda punyai kuasa, janganlah pilih untuk membuat undang undang 2 darjat kerana rakyat sentiasa memerhati kerana anda adalah contoh mereka.
Patuhilah SOP, bantulah Malaysia melandaikan rantaian COVID19.