2 orang pekerja maut manakala 2 orang lagi cedera.
Letupan Di Kilang Samalaju Bintulu, 2 Pekerja Maut Semasa Menjalankan Kerja Sambungan Paip. Telah dilaporkan berlakunya sebuah letupan loji kimia di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu yang melibatkan 2 orang pekerja tempatan berusia 34 dan 35 tahun maut di tempat kejadian.
Kenyataan rasmi telah dikeluarkan oleh pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak semalam (10 Mei 2022). Kejadian berlaku kira-kira 3.00 petang pada 9 Mei 2022 di sebuah kilang di sekitar Samalaju, Bintulu, Sarawak.


Mangsa sedang melakukan kerja memasang sambungan paip yang baru di tangki caustic soda
Difahamkan ketika kejadian, mangsa bersama rakan yang lain sedang menjalankan kerja memasang sambungan paip yang baru di tangki caustic soda. Semasa membuat kerja grinding pada paip, tiba-tiba berlaku sebuah letupan pada tangki tersebut.
Kejadian tersebut telah mengakibatkan 2 pekerja terpelanting dan maut di tempat kejadian dan dihantar ke unit forensik Hospital Bintulu manakala 2 orang lagi berusia 26 tahun dan 33 tahun, telah mengalami kecederaan dan dirawat di hospital yang sama.


Menurut AWANI, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Siasatan telah dijalankan oleh pihak Pasukan Pegawai Penyiasatan dari JKKP cawangan Bintulu. 2 notis larangan telah dikeluarkan kepada majikan supaya menghentikan sebarang aktiviti kerja di lokasi kejadian bagi siasatan dijalankan.
Tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan Akta Kilang dan Jentera 1967. JKKP Sarawak memandang serius setiap kemalangan yang berlaku dan semua majikan digesa agar mempertingkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.