Boleh Tahan Panjang Perjalanannya.
Lelaki Ini Kongsi Prosedur Yang Perlu Anda Lakukan Jika Harus Pulang Ke Sarawak. Sepertimana yang anda ketahui, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dikuatkuasakan untuk menghalang penyebaran virus yang kini telah meragut lebih kurang 84 nyawa setakat ini. Oleh yang demikian, pengutkuasaan kini diperketatkan dengan mengehadkan pergerakan keluar masuk antara negeri. Malah, perjalanan antara daerah juga memerlukan surat kebenaran daripada balai polis berdekatan.
Namun demikian, bagaimana pula jika anda harus pulang ke Sarawak atas sebab-sebab yang mustahak? Di laman sosial Facebook, seorang pengguna Facebook yang bernama Khairul Ikhwan sempat berkongsi pengalaman pulang ke Sarawak semasa PKP. Beliau juga menjelaskan prosedur yang harus diambil sekiranya anda ingin berbuat demikian semasa PKP ini.
Beliau menjelaskan butir perjalanan Semenanjung sehinggalah selamat sampai ke Sarawak. Kini, beliau ditempatkan di sebuah hotel terkemuka di Kuching untuk menjalani proses kuarantin selama 14 hari.
1. Semak Harga Tiket Penerbangan
Semak harga tiket penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dari Kuala Lumpur. Anda juga boleh menghubungi Bilik Gerakan COVID-19 di talian hotline 1-300-88-3000. Untuk makluman anda, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching kini hanya dijalankan seminggu sekali sahaja. Berikut disertakan jadual penerbangan MAS untuk bulan April dan Mei 2020.
2. Lengkapkan Borang E-Health dan Keluar Masuk Sarawak Secara ‘Online’
Jika anda telah membeli tiket penerbangan, lengkapkan terus dua borang ini;
- Borang Pengisytiharan e-Health (Borang JPBNS 5/1/2020) untuk memasuki Sarawak
- Kebenaran untuk Masuk/Keluar Sarawak (Borang JPBNS 6/1/2020)
Walaupun borang kebenaran masuk dan keluar Sarawak hanya untuk individu bukan berasal dari Sarawak, anda digalakkan untuk mengisi kedua-duanya bagi tujuan pengesahan terutamanya sebagai bukti kepada pegawai yang bertugas di lapangan terbang dan anggota yang melakukan sekatan (roadblock) di jalan raya.
Anda perlu mengisi borang pengisytiharan e-health sekurang-kurangnya 12 jam sebelum penerbangan. Bagi borang keluar masuk Sarawak pula, ia mengambil masa lebih kurang sehari untuk diluluskan.
Setelah itu, jangan lupa untuk ‘screenshot’.
3. Sediakan Dokumen Penting Sebagai Persediaan ‘Roadblock’
Sebelum bertolak ke lapangan terbang, pastikan anda menyediakan dokumen penting yang berikut sebagai persediaan;
- Tiket penerbangan/pas penerbangan (boarding pass)
- Borang e-Health dan Keluar Masuk Sarawak
- Kad pengenalan
Sepanjang perjalanan, anda dinasihatkan untuk menjawab pertanyaan anggota yang bertugas dengan jujur dan berhemah. Menurut beliau, ada anggota yang begitu teliti sehingga bertanyakan harga tiket penerbangan. Anda juga disarankan untuk menaiki Grab atau teksi untuk perjalanan yang lebih lancar walaupun melalui sekatan jalan raya.
4. Bertolak Awal Ke Lapangan Terbang
Pada musim PKP ini, anda juga disarankan untuk bertolak lebih awal ke lapangan terbang bagi mengelakkan kelewatan akibat perkara luar jangka. Contohnya seperti kesulitan semasa sekatan jalan raya.
Khairul turut memberitahu bahawa salah seorang kawannya lambat ke lapangan terbang kerana diarahkan pergi ke balai polis terlebih dahulu dan kemudian barulah dihantar ke lapangan terbang oleh anggota polis.
5. Periksa Suhu Badan Dan Borang
Sebelum anda dibenarkan untuk daftar masuk (check in), suhu badan anda akan diperiksa oleh pegawai yang bertugas. Sekiranya suhu melebihi 37.5 darjah Celcius, anda tidak dibenarkan sama sekali untuk menaiki pesawat. Jadi, jaga kesihatan anda sebelum berlepas.
Pada waktu ini juga, borang e-health dan keluar masuk Sarawak yang telah anda screenshot tadi juga akan diperiksa.
6. Lengkapkan Terus Borang Pengisytiharan Kesihatan Di Dalam Pesawat
Sementara menunggu pesawat berlepas, anda akan diberi satu lagi borang iaitu borang pengiytiharan kesihatan (health declaration form) oleh kru kabin yang bertugas. Jangan berlengah, lengkapkan terus borang tersebut. Jangan lupa untuk membawa sebatang pen bersama anda.
Pastikan anda makan semasa berada di dalam pesawat.
7. Diberi Gelang Tangan Kuarantin Setibanya Di Sarawak
Setibanya anda di Sarawak, anda perlu beratur dan akan diberikan sebuah gelang tangan kuarantin bagi memantau kesihatan anda selama tempoh 14 hari.
8. Proses Pengasingan Dengan Sejarah Perjalanan Dari Luar Negara
Semasa hendak memasuki pintu masuk, anda disaring mengikut green lane. Jika anda mempunyai sejarah perjalanan dari luar negara, anda akan terus diasingkan dan diperiksa oleh pegawai kesihatan yang bertugas. Namun, sekiranya anda tiada sejarah perjalanan luar negara, anda akan terus beratur sambil diberikan hand sanitizer.
9. Serahan Borang Pengiytiharan Kesihatan Dan Imbas ‘Screenshot’
Sekiranya giliran anda telah tiba, anda dikehendaki menyerahkan borang pengiytiharan kesihatan yang telah anda isi semasa berada di dalam pesawat. Selain itu, ‘screenshot’ borang yang anda telah isi online tadi akan diimbas. Anda juga akan diminta untuk memberikan nombor kad pengenalan dan maklumat yang diperlukan.
10. Ambil Bagasi Dan Naik Bas Ke Pusat Kuarantin
Setelah semuanya ‘clear‘, terus ke bahagian imigresen dan ambil bagasi anda di ruangan tuntutan bagasi. Di sini, jarak sosial 1 meter sememangnya dijaga dengan rapi oleh anggota polis, askar, imigresen, pertahanan awam serta pegawai KKM. Setelah selesai, anda akan diiringi ke sebuah bas yang menempatkan hanya 20 orang penumpang sahaja ke pusat kuarantin khas.
11. Daftar Masuk Ke Pusat Kuarantin (Hotel)
Setibanya anda di hotel, anda akan disambut mesra sekali lagi oleh anggota pegawai yag bertugas serta pihak hotel. Anda juga dikehendaki untuk mengisi satu lagi borang sambil mendengar taklimat yang disampaikan. Kemudian, barulah anda dibenarkan untuk daftar masuk ke bilik hotel anda dan berehat. Menurut Khairul, mereka ditempatkan di Hotel Pullman, Kuching. Wah!
Akhir sekali, lelaki ini turut memberitahu bahawa segala aktiviti penghantaran barangan kering oleh ahli keluarga, teman atau saudara hanya boleh disampaikan di lobi hotel sahaja. Ahli keluarga juga tidak dibenarkan melawat sepanjang tempoh kuarantin ini.
Fuh, boleh tahan panjang perjalanan beliau untuk pulang ke Sarawak. Tapi apakan daya, di musim PKP ini, keselamatan dan kesihatan kita adalah tanggungjawab bersama.
Dengar khabar, penerbangan AirAsia akan disambung semula bermula 29 April. Baca artikel penuh di sini :